Ajaran Sesat -

Oleh: Mohd Rozaimi Bin Salleh

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana berkesempatan untuk menyampaikan kata alu-aluan di dalam kertas kerja yang telah saya ringkaskan dari buku ‘Penjelasan Ciri-Ciri Utama Ajaran Sesat’. 

Buku kecil ini menjelaskan beberapa ciri dan faktor penting yang membawa kepada penyelewengan akidah di dalam masyarakat Islam untuk dijadikan panduan kepada kita bersama. Perkara ini menjadi lebih penting lagi kerana pada kebiasaannya ajaran sesat bergerak secara sulit dan disebarkan secara bersembunyi dan kadangkala berselindung di sebalik tarikat yang asing kepada masyarakat Islam dengan memutarbelitkan fakta-fakta yang sebenar. 

Oleh yang demikian, ringkasan ini secara tidak langsung dapat mendedahkan penyelewengan yang sering di bawa oleh guru-guru ajaran sesat seterusnya memberi panduan kepada masyarakat untuk mempelajari ajaran Islam yang sebenar. 

Sejarah kelahiran ajaran sesat atau penyelewengan akidah Islamiah ini bukanlah suatu perkara baru tapi ianya telah bermula sejak sebelum wafat Nabi Muhammad s. aw di mana telah lahir beberapa orang mendakwa dirinya sebagai Nabi selepas Rasulullah SAW. dan menyebarkan ajaran-ajarannya kepada umat Islam pada masa itu seperti Musailamatul Kazab, Talhah al-Asady dari Kabilah Bani Asad dan al-Aswad al-Anusi di Yaman. 

Pada masa ini di negara kita sudah banyak terdapat ajaran-ajaran sesat yang muncul dari semasa ke semasa di mana hampir keseluruhannya tidak dapat dihapuskan oleh pihak-pihak tertentu. Jika ditinjau masalah ajaran sesat ini ianya bukan sahaja lahir dalam masyarakat umat Islam sahaja bahkan semua agama dan semua bangsa menghadapi cabaran dengan kelahiran ajaran yang menyeleweng daripada ajaran asal seperti tragedy Guyana di mana pengikut-pengikutnya seramai 912 orang telah sanggup membunuh diri dengan meminum racun di bawah pimpinan Jim Jones. 

Di kalangan umat Islam Malaysia ajaran-ajaran sesat yang telah dikesan dan dipercayai paling lama usianya ialah ajaran Taslim yang telah diasaskan oleh Tuan Haji Ahmad Matahari pada akhir abad ke-17 di Kampung Seronok Bayan Lepas Pulau Pinang. Setelah Haji Ahmad Matahari meninggal ajaran ini dipimpin oleh anaknya dan setelah meninggal ia telah dipimpin oleh cucunya dan setelah cucunya juga meninggal maka ia telah dipimpin oleh orang-orang kanannya hingga ajaran ini merebak ke seluruh negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 

Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Suatu ancaman besar kepada agama dan umat Islam di Malaysia masa kini ialah penyebaran ajaran-ajaran sesat dikalangan umat Islam yang terus berjalan dari masa ke semasa. Ajaran-ajaran ini dapat bertapak apabila saja ianya diperkenalkan. Sehingga kini hampir seluruh pelusuk rantau negara ini diresapi oleh berbagai-bagai bentuk ajaran sesat, yang datang dari berbagai-bagai tempat. Sebilangan daripada ajaran-ajaran tersebut terang-terang boleh mengheret pengikutnya keluar dari akidah dan syariah agama Islam tetapi tidak disedari oleh pengikutnya putus hubungan dengan saudara-saudara Islamnya yang lain di dalam masyarakat. Ada pula ajaran-ajaran di mana pengikutnya sanggup keluar dari agama Islam kerana mempercayai bahawa ajaran itu betul, dan pula yang sanggup menceraikan isteri, meninggalkan rumahtangga dan seterusnya melakukan kekejaman ke atas orang lain dan kadang-kadang melakukan pembunuhan. 

Keadaan-keadaan beginilah yang benar-benar mengancam agama dan keselamatan umat Islam di negara ini dan amat sukar diatasi sekiranya tindakan yang betul-betul berkesan tidak diambil dengan segera. 

Antara sebab-sebab berlakunya penyelewengan agama ini adalah antaranya terdapat individu yang mempunyai kepentingan diri seperti untuk mendapatkan kedudukan, harta, dan sebagainya. Selain itu terdapat juga golongan yang ingin melemahkan ajaran Islam dengan memesongkan akidah orang Islam. 

Dalam rumusan ini saya juga memuatkan sedikit tentang cirri-ciri ajaran sesat antaranya mencemarkan kesucian Al-Ouran dan hadis seperti memansukh, mengubah, mempertikai, atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap Al-Quran dan hadis. Contohnya kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitab sucinya Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi. selain itu Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai. 

Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Oadiani. 

Yang seterusna ialah Menolak perkara yang qat'ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai. 

Ciri yang ke seterusnya ialah Mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai, Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah, Mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi, wali, dan malaikat, Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah SWT. seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia di dalam doa atau jampiansebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam dan Menolak hadis mutawatir atau hadis secara umum seperti golongan anti hadis. 

Dalam kajian saya, terdapat juga kesan buruk dalam pengamalan ajaran sesat ini. Contohnya Kesan terhadap individu. akidah seseorang akan rosak. Orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah. Mereka wajib bertaubat dan kembali kepadaajaran Islam. kesan yang kedua ialah masa terbuang. Masa banyak terbuang dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat. kesan yang ketiga pula minda seseorang akan tertutup. Pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatic. Kesan yang keempat ialah kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa. 

Selain itu, terdapat juga kesan terhadap masyarakat contohnya keruntuhan institusikekeluargaan. Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka. 
kesan yang kedua ialah perpaduan tergugat. Sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling. Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat;
manakala kesan yang ketiga ialah berlaku keganasan. Kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan. 

Negara juga akan turut terkena biasannya juga. Contohnya negara akan mundur. Penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu. kesan yang kedua ialah negara tidak stabil. Penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara. 

Di sini saya juga turut muatkan beberapa contoh ajaran sesat:

Qadiani

1. Pengasasnya ialah Mirza Ghulam Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 1908 Masihi. 
2. Nama Qadiani ialah sempena tempat lahir pengasasnya di Qadian iaitu sebuah kampung di Daerah Gusdapur, India. 
3. Ajaran ini mula muncul pada tahun 1889 Masihi. 
4. Ajaran ini dibawa ke Malaysia oleh Maulana Muhammad Sadiq bin Barakatullah pada tahun 1949 Masihi. 
5. Ciri-ciri kesesatan ajaran Qadiani ialah:
 (a) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi, nabi, dan jelmaan Krisyna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu) ;
 (b) beriktikad bahawa Allah SWT. menurunkan kepada Mirza Ghulam Ahmad sebuah kitab suci yang bernama Al-Tazkirah;
 (c) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad memiliki sejuta jenis mukjizat;
 (d) menghapuskan jihad;
 (e) mengubah ayat Al-Quran seperti ayat 6 surah Al-Saf, ayat 52 surah Al-Haj, dan ayat pertama surah Al-Qadr;
 (f) mendakwa malaikat sebagai pancaindera Allah SWT;
 (g) mengisytiharkan Qadian sebagai tanah suci dan tempat menunaikan haji;
 (h) mendakwa bahawa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinegar, India;
 (i) menghukum kafir selain penganut Qadiani. 

Bahai

1. Bahai diasaskan oleh Husain Ali Al-Mazandani yang meninggal dunia pada tahun 1892 Masihi. 
2. Bahai adalah nama sempena pengasasnya yang digelar sebagai Baha'ullah. 
3. Ajaran Bahai adalah lanjutan kepada ajaran Al-Babiah yang diasaskan oleh Ali Muhammad Al-Syirazi yang meninggal dunia pada tahun 1850 Masihi. 
4. Ajaran Bahai muncul di Iran pada tahun 1847 Masihi. 
5. Ajaran Bahai mula tersebar di Malaysia pada tahun 1953 melalui Yan Kee Leong. 
6. Ciri-ciri kesesatan ajaran Bahai ialah:
 (a) beriktikad bahawa pengasasnya ialah jelmaan Allah SWT. ;
 (b) beriktikad bahawa semua agama adalah sama dan digabungkan dalam ajaran Bahai;
 (c) beriktikad bahawa alam ini bersifat baqa' (kekal) ;
 (d) beriktikad bahawa kitab suci mereka iaitu Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi;
 (e) beriktikad bahawa Nabi Isa mati disalib;
 (f) mengagungkan kod 19 hingga kononnya Al-Quran dipengaruhi oleh kod tersebut;
 (g) menolak kewujudan mukjizat, malaikat, syurga, dan neraka;
 (h) memansukhkan agama Islam;
 (i) menganggap Acre di Palestin sebagai kiblat baru;
 (j) mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti puasa 19 hari, solat sebanyak 9 rakaat dan dikerjakan 3 kali sehari, dan berwuduk dengan air mawar atau diganti dengan bacaaan Bismillahil Athar sebanyak lima kali; menghapuskan jihad. 

Taslim

1. Taslim diasaskan oleh Haji Muhammad Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Muhammad Matahari. 
2. Ajaran ini mula wujud pada tahun 1870-an di Kampung Seronok di Bayan Lepas, Pulau Pinang. 
3. Ajaran ini merupakan ajaran sesat yang paling tua di Malaysia. Ajaran ini juga mempunyai persamaan dengan kepercayaan Syiah Ismailiah Batiniah. 

Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim ialah:
 (a) beriktikad bahawa diri batin manusia ialah Allah dan diri zahir manusia ialah nur Muhammad;
 (b) beriktikad bahawa alam ini bersifat qadim;
 (c) mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut hawa nafsu;
 (d) mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin;
 (e) menolak kewujudan hari kiamat, syurga, dan neraka;
 (f) solat secara niat tanpa rukun qauli (perkataan) dan fikli (perbuatan) ;
 (g) menganggap Haji Muhammad Matahari sebagai pemimpin yang maksum

Dalam masalah ini, terdapat beberapa langkah-langkah untuk menangani masalah ajaran sesat, antaranya ialah melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Pengaruh ajaran sesat dapat ditangkis dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran secara formal atau tidak formal. langkah yang kedua dengan menyebarkan ajaran Islam. Ajaran Islam hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, seminar, forum, dan simposium. seterusnya Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang Penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat. 
Program pemulihan akidah juga ialah salah satu cara untuk menangani masalah tersebut. Orang yang terlibat dengan ajaran sesat amat memerlukan kepada program pemulihan akidah, Di Malaysia terdapat beberapa buah pusat pemulihan akidah seperti Pusat Pemulihan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor. 

Dalam buku yang telah saya kaji ini telah menjelaskan tentang beberapa ciri-ciri ajaran sesat. Antaranya ialah:
i. Mempercayai orang mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya
ii. Bersumpah merahsiakan ajaran yang diikutinya
iii. Mengagung-agungkan keturunan Yahudi
iv. Mengaku dirinya atau gurunya sebagai Nabi
v. Mengaku memiliki barang-barang peninggalan Rasulullah SAW
vi. Mempercayai semua ajaran adalah sama
vii. Mengaku dirinya sebagai wali
viii. Mempercayai Gurunya boleh memberi syafaat
ix. Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana bersuluk

i. Mempercayai orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila
diseru namanya. 
Ada terdapat amalan tarikat yang mempercayai bahawa gurunya yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya. 

1) Semua manusia dan makhluk yang hidup di atas muka bumi ini akan mati. Manusia yang mati itu tidak akan dihidupkan kembali melainkan di hari Kiamat untuk menerima pembalasan. Dalam hal ini, Allah telah menegaskan melalui firman-Nya:
ii. Bersumpah merahsiakan ajaran yang diikutinya. 
Kebanyakkan ajaran sesat mensyaratkan pengikut-pengikutnya menyembunyikan ajaran yang dipelajari dari diketahui oleh orang lain kecuali pengikut-pengikut sahaja”. 
1) Perkara tersebut amat berbeza sekali dengan kehendak Islam kerana Islam adalah satu agama yang menghendaki umatnya menyeru untuk menyampaikan perkara kebaikan kepada manusia sejagat secara terus terang dan tidak bersembunyi-sembunyi. 
iii. Mengagung-agungkan keturunan Yahudi
Ada guru ajaran sesat yang mengaku dirinya sebagai keturunan Yahudi dan mendakwa menerima wahyu daripada Allah dan menganggap bahawa keturunan Yahudi paling agung di dunia ini. 
1) Sikap mengagung-agungkan keturunan Yahudi sebagai kaum atau bangsa yang paling baik, yang perlu diikuti adalah salah satu cirri kesesatan di dalam Islam. Ianya tanda-tanda sesat di dalam pegangan agama Islam kerana al-Quran telah menerangkan sikap orang Yahudi di dalam surah al-Maidah : 82. 
2) Allah SWT. telah menganggap orang Yahudi sebagai golongan yang sesat merupakan kaum yang mempunyai akhlak yang buruk. Jadi sesiapa yang mengikuti jejak kaum Yahudi adalah digolongkan serupa dengan mereka. 
3) Sifat mereka disebutkan di dalam al-Quran sebagai kaum pandai membuat muslihat terhadap apa yang dirasakan oleh menguntungkan mereka. Allah menyatakan kaum Yahudi adalah seloba-loba manusia kepada hidup (yang lanjut masanya) melebihi kaum kafir musyrik. Mereka suka kiranya boleh hidup seribu tahun. 
4) Kaum Yahudi adalah kaum yang suka mengamalkan sihir dan menggunakannya dengan sewenang-wenangnya. 
5) Orang Yahudi masih berpegang dengan sikap mereka tidak menurut perintah Allah, tidak menerima kerasulan dan ajaran daripada Nabi-nabi selepas Nabi Musa, iaitu Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW. Meraka menganggap apa yang mereka pegang itulah sahaja yang benar. Lalu mereka putarbelitkan kebenaran untuk mempertahankan pegangan mereka. 
6) Allah menceritakan sikap mereka di dalam al-Quran sebagai kaum yang keras hati, lebih keras daripada batu di dalam hal menerima kebenaran dan keimanan. Selepas itu mereka tutup hati mereka daripada menerima Islam dan mengisytiharkan bahawa mereka adalah anak-anak Allah yang sangat disayangi Allah. Bahkan mereka mendakwa bahawa syurga dan akhirat adalah hak istimewa mereka sahaja. Pada hal mereka adalah sebagai orang yang tidak mempunyai agama selagi mereka tidak beriman dengan Kitab Taurat yang membawa mereka percaya kepada Nabi Muhammad SAW. dan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. 
7) Sikap mengagung-agungkan kaum Yahudi ini sebagai tanda-tanda terkeluar daripada ajaran Islam kerana sikap ini adalah bertentangan dengan tuntutan al-Quran. Di dalam al-Quran Allah memperingatkan orang Islam tentang sikap orang Yahudi terhadap agama lain. Mereka sentiasa berusaha supaya orang Islam mengikuti jejak mereka. 

iv. Mengaku dirinya atau gurunya sebagai Nabi
“Untuk menyakinkan pengikut, ada guru-guru ajaran sesat yang mendakwa menerima wahyu dan mengaku sebagai Nabi”. 
1) Agama Islam telah menetapkan bahawa Allah SWT. telah mengutuskan seramai 25 orang Nabi dan Rasul kepada umat manusia dan Nabi Muhammad SAW. merupakan Nabi dan Rasul yang terakhir yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan syariatnya kepada umat manusia. Segala hukum-hukum dan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. merupakan syariat yang terakhir dan tidak ada lagi wahyu yang diturunkan selepasnya. 
2) Kalau ditinjau dalam sejarah Islam orang-orang yang mengaku mendakwa menjadi nabi sesudah Nabi kita Muhammad SAW. adalah sangat ramai sehingga ke zaman kita hari ini. Pada permulaan wafatnya Junjungan Besar Muhammad SAW. telah muncul tiga orang yang mendakwa dirinya menjadi Nabi, iaitu Muhammad Kazab di Yamamah Al-Aswad Al Unusi di Negeri Yaman, dan Talhah Al Asadi dari Kabilah Bani Asad. 
3) Kesudahannya mereka ini telah mati terbunuh di tangan askar-askar pejuang Islam yang dipimpin oleh Jeneral Khalid Ibni Walid, setelah beliau diutus khas oleh Khalifah Islam Syaidina Abu Bakar r. a. untuk menghapuskan golongan yang mendakwa menjadi Nabi palsu itu. Pada tahun 11 Hijrah Talhah Al Asadi telah bertaubat dan kembali kepada Islam di akhir hayatnya. 
4) Mengikut iktikad dan fatwa ulama-ulama dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa hukuman bagi orang-orang yang mengaku dirinya atau gurunya sebagai Nabi sesudah Nabi Muhammad SAW. adalah terkeluar daripada agama Islam. Oleh itu golongan-golongan yang mendakwa menjadi Nabi selepas wafatnya junjungan Nabi Muhammad SAW. telah diperangi oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW. 

v. Mengakui Dirinya Memiliki Barang-barang Peninggalan Rasulullah SAW. 
“Ada setengah guru ajaran sesat yang mendakwa memiliki barang-barang peninggalan Rasulullah SAW. bertujuan untuk menyakinkan pengikut bahawa ajarannya itu benar daripada Rasulullah SAW. ”
1) Dakwaan ini bertujuan untuk menunjukkan kehebatan seseorang itu sahaja dan juga untuk mempengaruhi orang lain dengan menggunakan nama Rasulullah SAW. Perlu diingat bahawa barang-barang peninggalan Rasulullah SAW. tidak mempunyai apa-apa kelebihan pun malah ianya sama seperti barang-barang lain. 
2) Dakwaan ini menjadi lebih meragukan lagi jika seseorang yang mendakwa memiliki barang-barang peninggalan Rasulullah SAW. itu tidak mempunyai hubungan langsung dengan Rasulullah SAW. yang memberi peluang seseorang itu untuk menerima barang-barang peninggalan Rasulullah SAW. secara langsung. 
3) Taraf keistimewaan sahabat adalah kerana ilmu dengan dan amalannya sahaja. Oleh itu sesiapa sahaja sama ada di zaman Rasulullah atau sekarang ini mempunyai keistimewaannya disebabkan oleh ilmu dan amalannya sahaja bukannya berpandukan kepada jauh dan dekatnya seseorang itu dengan Rasulullah SAW. 

vi. Mempercayai Semua Ajaran Adalah Sama. 

“Untuk meyakinkan pengikut supaya mempelajari sesuatu ajaran salah, guru-guru ajaran salah mengatakan bahawa semua ajaran adalah daripada Allah dan menuju ke syurga. ”

1) Setiap manusia normal mempunyai naluri yang baik dan sentiasa inginkan perkara-perkara yang baik di dalam hidupnya. Naluri itu mengerakkan tabiat manusia kepada mencari jalan untuk hidup aman dan damai. Atas keperluan itu menjadikan manusia secara langsung mempunyai fitrah (bakat) hidup beragama. Dengan sebab itu apabila Allah mengarahkan manusia berpegang kepada agama Allah sebagai landasan cara hidup yang selamat dan diredhaiNya diterima oleh manusia sehingga ke hari ini. Walaupun begitu terdapat manusia yang tidak menerima hidayah (petunjuk) daripada Allah, mereka terus mencari malah membentuk doktrin (prinsip) dan method (cara) tersendiri sebagai pegangan hidup untuk memenuhi fitrah semula jadi itu. Masing-masing cuba mempertahankan keyakinan dan pegangan mereka. Di dalam keadaan begitu ada pula golongan yang mempercayai semua agama adalah sama, mereka percaya bahawa semua agama menuju ke syurga. Pendapat ini adalah penyelewengan terhadap ajaran Islam juga merupakan salah satu ciri-ciri utama ajaran sesat. 
viv. Meninggalkan Sembahyang Jumaat Kerana Bersuluk
“Ada antara guru-guru ajaran sesat yang mengharuskan pengikut-pengikutnya meninggalkan sembahyang Jumaat ketika bersuluk. ”
1) Mengharuskan kewajipan sembahyang Jumaat semasa bersuluk beerti mengharuskan sesuatu yang diwajibkan oleh Allah SWT. Mengikut syarak, hokum sembahyang Jumaat adalah Fardhu Ain bagi setiap yang mukallaf. 

Pada masa ini terdapat beberapa jenis ajaran sesat yang dapat dibahagikan kepada tiga bentuk utama iaitu:
i. Bentuk Ajaran
Ajaran ini biasanya lahir melalui ajaran-ajaran yang direka atau dicipta oleh seorang guru atau penganjur ajaran sesat yang
menggunakan berbagai-bagai nama atau pengamalan tertentu. 

ii. Bentuk Tarikat
Melalui bentuk tarikat ini biasanya mereka menggunakan nama-nama tarikat yang masyhur di kalangan umat Islam kerana tarikat ini telah pun diamalkan oleh ulama-ulama yang mana mereka ini mengamalkan amalan-amalan tarikat ini dengan berpandukan kepada al-Quran dan sunnah. Dengan ini meraka menggunakan nama-nama tarikat ini seperti Ahmadiah, Naqsyabandiah Sazaliah, Samaniah, Qadariah, Muffaridiah dan berbagai-berbagai lagi. Kadang-kadang nama-nama tarikat ini diciptakan mengikut ajaran tarikat ini. 

Walaupun terdapat nama-nama yang bersamaan antara tarikat-tarikat yang direka dengan tarikat asal tetapi ternyata daripada ajaran-ajaran yang diamalkan oleh mereka dan konsep yang terdapat dalam ajaran tarikat itu terdapat unsur-unsur ataupun bahan-bahan yang boleh membawa penyelewengan akidah Islamiah dan boleh membawa pengikut-pengikutnya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. 

iii. Melalui kepercayaan dan amalan tradisi yang berhubungan dengan amalan mistik dan kultus. 
Bentuk kepercayaan ini telah menjadi satu perkara lumrah dikalangan orang-orang Melayu Islam di negara ini kerana ianya bersifat:

a. Pemujaan kepada tempat-tempat yang dianggap keramat. 
b. Pemujaan kepada orang-orang yang dianggap wali dan mempunyai kelebihan. 
c. Kepercayaan kepada kuasa-kuasa kesaktian melalui amalan-amalan seni mempertahankan diri dan sebagainya. 
d. Kepercayaan terhadap dukun-dukun atau bomoh-bomoh yang mendakwa mendapat ilmu kedukunan daripada
mimpi-mimpi atau orang-orang halus (bunian ataupun sampingan) melalui amalan cara menurun dan sebagainya. 

Jika dilihat daripada bentuk-bentuk yang disebutkan di atas adalah menunjukkan bahawa orang-orang Islam di negara ini masih mencampuradukkan di antara pola-pola kepercayaan tradisi mereka dengan unsur-unsur agama Islam dan sekiranya pola-pola yang sedemikian tidak dapat dipisahkan dengan kepercayaan umat Islam pada hari ini, maka krisis akidah umat Islam makin meruncingkan. 

penutup

Islam adalah satu-satunya agama yang lengkap lagi komprehensif (syumul) kerana ia diasaskan atas tiga komponen utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga komponen ini menjadi tonggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam. 

Rahsia kejituan Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber utama iaitu Al-Qur‘an dan As-Sunnah. Maka keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah ditentukan kepada ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan Al-Qur‘an dan As-Sunnah. 

Masyarakat Islam telah dilanda oleh pelbagai kecelaruan dalam memahami tentang akidah Islam yang sebenar. Kita merasa amat dukacita dalam suasana keghairahan umat Islam hendak mendekati dan menghayati ajaran Islam ini, ada di kalangan umat Islam yang masih teraba-raba mencari kebenaran tersebut. Natijahnya menyebabkan sebahagian umat Islam terjebak ke dalam fahaman dan ajaran sesat yang ditaja oleh golongan-golongan tertentu yang mempunyai kepentingan hawa nafsu dan kebendaan. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com