Neraka Wail Bagi Orang Yang Solat -

Oleh: Nurul Hafsah Binti Mahmud

ABSTRAK
Sebagai seorang muslim yang telah meyakini kebenaran Al-Quran, maka seharusnya tahu bahawa perintah sembahyang itu telah dijelaskan di dalam Al-Quran malah telah ditegaskan dalam beberapa hadis nabi di mana hadis-hadis itu memberi petunjuk dan penerapan sehari-hari bagaimana sembahyang yang baik dan benar. 

Apabila seseorang itu telah memahami makna sembahyang, lalu mengerjakannya, maka tentu akan dapat mempengaruhi akhlaknya. Dengan kata lain, sembahyangnya dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. 

Sembahyang yang baik dan benar ialah yang dikerjakan dengan hati yang ikhlas. 

Ikhlas dalam hal ini bermaksud mengerjakan sembahyang bukan semata-mata takut dosa atau mengharapkan pahala. 

Sebenarnya sembahyang yang benar adalah sembahyang yang menunjukkan keperluan kepada Allah dan menunjukkan ketundukan hati. 

PENDAHULUAN
Buku Neraka Wail bagi Orang yang Sembahyang ini membincangkan perihal orang yang lalai serta alpa ketika mengejakan sembahyang. Juga perihal orang yang mengabai atau meninggalkan sembahyang. 

Sesungguhnya diperintahkan sembahyang itu semata-mata untuk kepentingan kita sendiri. Allah tidak merasa diuntungkan atau dirugikan jika kita mengerjakan sembahyang atau tidak. 

Sebagai seorang muslim yang telah meyakini kebenaran Al-Quran, maka seharusnya tahu bahawa perintah sembahyang itu telah dijelaskan di dalam Al-Quran malah telah ditegaskan dalam beberapa hadis nabi di mana hadis-hadis itu memberi petunjuk dan penerapan sehari-hari bagaimana sembahyang yang baik dan benar. 

Orang yang mengabaikan sembahyang atau meremehkannya, maka dia akan rugi. Rugi di dunia dan terseksa di akhirat. Ini kerana terdorong oleh hawa nafsu sendiri. Sembahyang merupakan alat untuk mendekatkan diri dan mengingat Allah. Kerana itu sesorang akan menjadi “sesat” di dunia jika meninggalkan sembahyang. 

Orang yang nampaknya sembahyang boleh juga dianggap tidak sembahyang. Bahkan sembahyangnya ditolak dan dia diancam masuk neraka. Itulah sembahyang orang-orang munafik. 

PENJELASAN PERI PENTINGNYA SOLAT DI DALAM AL-QURAN
Allah SWT berfirman : “ Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka kelak mereka akan menemui kesesatan, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh. Maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikit pun. ” (Surah Maryam : 59-60) 

Allah SWT berfirman : “ Wahai orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, mereka itulah orang-orang yang rugi. (Surah Al-Munafiqun : 9) 

Tentang perangai orang munafiq yang mereka itu sembahyang tetapi celaka seperti dijelaskan dalam ayat Al-Quran berikut ini : “ Apakah orang yang memasukkan kamu dalam Saqar (neraka) ? Mereka menjawab, Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat. ” (Surah Al-Mudathir:42-43) “ Maka kecelakaan bagi orang yang sembahyang (iaitu) orang-orang yang lalai dari sembahyangnya. ” (Surah Al-Ma’un :4-5) 


PENJELASAN PERI PENTINGNYA SOLAT DI DALAM AS-SUNNAH
Rasulullah SAW bersabda : “ Amal seorang hamba yang pertama kali akan diperiksa pada hari kiamat nanti adalah sembahyangnya. Jika sembahyangnya baik, dia beruntung, jika sembahyangnya rosak dia bernasib sial dan rugi. ” (Riwayat At-Tirmizi) 

Rasulullah SAW bersabda : “ Orang yang mengabaikan sembahyang berjemaah dikutuk (sebagaimana dimuat dalam kitab-kitab) Taurat, Zabur dan Al-Quran. Maksudnya dia berjalan di atas bumi dikutuk oleh bumi, dimarahi oleh Allah dan para malaikat, serta segala ciptaan Allah yang bernafas, juga dikutuk oleh seluruh malaikat di kawasan langit dan bumi serta ikan-ikan di laut. ” Nabi SAW bersabda: “ Sesungguhnya batas yang memisahkan antara seseorang dengan kufur hanyalah sembahyang, maka siapa yang meninggalkan sembahyang bererti dia telah kafir. ” (Riwayat Muslim) 

Nabi SAW bersabda : “ Sesiapa menjaga sembahyang maka pada hari Kiamat kelak dia akan berhak mendapat cahaya, bukti dan keselamatan. Dan sesiapa yang tidak menjaganya maka pada hari kiamat kelak dia tidak berhak mendapat cahaya, bukti dan keselamatan. Pada hari kiamat nanti dia akan bersama-sama Firaun, Qarun dan Ubai Bin Khalaf. ”

SOLAT ORANG ISLAM PADA NAMA SAHAJA
Aqidah merupakan keimanan yang sangat menentukan apakah nanti orang itu akan taat kepada Allah atau hanya semata-mata sebagai orang islam pada nama sahaja. 

Keadaan orang islam yang dianggap pada nama ini tidak pernah merasakan nikmatnya Islam dan nikmatnya sembahyang. Mereka mengerjakan sembahyang tetapi tidak tahu untuk apa sembahyang dilakukan

HUBUNGAN SEMBAHYANG DAN AQIDAH
Tingkat pertama dalam keimanan ialah aqidah. Tidak mudah seseorang boleh mensucikan jiwanya dengan iman jika dimulai dari tingkatan selain aqidah. Adalah mustahil seseorang mengenal islam diawali dengan menunaikan ibadah haji atau sembahyang. 

Setelah mempunyai aqidah yang benar dan keimanan yang kuat kepada Allah, maka turunlah ajaran-ajaran berikutnya. 

MENGERJAKAN SEMBAHYANG DENGAN SENANG HATI
Orang yang aqidahnya kuat, ketaatannya sungguh-sungguh kepada Allah, mereka melakukan kewajipan dengan senang hati. Bahkan sepenuh jiwa menghambakan diri kepada Allah. 

Sembahyang yang dikerjakan akan tidak merasa berat dan terpaksa untuk dilakukan. Jika merasa terpaksa, bererti hamba itu tidak ikhlas. 

SYURGA DUNIA BAGI ORANG YANG SEMBAHYANG
Syurga di dunia ialah kehidupan yang damai, aman, nyaman, sentosa, dan menyenangkan. Kesenangan yang menyentuh jiwa dan raga dan menimbulkan kedamaian. Tetapi ada pula kesenangan yang bersifat sementara (palsu) yang disebabkan oleh hawa nafsu. 

Sembahyang mestilah dikerjakan dengan sempurna dan khusyuk dan supaya dapat mengerjakan sembahyang sesuai dengan harapan Nabi SAW, maka seseorang itu mesti mempelajari A-Quran. Perkara ini akan memudahkan seseorang itu mencapai syurga dunia dan bukan sahaja syurga di akhirat. 


SEMBAHYANG YANG MENJADI BENTENG DIRI
Apabila seseorang itu telah memahami makna sembahyang, lalu mengerjakannya, maka tentu akan dapat mempengaruhi akhlaknya. Dengan kata lain, sembahyangnya dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. 

Tetapi jika orang islam pada nama sahaja, maka sembahyangnya tidak lebih hanya semata-mata kerana latihan mwmbaca kalimat dan gerakan pada tubuh sahaja. 

Alangkah malangnya jika kita sudah bersusah payah mengerjakan sembahyang agar tidak ditolak oleh Allah, tetapi rosak kerana akhlak yang buruk, contohnya seperti mengumpat. 

SEMBAHYANG YANG TIDAK DIKIRA SEMBAHYANG

SEMBAHYANG YANG KURANG SYARAT DAN ADABNYA
Seseorang yang hendak bertemu dengan raja atau ketua negara pasti memperhatikan adab kesopanan yang mesti dipatuhi. Begitu jugalah dengan hamba yang sangat kerdil pergi menghadap dan berdialog dengan Allah yang Maha Besar, hendaklah patuh terhadap syariat-Nya. 

Jika menghadap raja sahaja pun sudah cemas dan gelisah, apatah lagi menghadap Allah. Semestinya seseorang hamba harus merasa lebih gelisah, takut dan penuh harapan apabila berjumpa dengan Allah melalui sembahyang. 

SEMBAHYANG BUKAN KEGIATAN BIASA
Jika kita memandang bahawa sembahyang adalah sesuatu yang biasa, maka kita tidak akan mendapat manfaat sedikit pun dari sembahyang itu. 

Sembahyang yang baik dan benar ialah yang dikerjakan dengan hati yang ikhlas. 

Ikhlas dalam hal ini bermaksud mengerjakan sembahyang bukan semata-mata takut dosa atau mengharapkan pahala. 

Tapi ikhlas itu perlulah disertai sekali dengan menyempurnakan adab sembahyang. Ibaratnya seseorang yang menghadap pembesar, niat yang baik belum cukup jika tidak mematuhi peraturan yang ada, jika melanggar aturan itu, dia tidak akan boleh menghadap pembesar, sekalipun dapat, dia akan mendapat murka. 

MELAKSANAKAN ADAB SERTA ATURAN SEMBAHYANG
Rasullullah SAW bersabda : “ Nanti pada hari kiamat Allah tidak memandang kepada hamba yang tidak meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujudnya. ”

Apabila seseorang sembahyang dengan sempurna dan khusyuk, maka amalan sembahyang itu akan mendoakan dirinya. Amalan sembahyang itu akan naik ke langit menuju Allah dengan warna putih berseri-seri :
“ Mudah-mudahan Allah menjagamu sebagaimana engkau telah menjagaku”

Sebaliknya, jika seseorang mengerjakan sembahyang dengan tidak tentu, maka amalan sembahyang tersebut kabut dan mendoakan dengan doa yang kurang menyenangkan:
“ Mudah-mudahan Allah mengabaikan kamu seperti halnya engkau mengabaikan aku”

 ORANG YANG MENCURI SEMBAHYANG
Rasulullah SAW bersabda :
“Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri sembahyangnya (tidak menyempurnakan rukun sembahyangnya) ”
Sembahyang yang tidak sempurana ialah apabila rukuk tidak sempurna kerana tulang belakangnya tidak lurus. Ketika berdiri, dia memalingkan kepala, melirik ke pelbagai arah, bahkan membaca tulisan yang melekat di dinding masjid. Semua itu dianggap pencuri paling jahat. 

JASAD SEMBAHYANG FIKIRAN MENERAWANG
Firman Allah SWT : “ Sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingat-Ku!” (Surah Toha: 14) 

Bagaimana mungkin seseorang itu dikatakan sembahyang jika fikirannya mengingat selain Allah. Dan orang yang lalai dalam sembahyang itu dianggap celaka. 

KESIALAN ORANG YANG LALAI DALAM SEMBAHYANG
Ada yang berpendapat bahawa orang yang lalai dalam sembahyangnya, maka sembahyang itu dianggap haram. 
Firman Allah : “.. dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai” (Surah Al-A’raf : 205) 

Kerana itu dalam sembahyang hendaklah kita memahami makna bacaan yang dihafalkan. Kerana makna bacaan yang terkandung memiliki maksud suatu “komunikasi” dengan Allah. 

Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman : “.. sampai kamu mengerti apa yang kamu ucapkan”


SEMBAHYANG ADALAH UNTUK KEMASLAHATAN MANUSIA
Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa tidak terhalang kerana sembahyangnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka dia sebenarnya bertambah jauh dari Allah”

Rasulullah SAW bersabda : “Ramai sekali orang yang mengerjakan sembahyang, tetapi bahagian yang dia peroleh dari sembahyangnya hanyalah penat dan letih. ”

Adapun tuntutan tujuan sembahyang hati adalah iman dan meyakini bahawa kehidupan akhirat adalah baik dan kekal. Sembahyang merupakan perantara untuk munuju ke sana. 

Rasa takut kepada Allah akan timbul jika seseorang mempunyai pengetahuan dan kesedaran Allah itu berkuasa dan berhak memberi seksa. 

Kurangnya rasa malu kepada Allah disebabkan kerana seorang kurang mempunyai keyakinan bahawa Allah itu Maha Besar. Kerana tidak merasa malu kepada Allah, maka sembahyang dilakukan dengan sesuka hati sahaja. Hal inilah yang mencelakakan manusia. 

ILTIZAM SEMBAHYANG TETAPI SUKA MENGUMPAT

Jika orang iltizam mengerjakan sembahyang tetapi masih terus mempunyai kebiasaan berburuk sangka dan mengumpat (walaupun orang yang diperkatakan itu benar-benar bersalah atau berbuat dosa atau memang keadaannya buruk) maka apa yang dikerjakannya itu tidak bermanfaat bagi pembentukan akhlaknya. 

Rasulullah SAW bersabda : “ Sesiapa mengumpat (ghibah) satu kali sepanjang hidupnya, maka Allah menimpakan 10 macam derita (seksa) kepadanya, iaitu:
Pertama, jauh dari rahmat Allah. 
Kedua, para malaikat menyatakan putus hubungan (enggan) mendekatinya. 
Ketiga, terlepas nyawa dari badan ketika mati terasa sangat pedih. 
Keempat, menjadi hamper terjerumus ke dalam neraka. 
Kelima, menjadi jauh dari syurga. 
Keenam, merasakan beratnya derita seksa kubur. 
Ketujuh, kehilangan amal pahala kerana terhapus kerana dosa ghibah yang besar itu. 
Kelapan, jiwa Nabi SAW merasa sakit akibat ghibahnya. 
Kesembilan, Allah marah kepadanya. 
Kesepuluh, menipislah kebaikannya nanti pada hari kiamat, ketika menghadapi mizan (hisab). ”

SEMBAHYANG KERANA MENGHARAPKAN PUJIAN
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman : “Maka celakalah orang yang sembahyang, iaitu orang-orang yang lalai dari sembahyangnya; orang-orang yang riya’. ” (Surah Al-Ma’un 4-6) 

Ibaratnya, jika sembahyang bersendirian, dia melakukannya dengan sangat tergesa-gesa. Tetapi jika di sampingnya ada orang lain, khususnya ulama’, maka dia berusaha menampilkan sembahyangnya dengan sangat sempurna. Apabila di hatinya riya’, maka Allah akan menolaknya. Bahkan pahalanya itu ditamparkan ke mukanya. 

Menurut Ali bin Abu Talib, bahawa orang yang di hatinya ada kecenderungan riya’ itu mempunyai 3 ciri atau tanda:
Pertama, jika bersendirian, dia mengerjakan sembahyang. 
Kedua, jika bersama dengan ramaiorang, dia mengerjakannya dengan rajin. 
Ketiga, jika dia sudah mendapat pujian, maka dia akan semakin menyempurnakan sembahyangnya tetapi akan mengurangi kesempurnaan dan kekhusyukan bila dicemuh orang lain. 

SEMBAHYANG ORANG YANG RIYA’
Sungguh orang yang riya’ itu mempermainkan Allah. Ketika dia bermaksud beribadah kepada Allah, dia juga bermaksud pula untuk mencari pujian dari manusia. 

Maka Tuhan akan berfirman kepada Malaikat-Nya: “Lihatlah hamba-Ku itu bagaimana dia mempermainkan Aku?”

TINGKATAN-TINGKATAN RIYA’
Menurut Imam Ghazali bahwa sendi-sendi riya’ itu ada tiga macam iaitu:
Pertama, sesuatu yang digunakan untuk riya’, 
Kedua, yang kerana sesuatu itu sehingga amal menjadi diriya’kan, 
Ketiga, tujuan dari riya’itu sendiri. 

Firman Allah : “ Mereka bermaksud riya’ dengan sembahyang di hadapan manusia. Dan mereka tidaklah menyebut Allah kecuali sedikit sekali. Mereka dalam kaeadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman dan kafir) (Surah An-Nisa’ : 142-143) 

RIYA’ TERSEMBUNYI
Ramai orang yang berusaha ikhlas pada ibadah-ibadah yang dilakukan dan berniat agar tidak merasa riya’. Walaupun begitu jika ada orang yang melihat dia melakukan ibadah, maka hatinya akan senang. 

Ini dapat meringankan hatinya dalam kesukaran ibadah. Kesenangan tersebut menunjukkan bahawa dia ada sifat riya’ tersembunyi. 

Akhirnya kita telah menyedari betapa orang sembahyang akan celaka jika dia mempunyai niat ingin dipuji iaitu kerana tercemar riya’. 

Segala amal perbuatan itu bergantung dari niat. Maka orang yang selamat daripada riya’ ialah orang yang mampu memelihara hatinya dari keinginan diuji orang. 

SEMBAHYANG ORANG YANG MEMBIARKAN ANAK YATIM
Firman Allah SWT: “Sungguh orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke adalam api yang menyala-nyala (neraka). ” (Surah An-Nisa’) 

Diceritakan pula bahawa nanti di akhirat ada seseorang yang diserahkan kepada orang yang lain. Orang-orang yang diserahi itu kemudian mencabuti janggut-janggut mereka. Sedangkan yang lain datang dengan membawa batu besar dari neraka dan memasukkan ke dalam mulut mereka. Lalu, batu besar itu keluar dari duburnya. Sungguh mereka itu adalah orang yang ketika di dunia berbuat zalim terhadap anak yatim. 

SEMBAHYANG ORANG YANG BAKHIL DAN ENGGAN MENGELUARKAN ZAKAT

Firman Allah SWT: “Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdikanak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka celakalah orang-orang yang sembahyang, iaitu orang-orang yang lalai dari sembahyangnya, dan enggan (menolong dengan) barang berguna. ” (Surah Al-Ma’un: 1-7) 

Adalah suatu kesombongan dan kebodohan jika sesorang menganggap harta yang ada di tangan itu miliknya. 

Firman Allah: “Ketahuilah bahawa milik Allah lah segala yang terdapat di langit ataupun di bumi. ” (Surah Yunus :55) 

Zakat dan sembahyang mempunyai kaitan yang sangat erat. Zakat dan sembahyang merupakan suatu tanda keimanan seseorang yang di dalamnya tersimpan ketaatan kepada Allah. 

RAJIN SEMBAHYANG TETAPI TERUS MINUM ARAK
Al-Faqih memberi nasihat : Hendaklah berhati-hati jangan sampai dirimu minum arak, kerana ia mengandungi 10 macam bencana iaitu :
Pertama, menempatkan diri pada tempat yang gila serta menjadi bahan ejekan dan rendah di kalangan manusia beradab. 
Kedua, bencana kemiskinan dalam kehidupan dan rosaknya akal fikiran serta tidak boleh berfikir waras. 
Ketiga, bencana permusuhan dan perselisihan di antara keluarga dan kawan-kawan. 
Keempat, terhalang untuk mengingat Allah dan mengerjakan smbahyang. 
Kelima, bencana zina (dengan orang lain atau bekas isterinya). 
Keenam, menjadi perintis atau pembuka kejahatan. 
Ketujuh, menganggu malaikat Hafazhah (malaikat pembawa amal) kerana memaksanya ke tempat fasiq yang busuk baunya. 
Kelapan, bencana hukum dera 80 kali pukulan dan disaksikan oleh orang-orang Islam (di negara Islam). 
Kesembilan, amal kebaikannya dan doanya ditolak selama 40 hari (untuk minum sekali) 
Kesepuluh, kemungkinan akan mengalami bencana yang luar biasa iaitu mati dalam keadaan tidak beriman. 

SEMBAHYANG ORANG YANG SUKA BERBOHONG
Berbohong adalah perbuatan yang masuk peringkat dosa besar. Tetapi kita sering bermain-main dengan kebohongan itu. Selama ini ramai orang mengerjakan tetapi menganggap kebohongan adalah sesuatu yang tidak bererti dosanya. Sekecil apa pun kebohongan, tetap dianggap dosa besar. 

Di belakang kebohongan itu akan muncul dosa-dosa besar yang dapat menghancurkan ibadah sembahyang. 

Firman Allah SWT: “ Sungguh Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar” (Surah Az-Zumar:3) 

SEMBAHYANG MAMPU MELATIH SIFAT JUJUR
Seseorang yang setiap tingkah lakunya dihiasi dengan kejujuran, pasti dia akan menemukan kehidupan yang beruntung. Dia akan dapat banyak kawan yang mengaguminya. Dan jiwanya pun menjadi tenang. 

Kejujuran juga mesti dilatih ketika lisan mengucapkan niat, niat mesti benar-benar ikhlas dengan Allah. Selain itu, hendaklah kita selaraskan ucapan yang dilahirkan dengan lintasan dalam hati terutamanya ketika beribadat kepada Allah. 

RAJIN SEMBAHYANG TETAPI SUKA BERBOMOH
Bomoh (kahin) adalah orang yang mendakwa dirinya sebagai mengetahui perkara-perkara yang ghaib atau hal=hal yang tersembunyi. 

Tukang ramal (‘aaraf) adalah orang yang mendakwa megetahui perkara-perkara ghaib menerusi cara meramal atau cara menghubung-hubungkan sesuatu. 

Sabda Nabi SAW : “Sesiapa yang datang kepada bomoh kemudian bertanya sesuatu dan dia mempercayainya maka tidak diterima sembahyangnya selama 40 hari”

Orang yang sembahyang tetapi suka dengan bomoh, maka rosaklah amalan sembahyangnya. 

SEMBAHYANG ORANG YANG SUKA MENIMBUN HARTA
Firman Allah :
“Dan orang-orang yang menyimpan emas perak (harta benda), mereka tidak mendermakannya ke jalan Allah, maka ancamlah mereka dengan seksa yang pedih. Pada hari emas perak (harta benda) di bakar dalam neraka Jahannam, dan di dahi mereka pun dibakar, bersama lambung dan tulang belakang mereka. Dikatakan kepada mereka : “Inilah harta kekayaan yang engkau simpan untuk peribadimu, maka rasakanlah akibat harta simpananmu itu. ” (Surah At-Taubah :34-35) 

ORANG YANG MENGABAIKAN SEDEKAH
Abu Zhar Al-Giffari berkata : Sembahyang adalah tiang agama, jihad puncak amal, dan sedekah adalah suatu keistimewaan yang ajaib (diulang sampai tiga kali). 

Menurut ulama’, ada 5 perkara jika diingkari, maka akan tertolak 5 perkara pula, di antaranya ialah:

Pertama, menolak kewajipan mengeluarkan zakat, pasti ditolak pula keselamatan, keamanan atau pun terpeliharanya harta. 
Kedua, enggan bersedekah, pasti dikurangi kesihatan jasmaninya (kesihatan rohani sudah nyata berkurang kerana bakhil). 
Ketiga, menolak wajib zakat tanaman (pertanian dan perkebunan), pasti ditolak pula keberkatan tanah yang diusahakannya. 
Keempat, menolak doa (enggan berdoa), pasti ditolak pula keinginannya oleh Allah (kerana Allah enggan memberi orang yang enggan berdoa) 
Kelima, menolak sembahyang (enggan melaksanakan sembahyang dan asal jadi dalam memeliharanya), pasti ditolak oleh kalimat syahadat atau yang bererti mendaftarkan diri sebagai orang pertama penghuni neraka secara kekal. ) 

SEKSA KE ATAS ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT
Sesunguhnya orang yang mengabaikan sembahyang atau meremehkannya, maka dia akan mendapat ancaman dari Allah, sama ada di dunia ketika masih sihat, menjelang kematian, di alam kubur dan kelak setelah hari kiamat. 

SEKSA KETIKA DI DUNIA
Usaha dan rezekinya tidak berkat, nur solehin lenyap dari-Nya, dan dibenci oleh setiap orang mukmin. 

SEKSA KETIKA SAKARATUL MAUT
Dicabut rohnya dalam keadaan haus, sekalipun minum seluruh air sungai, keluarnya nyawa dirasa sangat pedih, dan dikhuatirkan akan mati tidak membawa iman iaitu mati su’ul khatimah. 

SEKSA DI DALAM KUBUR
Sukar menjawab pertanyaan Mungkar dan Nakir, terasa sangat gelap di alam kubur, seluruh anggota tubuhnya dihimpit oleh kubur sehingga hancur luluh. 

SEKSA KELAK DI AKHIRAT
Terasa sangat berat perhitungan amalnya, dimurkai Allah, diseksa oleh Allah dengan api neraka. 
PENUTUP
Segala perkara yang dinyatakan dalam tugasan ini diharap dapat menjadi panduan serta pengajaran bagi kita semua terutama sekali untuk mereka yang kurang faham tentang betapa besarnya dosa dan azab seksa yang akan ditanggung di akhirat kelat ke atas orang yang menyia-nyiakan sembahyang. Lebih-lebih lagilah ke atas mereka yang meninggalkannya. 

Untuk mencapai sembahyang yang sempurna dan mampu mencegah pelakunya dari perbuatan dosa dan kemungkaran, maka hendaklah dia menjauhi dosa-dosa besar dan kecil. 

Sebenarnya sembahyang yang benar adalah yang menunjukkan keperluan kepada Allah dan menunjukkan ketundukan hati. 

Firman Allah SWT : “ Orang-orang yang sembahyang diancam dengan neraka Wail, iaitu yang melupakan tujuan sembahyangnya.. Mereka yang sembahyang semata-mata hanya kerana manusia dan enggan membantu orang lain, yakni dengan sembahyang tidak mampu mengubah sifat-sifat buruknya. ” (Surah Al-Ma’un : 4) 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com