Fenomena Murtad -

Oleh: Noor Salsabila Bt. Ghazali

Pendahuluan
Surah An-Nahl [16. 106] : Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. 

Murtad adalah satu isu yang cukup sensitif bagi umat islam, namun persoalannya disini ialah adakah mereka betul-betul sudah mengenali MURTAD. 

Murtad dalam segi bahasa adalah ‘kembali dan berbalik’, manakala menurut istilah syarak ialah “orang yang keluar dari agama islam berbalik menjadi kafir” (kitab feqh syafiee jilid 2 oleh ustaz H. Idris Ahmad S. H). Manakala dalam kitab feqh sunnah “riddah adalah kembalinya orang islam yang berakal dan dewasa ke kafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa paksaan dari orang lain. ”

Murtad adalah sesuatu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seseorang Islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan seseorang tadi keluar dari agama Islam. 

Kesimpulannya ialah “murtad adalah kembalinya orang islam yang berakal dan dewasa ke kafiran dengan kehendaknya sendiri”

Sejarah murtad di zaman Rasulullah SAW

Terdapat beberapa hadis yang dijumpai ia berlainan lafaz tapi maksudnya tetap sama. Hadis-hadis ini didatangkan dari beberapa orang sahabat utama seperti Saidina Uthman Affan r. a, Saidina Ali kw, ‘Aisyah, Ibn Abbas, Ibn Mas’ud, Abu Musa as-Sya’ary, Muadz bin Jabal, Anas Bin Malik, Abu Hurairah radhiyallahuanhum ajma’in. 

Antara hadis yang kuat dan terkenal berkenaan dengan hukuman Murtad ini ialah:
1. Dari Ibnu Abbas r. a : Sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka hendaklah kamu membunuhnya” (Riwayat Bukhari 2/280; Abu Daud, Tirmizi 145 ; Nasaie, dan Ahmad). 
2. Mafhumnya: Inilah wahai Rasul seorang lelaki yang dahulunya Yahudi kemudian telah Islam dan kemudian telah kembali kafir (murtad) kepada agamanya yang buruk, Bersabda Nabi : Aku tidak akan duduk sehingga dibunuh, menurut hukuman Allah dan Rasulnya, maka Muadz (mempersilakan Nabi untuk duduk) berkata : Silakan duduk.. Sabda Nabi : Aku tidak akan duduk sehinggalah ia dibunuh, hukuman Allah dan Rasulnya sebanyak 3 kali, maka diarahkannya untuk membunuh lelaki murtad tadi, lalu dibunuh… (Riwayat Bukhari bab hukuman murtad (no 6923) ; Muslim (no 4695) dan Abu Daud dalam kitab aqdhiyah dan Hudud (no. 4354) ; Riwayat An-Nasaie, Jilid 7/104, dan lihat juga Tuhfatul Asyraf. Juga diriwayatkan oleh Imam Syafie Jilid 2/280) 
3. Dari Ikrimah, Ia berkata: “Ali R. A pernah membawa beberapa orang yagn murtad, lalu semuanya dibakar. Maka setelah berita itu sampai ke Ibnu Abas ia berkata : “Kalau aku tidak akan membakarnya, kerana Rasulullah SAW pernah melarang iaitu bersabda : “janganlah kamu menyeksa seseorang seperti siksaan Allah”. Tetapi aku akan membunuhnya, kerana Rasul pernah bersabda “ barangsiapa menukar agamanya (dari Islam ke agama lain) maka bunuhlah dia”. (HR Jamaah kecuali Muslim, dalam kitab Nailul Authar imam Syaukani) 
4. Riwayat dari Muadz dan dianggap hasan oleh Hafiz Ibnu Hajar bahawa Nabi Muhamad SAW ketika mengutus Muadz ke Yaman beliau berpesan: “Setiap lelaki yang bertindak Murtad maka panggillah dia, bila ia menolak untuk kembali lagi kedalam Islam maka penggallah lehernya! Begitulah juga setiap perempuan yang bertindak murtad maka panggillah dia, bila ia menolak untuk kembali ke dalam Islam maka penggallah lehernya” (Feqh Sunnah, bab riddah) 
5. Muadz Bin Jabal dan Abu Musa As-Sya’ari juga pernah melaksanakan hukuman bunuh di Yaman, terhadap seorang Yahudi yang Islam kemudian kafir kembali. Berkata Muadz setelah itu (Hukuman Allah Dan Rasulnya) - (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dan Ahmad). Diatas adalah beberapa hadis tentang pelaku Murtad dihukum bunuh, namun terdapat beberapa persoalan atau perbezaan pandapat mengenai murtad yang macam mana yang layak dihukum bunuh. 

Mereka yang berpandangan sedemikian membahagikan murtad ini kepada al-Khafifah (ringan) dan al-Ghalizah (berat) :

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah berkata : “ Sesungguhnya Nabi SAW telah menerima taubat sekumpulan murtad manakala telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada sekumpulan murtad yang lain. Ini kerana, selain murtad mereka juga membuat jenayah-jenayah lain yang membawa mudharat kepada Islam dan Muslimin”, seperti :

Arahan Nabi membunuh Maqyas Bin Hibayah pada hari Fathul Makkah, kerana selain murtad ia telah memerangi muslim dan mencuri harta serta tidak bertaubat selepas berkemampuan berbuat demikian. 
i. Nabi juga memerintah membunuh sekumpulan ‘uraniyyin juga dengan sebab yang sama. 
ii. Begitu juga Nabi pernah mengarahkan membunuh Ibn Khattal akibat murtad disertai dengan penghinaan, cacian dan memerangi muslim, 
iii. dan Nabi mengarahkan membunuh Ibn Abi Sirh akibat murtad disertai celaan dan pembohongan terhadap muslim. ”

Lalu Ibn Taimiyah membahagikan murtad kepada 2 jenis :
i. Murtad semata-mata maka boleh diterima taubatnya. 
ii. Murtad yang bersamanya muharabah (memerangi) Allah dan RasulNya serta menyeru kefasadan atas muka bumi, taubatnya tidak diterima. 

Berdasarkan beberapa hadis dan kenyataan diatas benarlah Nabi pernah melaksanakan hukuman bunuh ini, dan seterusnya menolak dakwaan Nabi tidak pernah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap si murtad. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi, kiranya benar sekalipun, mengenai pendapat bahawa nabi tidak pernah membunuh perlaku murtad ia adalah kerana murtad tidak terzahir di zaman baginda. Oleh itu, sudah nyata dan terang bahawa pelaku murtad hukumannya adalah bunuh berdasarkan Quran dan Sunnah atas kefahaman salafussoleh. 

Menurut Ibnu Taimiyah lagi bahawa, kumpulan Murtad yang tidak dibunuh adalah kerana mereka bertaubat dan tidak memerangi Islam (iaitu sekali dua) !, lalu Taubat bagi si Murtad yang tidak memerangi Islam adalah diterima Nabi SAW. 

Adakah hukuman terhadap perempuan sama seperti lelaki?. 
1. Hukuman keatas perlaku murtad adalah sama, tidak kira lelaki atau perempuan [Jumhur (Saidina Abu Bakar as-siddiq, Imam Hasan al-basri, Imam Az-Zuhri, Imam Al-Awza’ie, Imam al-Laith, Imam Ishak Rahuwiyyah serta majority termasuk tiga mazhab kecuali Hanafi) ]., dalilnya adalah:
Riwayat dari Muadz dan dianggap hasan oleh Hafiz bahawa Nabi Muhamad SAW ketika mengutus Muadz ke Yaman beliau berpesan: “Setiap lelaki yang bertindak Murtad maka panggillah dia, bila ia menolak untuk kembali lagi kedalam Islam maka penggallah lehernya!begitulah pula setiap perempuan yang bertindak murtad maka panggillah dia, bila ia menolak untuk kembali ke dalam Islam maka penggallah lehernya” (Feqh Sunnah) 
2. Namun menurut Pendapat Imam Hanafi bahawa wanita yang murtad tidak dibunuh tetapi hanya dipenjara dan diminta kembali kpd Islam. 

Hujah Imam hanafi dapat disanggah berdasarkan riwayat bahawa Abu Bakar telah bertindak menganjurkan seorang wanita bernama Ummu Qurfah yang murtad untuk bertaubat dan kembali lagi ke dalam islam. Ummu Qufah menolak maka ia pun dibunuh. Mengikut keterangan yang dikeluarkan oleh Baihaqi dan daraquthni (lihat feqh sunnah m/s 167) 

Keperluan menyuruh dan meminta si murtad bertaubat (istitab) :

Namun Islam itu adalah agama yang toleransi dan kasih sayang, tidaklah pelaku murtad itu terus dibunuh setelah sabit kesalahannya, tapi Islam menganjurkan mereka untuk bertaubat dan tanggungjawab pihak berwajib memberi nasihat dan penerangan kepada pelaku-pelaku ini. 

Menurut sebahagian Ulama’ kesempatan yang diberikan kepada orang yang murtad untuk menghilangkan keraguannya dan kembali ke dalam Islam adalah selama 3 hari. Akan tetapi sebahagian ulama lain ada yang tidak sependapat dengan pendapat tadi. Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa orang yang murtad hanya diberi penjelasan dan pandangan secara berulang-berulang sehingga dapat diperkirakan dengan mantap, apakah ia tetap murtad atau kembali kepada Islam. Bila ia tetap murtad maka ia dijatuhi hukuman Bunuh. 

Ada beberapa pendapat lain antaranya:

•Pandangan Thowus, Imam Hasan al-Basri, Ibn al-Majishun al-maliki, Qadhi Abu Yusof al-Hanafi, serta mazhab Dzohiriyah. : Tidak perlu istitab. Bahkan sekiranya si murtad bertaubat, ianya hanya akan memberikan manfaat kepadanya di akhirat, manakala di dunia tetap akan dibunuh. 
•Pandangan ‘ato’ bin abi ribah (ulama’ besar tab’ien) : sekiranya ia lahir muslim kemudian murtad maka tidak perlu istitab, terus dijalankan hukuman bunuh. Kiranya ia lahir sebagai kafir kemudian muslim kemudian kafir, ketika itu perlu istitab. Demikian juga pandangan Hasan al-Basri. 

Ulama’ ittifaq (sepakat) bahawa jenayah riddah akan gugur (hukumannya) sekiranya si Murtad bertaubat (bagi mereka yang tidak muharabah). Ini adalah kerana maksud istitab adalah mengembalikannya kepada Islam. (al-Mabsut As-Sarakahsi; Fathul Qadir Ibn Humam ;Bidayatul Mujtahid Ibn Rusd ; Al-Mughni al-muhtaj Khatib Syarbini; al-Mughni Ibn Quddamah) 

Seterusnya Alamah Yusuf Al-Qaradhawi berkata : “Adalah mesti utk kita mengasingkan di antara riddah ghalizah dan riddah khafifah, juga perlu dibeza di antara murtad dengan menyeru orang lain (agar membenci Islam dll) dan murtad yang tanpa seruan” (Yusof al-Qaradhawi, Jarimatur Riddah, hlm 35) 

Beliau memberikan contoh riddah ghalizah seperti Salman Al-Rushdie iaitu si murtad yang membawa pemikiran bid’ah dan sesatnya dengan lisan dan tulisannya. 

Bagaimana pula Murtad yang dipaksa?

Firman Allah Ta’ala mengenai golongan yang murtad secara dipaksa ataupun tidak sengaja : Ertinya : “ Sesungguhnya orang-orang yang mengikrarkan kekufuran setelah mereka beriman, akan mendapatkan murka Allah. Kecuali orang yang diperintah secara paksa untuk mengucapkan ikrar itu sementara hati mereka penuh dengan keimanan. Orang seperti itu akan selamat dari murka Allah. Akan tetapi orang-orang yang merasa lega hatinya dengan kekufuran itu, dan ikrar lisannya sesuai dengan apa yang ada dalam hati, maka mereka itu akan mendapat murka besar dari Allah dan di akhirat kelak, Dia akan menurunkan pada mereka siksa yang besar” (Ayat 106, Surah an-Nahl) 

Al-Imam al-Hafiz Ibnu Katsir rh memberikan komentarnya mengenai ayat di atas dengan katanya : Adapun Firman Allah SWT “ Sesungguhnya orang-orang yang mengikrarkan kekufuran setelah mereka beriman, akan mendapatkan murka Allah. Kecuali orang yang diperintah secara paksa untuk mengucapkan ikrar itu sementara hati mereka penuh dengan keimanan). Maka ayat ini sebenarnya merupakan PENGECUALIAN bagi sesiapa yang mengucapkan perkataan kufur secara TERPAKSA, demi menyenangkan hati kaum musyrikin dengan perkataannya itu, disebabkan tidak tahan menanggung penyiksaan dan kesakitan sedangkan hatinya tetap teguh beriman dengan Allah dan RasulNya dengan sebenar. 

Al-Imam al-‘Aufi meriwayatkan daripada Saidina Ibnu ‘Abbas r. a bahawa ayat ini memang diturunkan disebabkan kejadian yang menimpa Saidina ‘Ammar Bin Yasir r. a apabila beliau teruk sangat diazab oleh kaum musyrikin sehingga dia mengucapkan perkataan yang mengengkari status Baginda Nabi Muhammad SAW demi menyenangkan hati kaum itu. Selepas itu, beliau pun menemui Baginda Rasulullah SAW dengan memohon kemaafan yang tidak terhingga, lalu turunlah ayat di atas. 


Soal Murtad dan Hukumannya

MURTAD

Murtad adalah sesuatu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seseorang Islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan seseorang tadi keluar dari agama Islam. 

Seseorang Islam boleh menjadi murtad disebabkan satu daripada perkara-perkara berikut:
1) Disebabkan i’tiqad (kepercayaan). 
2) Disebabkan perbuatan yang sengaja. 
3) Disebabkan perkataan yang sengaja. 

Seseorang Islam juga boleh menjadi murtad disebabkan i’tiqad (kepercayaan) yang bertentangan dengan aqidah Islam. Di antaranya::

1) Tidak mengaku bahawa Allah Ta’ala ialah Tuhan yang berhak disembah. 

2) Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa nabi Muhammad saw itu adalah utusan Allah, atau mengingkari salah seorang rasul yang dahulu diturunkan dari nabi saw. 

3) Tidak mengakui bahawa Al-Quran itu diturunkan kepada nabi Muhammad saw dengan perantaraan malaikat Jibrail. 

4) Tidak mempercayai dan meragui hukum-hukum Allah yang disebutkan di dalam Al-Quran dan hadits Rasulullah saw. 

5) Tidak mengakui adanya malaikat-malaikat dan segala urusan yang diserahkan oleh Allah kepada malaikat-malaikat itu. 

6) Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa hari Qiamat itu akan datang; dan yang berkaitan dengan hari Qiamat, seperti Syurga, Neraka, dan lain-lainnya. 

7) Tidak mempercayai Qadha’ dan Qadar, iaitu buruk atau baiknya semuanya ditentukan dan datang dari Allah Ta’ala. 

8) Tidak mengakui atau ragu-ragu menerima ijma’ (kesepakatan) sahabat-sahabat Nabi saw dalam perkara hukum-hukum agama (ijma’ sahabat). 

9) Menghalalkan perkara-perkara yang telah diharamkan Allah dengan dalil-dalil Qath’ei (dalil yang sudah mutlak) seperti menghalalkan zina, minum arak, makan riba, dan sebagainya. 

10) Mengharamkan perkara-perkara yang telah dihalalkan Allah dengan dalil-dalil Qath’ei, seperti jual beli, berkahwin, sewa menyewa dan sebagainya. 

11) Mengingkari perkara-perkara yang telah diketahui oleh semua orang Islam sebagai suatu perkara yang telah ditentukan dan ditetapkan dalam agama, seperti mengingkari sembahyang, bilangan waktunya, bilangan raka’atnya. 

12) Tidak mengakui kewajiban yang telah ditsabitkan dengan dalil-dalil Qath’ie, seperti sembahyang lima waktu sehari semalam, puasa sebulan Ramadhan, Zakat, Haji, dan sebagainya. 

Untuk perkara 11 banyak berlaku sekarang pada sesetengah golongan tariqat sesat. 

Untuk perkara 12, golongan seperti anti-hadits dan jemaah Quran, tergolong kepadanya, ditambah kuatkan lagi dengan perkara (4) dan yang lain-lain. 


Perbuatan-perbuatan yang menyebabkan seseorang Islam itu menjadi murtad di antaranya adalah:
1) Sembah sujud berhala. 
2) Sujud menyembah matahari dan bulan. 
3) Sujud kepada makhluk-makhluk lain, seperti sujud kepada manusia, haiwan, kayu dan batu. 
4) Membuangkan Al-Quran atau hadits nabi saw ke dalam najis atau memijaknya. 

Seseorang Islam yang melakukan perbuatan-perbuatan yang disebutkan di atas (1) hingga (4), sama ada kerana:
a) sengaja atau
b) sombong dan takbur, atau
c) hendak menghinakan agama Islam
boleh menyebabkan ianya menjadi murtad dan kafir. 
Seseorang ISLAM itu tidak dianggap melakukan kesalahan murtad, KECUALI dengan adanya dua perkara berikut:

1) Keluar dari agama Islam (ya’ni meninggalkan agama Islam), iaitu mereka tidak mempercayai kebenaran agama Islam, sama ada melalui:
a) i’tiqad (kepercayaan), atau
b) melakukan perbuatan, atau
c) menuturkan perkataan

2) Mereka mempunyai niat sengaja melakukan perbuatan atau mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada kekufuran, DAN mengetahui bahawa perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang dikeluarkannya itu membawa kekufuran dan murtad. 

Sesiapa yang:
• melakukan sesuatu perbuatan, atau
• mengeluarkan perkataan yang membawa kepada kekufuran, 
dan
• dia TIDAK TAHU maksud perbuatan dan perkataan itu, maka dia
a) TIDAK BOLEH dihukumkan kafir dan murtad, dan
b) TIDAK BOLEH pula dikenakan hukuman had murtad sebagaimana yang ditetapkan oleh syara’. 
Untuk menghukumkan seseorang Islam itu menjadi murtad bukan hanya dengan melakukan perbuatan-perbuatan, atau mengeluarkan perkataan-perkataan yang membawa kepada kekufuran, TETAPI mestilah juga DISERTAI dengan NIAT di hati untuk menjadi kafir. 
Dengan menjelaskan perkara di atas ini maka saya nyatakan pula bahagian yang ketiga (selain i’tiqad dan perbuatan), iaitu

PERKATAAN-PERKATAAN YANG BOLEH MENYEBABKAN SESEORANG ISLAM ITU MENJADI MURTAD

Iaitu (antaranya) :

1. Mengatakan Allah Ta’ala itu ada sekutu dan berbilang-bilang, atau mengatakan Allah tidak berkuasa apa-apa atas alam ini. 

2. Mengatakan SYARIAH Islam yang diturunkan Allah bukan untuk mengatur perhubungan di antara individu dan masyarakat. 

3. Mengatakan hukum-hukum ISLAM tidak wajib dilaksanakan pada masa sekarang, kerana tidak sesuai dengan keadaan hidup masyarakat hari ini. 

4. Mengatakan setengah-setengah hukum Islam tidak sesuai lagi diguna pakai pada hari ini, hanya sesuai pada masa yang silam. 

5. Mengatakan tafsiran-tafsiran ayat-ayat Al-Quran yang dibuat oleh ulama-ulama tafsir yang dahulu (muktabar) tidak sesuai lagi digunakan sebagai dasar hukum hari ini, dan menganjurkan ulama-ulama hari ini membuat tafsiran mengikut keadaan dan suasana kehidupan ummat. 

6. Mengatakan bahawa Qadha dan Qadar (takdir dan ketentuan Allah) bukan datang dari Allah, malah adalah datang dari makhluk itu sendiri, atau dari kekuatan alam, bencana alam dan seumpamanya yang bermaksud yang sama iaitu bukan dari Allah sendiri. 

7. Mengatakan Allah Ta’ala itu salah satu daripada tiga Tuhan, iaitu Isa, Maryam, dan Ruhul Qudus. Dalam nash Al-Quran, jelas bahawa mengatakan bahawa orang-orang yang mengatakan Allah Ta’ala itu salah satu daripada tiga Tuhan adalah kafir - rujuk Al-Maidah, ayat 73. 

FAKTOR MURTAD:

A) - Faktor dalaman:

1- Fahaman agama yang nipis; Hanya sekadar pengetahuan agama secara kasar sahaja contohnya solat wajib, puasa wajib, judi, arak, itu salah. Agama semuanya sama. Soal pakaian, makan, minum, pergaulan ikut pilihan sendiri. Kita ada hak asasi manusia sendiri. Buat apa yang kita RASA betul. Ikut apa rasa hati. Ini semuanya kefahaman yang keliru dan melambangkan agama yang sangat nipis. Tidak faham apa itu wajib dan kesannya, apa implikasinya jika dibuat atau ditingalkan. Judi, arak itu salah. Salah itu apa?. Implikasinya apa jika dilanggar. Begitu juga zina, dadah, rompak, samun dan lain-lain. Hingga keluar dari agama Islam pun tidak rasa apa-apa kesalahan. 

2- Tidak ada harga diri / jatidiri; Lemah, mudah dipengaruhi. Bila di abui dengan hadiah lumayan sanggup teregadai apa saja. Seperti kisah-kisah dalam akhbar, gadis-gadis terpedaya dengan pujuk rayu para penipu, tergadai maruahnya, kesal, bunuh diri, mati, di akhirat tetap dihumban dalam neraka, tempat yang paling azab. Begitu juga mereka yang ingin kaya terpedaya dengan penipuan permainan "gores dan menang" atau "koyak dan menang". Begitulah dengan mereka yang mudah terpedaya dengan hadiah tukar agama. Sanggup buang yang benar, pilih yang palsu. 

B) - Faktor luaran:
Pengaruh-pengaruh daripada sesuatu yang berbentuk hiburan, keseronokan semata-mata; manusia jadi lalai, jiwa jadi lemah, iman jadi nipis, jatidiri terhakis, tidak berminat mendalami agama Islam sendiri, membaca Al-Quran dan hadis langsug tidak ingin, menganggap didikan agama Islam jadi penghalang kepada keinginan nafsu. Padahal agama Islam itu jadi benteng daripada diri terjerumus ke dalam kecelakaan dan kerosakan tetapi tidak nampak itu. 

Isu-isu murtad

Kes Azlina Jailani atau Lina Joy

Azlina Jailani dilahirkan oleh ibu bapa Melayu pada 1963. Dia menukar agama Islam kepada Kristian Katolik pada usia 26 tahun pada 1998. Dia telah dibaptiskan dan cuba mendapatkan pengesahanan daripada Mahkamah Malaysia, tanpa melalui mahkamah syariah. Namanya di dalam kad pengenalan berjaya ditukar kepada Lina Joy pada 1999. 

Selagi dia dikatakan sebagai orang Islam, Lina Joy tidak boleh berkahwin dengan pasangannya yang beragama Kristian, seorang kaum India. Sebaliknya pasangannya hendaklah menukar agama kepada Islam. 
Beberapa kes yang hampir serupa telah dilaporkan. Antaranya kes 'Maria' dan Nyonya Tahir. 

Lina Joy atau nama Islamnya Azlina Jailani merupakan wanita Melayu yang berumur 42 tahun tetapi kini mengaku telah murtad (keluar dari agama Islam) dan memeluk agama Kristian Katolik. Lantaran itu beliau cuba menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalan MyKad yang dimilikinya. Rayuan dan permohonannya dibuat dengan mengenepikan kuasa mahkamah syariah, tetapi secara lansung melalui proses undang-undang sivil. Pada mulanya beliau ke Mahkamah Tinggi, kemudian ke Mahkamah Rayuan, seterusnya ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN). 

Isu murtad merupakan subjek yang sensitif bagi orang Melayu yang hampir 100 % menganut agama Islam di Malaysia Kebolehpercayaan kerajaan boleh disalahtafsir jika gagal menangani isu-isu sebegini dan boleh mencetuskan rusuhan sebagaimana Tragedi Natrah di Singapura tahun 1950 dahulu. 

Kes Aisyah Bukhari

Seorang gadis yang berumur 25 tahun (1998), kini 35 tahun (2008). Mendapat pendidikan di sekolah agama sehingga tingkatan 6 atas. Merupakan anak kepada Haji Bukhari iaitu seorang imam masjid. Juga cucu kepada Haji Tahir yang juga seorang imam masjid yang sudah berpuluh tahun lamanya. Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai pengisian Islam yang hebat. Aisyah juga layak menjadi seorang ustazah dan juga layak untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar jika dia mahu. Beliau juga boleh menghafal surah Yasin dan surah Sajadah. Beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM), yang kini dikenali sebagai UiTM. Disana, beliau didedahkan dengan gerakan Islam. Beliau juga tahu kelemahan kitab Bible. 

Perenggan 6, bertarikh 28 November 1997, beliau telah melantik seorang peguam Kristian, iaitu Lennet Teoh Hui Leong dalam memberinya nasihat berkenaan dengan pertukaran agamanya kepada Kristian Katholik. Kes ini telah diputarbelitkan oleh seorang menteri yang kononnya menyatakan bahawa Aisyah telah berkahwin secara Islam di selatan Thailand bagi mengaburi mata orang Melayu. 13 Februari 1998, Ketua Pengarah JAKIM telah menafikan kenyataan menteri tersebut. 

Kes Hartina Haji Kamarudin

Nivasni Rajeswari atau nama Islamnya Hartina Haji Kamarudin merupakan seorang gadis Melayu. Berumur 18 tahun dan merupakan anak kepada seorang penjual satay di Perak. Gadis ini pada mulanya cuba mencari peluang pekerjaan di Kuala Lumpur. Namun tidak sampai 9 bulan pun bekerja disana dia telah pulang ke restoran milik bapanya dalam keadaan bertanda di dahi iaitu beragama Hindu. Dia pulang bersama teman lelaki dan rakan-rakannya yang juga beragama Hindu sambil berpeluk-pelukan. 

Bapanya lalu bertindak memukul teman lelakinya yang bertanggungjawab memurtadkan anak gadisnya itu. Sejurus kemudian, bapanya pula dipukul oleh rakan-rakan teman lelakinya itu hingga hampir pengsan. Demi menyelamatkan akidah si kakak, adik lelakinya juga turut dipukul. Namun apa yang paling menyedihkan adalah si gadis tersebut hanya membiarkan si bapa menggelupur sendirian bahkan dia hanya memapah kekasih hatinya. Tidak cukup dengan itu, si gadis tersebut bertindak dengan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis demi mempertahankan si kekasih. Selama 14 hari bapa dan adiknya meringkuk dipenjara. Tidak cukup dengan itu lagi, si gadis menyaman bapanya sejumlah 3 juta. Tidak lama selepas itu, kekasihnya ditembak oleh seseorang yang tidak dikenali. namun masih hidup. Akhirnya, anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh itu telah mengheret bapanya sendiri ke dalam lokap. Haji Kamarudin kini dihadapkan ke mahkamah dengan berbagai tuduhan. 

Berbagai-bagai lagi kes murtad yang pernah berlaku di negara kita antaranya kes Suzie Teoh, kes Ibrahim, Siti Solehah dan anak perempuan mereka yang berusia 5 bulan mati dipancung pada malam hari Valentine, 4 Februari kerana enggan kembali ke agama asal mereka iaitu Hindu. Juga kes Siti Fatimah, gelombang Kristian yang hebat melanda Bandar Baru, Kulim dan banyak lagi. 

Penutup

Apalah ertinya kerajaan mengagung-agungkan kononya negara ini adalah negara Islam sekiranya pemimpin yang memimpin tidak serius untuk menghalang umat Islam itu murtad. Sebelum ini kita pernah digempar dengan berbagai isu murtad, dan terbaru laporan Mufti Perak mengenai sejumlah besar orang Melayu yang telah murtad. Semuanya ini dinafikan dan dianggap omongan kosong semata-mata. Sikap acuh tidak acuh yang ditunjukkan ini adalah satu petanda kehancuran umat Islam itu sendiri sebenarnya. Islam Hadhari yang diperkenalkan, jelas sekali telah berjaya memesongkan akidah remaja Islam terhadap kepercayaan beragama. Hiburan demi hiburan yang disogok setiap hari jelas sekali telah berjaya merosakkan minda mereka. Sememangnya inilah yang dinantikan oleh golongan sekular yang bencikan Islam. Susulan daripada itulah kerajaan melihat bahawa isu murtad adalah masalah peribadi yang harus diselesaikan secara kaunseling semata-mata. Walhal, di seluruh negara kini semakin ramai bahkan berbondong-bondong orang Melayu yang telah m
urtad. Mengapakah mereka tidak memikirkan perkara ini dengan serius? Mungkin jika perkara ini diambil tindakan serius maka ia bercanggah dengan perlembagaan negara agaknya. 

Sebagai umat Islam, marilah kita melihat perkara ini dengan lebih peka lagi. Perubahan serta anjakan paradigma perlu dilakukan untuk menyedarkan rakyat terutamanya golongan muda agar melihat kebenaran. Jika mereka terus dipesongkan maka selagi itulah golongan yang bertujuan untuk melemahkan Islam akan terus berkuasa. marilah kita menanti “Kemenangan Islam” di mukabumi ini. Semoga kemenangan akan terus tercapai dan Islam akan tertegak di bumi tercinta ini. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com