Peringatan Dan Ancaman -

Oleh: Nurul Atika Binti Rosli

PENDAHULUAN

Manusia dicipta oleh Allah SWT dan dilengkapi dengan segala macam keperluan adalah dengan tujuan untuk beribadah kepadanya. Dengan erti kata lain ialah menumpukan segala kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah SWT. Melakukan segala apa jua perkara yang diperintah dan meninggal apa jua laranganNya. Adalah suatu perkara yang tidak wajar bagi manusia apabila mereka bertindak mengikut kemahuan hawa nafsu mereka dan melupakan ancaman-ancaman Allah SWT kepada mereka yang ingkar terhadapNya. Terdapat beberapa ancaman daripada allah SWT melalui al-Quran dan juda hadith-hadith Rasulullah SAW tentang pelanggaran terhadap beberapa perkara yang dilarang dalam Islam. 

ANCAMAN DARI ALLAH SWT KEPADA AHLI ILMU

Perkara yang paling penting dalam kehidupan manusia ialah berilmu pengetahuan. Tanpa ilmu pengetahuan manusia tidak dapat menjalankan kehidupan sehariannya dengan sempurna dan selamat. Maka Islam telah mewajibkan setiap muslim supaya mempelajari ilmu pengetahuan khususnya terhadap kitab Allah. Setiap muslim Seharusnya menanamkam ilmu pada dirinya seperti ilmu aqidah, ilmu feqah, ilmu akhlaq, ilmu hadith, ilmu tajwid, ilmu tafsir, ilmu seerah, dan sejarah Islam. 

Kewajipan bagi setiap muslim yang berilmu bukanlah setakat memahami dan mengamalkan untuk dirinya sendiri bahkan perlu menyampaikannya kepada setiap orang yang memerlukannya. Orang yang menyembunyikan ilmu-ilmu agama seperti yang bergelar ulama’, tuan guru, ustaz, orang alim, dan sebagainya lebih berat tanggungjawabnya di hadapan Allah pada hari kiamat daripada mereka yang jahil dan penyembah berhala kerana penyembah berhala tidak mengenal siapakah tuhannya yang sebenar sehingga mereka menjadi sesat. 

Maka disebabkan itu orang yang demikian diancam oleh Allah pada hari kiamat kelak dengan seksaan yang dahsyat. Sesungguhnya orang-orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkannya dan melanggar hukum-hukum Allah adalah mereka yang termasuk golongan yang paling rugi di hari kiamat. Jika seorang muslim yang menuntut ilmu untuk mendapat keuntungan di dunia seperti mendapat kemewahan, kesenangan dan sebagainya, di akhirat nanti ia tidak akan menikmati kebaikan Syurga iaitu baunya yang sangat wangi dan keindahannya. Lebih parah lagi jika orang yang menuntut ilmu itu merasa megah dengan kebolehannya sehingga ia menjadi manusia yang sombong dan bongkak. Oleh itu, Neraka Jahanam merupakan tempat yang paling sesuai bagi mereka. 

ANCAMAN MENINGGALKAN SOLAT FARDHU
Seperti yang diterangkan di dalam Islam bahawa solat lima waktu merupakan kewajipan yang utama yang terpenting bagi seorang muslim. Solat lima waktu wajib ditunaikan bagi setiap orang Islam lelaki dan perempuan dan tugas mendirikan solat lima waktu tidak boleh diabaikan oleh setiap muslim walaupun satu waktu selagi masih sempurna akalnya kecuali bagi orang-orang perempuan yang sedang haid dan nifas. Selain daripada itu, orang yang sakit tenat tidak boleh meninggalkan solat. Jika ia dapat berdiri untuk menunaikan solat, maka ia boleh melakukannys dengan berbaring iaitu mengiringkn ke sebelah kanan atau sebelah kiri atau pun terlentang. 

Hakikat solat yang lahir itu ialah : Berdiri, membaca, rukuk, sujud dan lain-lain lagi perbuatan yang dikerjakan di dalam solat. Manakala hakikat solat yang batin pula ialah : khusyu’, hadir hati, tulus-ikhlas yang sempurna, meneliti dan memahami makna-makna bacaan, tasbih dan lain-lain lagi yang dibaca dan difahami di dalam solat. Di dalam Al-Quran terdapat perkataan solat sebanyak enam puluh tujuh kali dan perintah mengerjakannya ada sebanyak tujuh belas kali. Ini bermakna perintah solat bagi umat Islam adalah suatu perintah yang berat dibandingkan dengan perintah yang berat dibandingkan dengan perintah-perintah lainnya. Diantaranya ialah ayat-ayat yang menberi amaran keras mengenai orang-orang yang mencuaikan solat fardhu lima waktu. 

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat lima waktu itu kerana menolak dan mengingkari tentang hukum wajibnya, maka ia dihukumkan kafir. Di dalam kitab al-Muhazzab pula menerangkan jika seseorang yang meninggalkan solat kerana malas sedangkan ia faham dan percaya tentang wajibnya, maka ia hanya dihukum sebagai fasiq. Dan pihak yang berkuasa perlu mengambil tindakan yang sewajarnya sehingga ia menjadi insaf. Di akhirat nanti tanggungjawab orang yang enggan mendirikan solat fardhu tak terhingga beratnya. Di dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang balasan terhadap orang-orang yang meninggalkan solat fardhu. Penghidupan mereka berakhir dengan dihalau masuk neraka secara berbondong-bondong, tak ubah seperti seorang pengembala yang menghalau kerbaunya masuk ke sungai untuk dimandikan. 

Melewatkan solat dengan mengerjakan di akhir waktu sehingga datang kepada watu yang lain adalah berdosa. Jika seseorang yang tidur setelah berada di dalam waktu solat sedangkan ia masih belum mengerjakannya dan ia tidak ada keyakinan boleh terjaga, maka meninggalkannya juga berdosa. Jika ia mempunyai bahawa di tengah-tengah tidurnya itu boleh terjaga, maka tidurnya itu hanya dihukumkan makruh sahaja. Secara kesimpulannya, meninggalkan soat itu akan ditimpa ancaman di dunia dan di akhirat. 

ANCAMAN BAGI MEREKA YANG MENDERHAKAI IBUBAPA
Perbuatan derhaka seorang anak terhadap kedua ibu bapnya sama ada bertutur dengan perkataan yang kesat, tidak menghormati ibu bapa dan berkelakuan yang dapat menyakitkan hati mereka adalah dianggap suatu kejahatan yang melampaui batas boleh membawa kepada sifat derhaka kepada iu bapa yang amat dilarang. Al-Quran memandang buruk perbuatan derhaka seorang anak terhadap kedua ibu bapanya dengan menberikan ancaman dan balasan yang keras. Mereka telah lupa bahawa kedudukan ibu bapa adalah penyebab seorang itu lahir ke dunia, yang setelah itu dipelihara dan dibesarkan sehingga dewasa. 

Penderhaka kedua bapa tidak akan diterima amalannya kerana segala amal kebaikan yang dilakukan tidak diterima oleh Allah. Sesungguhnya amal merupakan bekalan yang paling penting untuk dibawa ke hari akhirat. Tetapi ia akan menjadi sia-sia dan tidak bernilai di sisi Allah jika diiringi dengan perbuatan derhaka terhadap kedua ibu bapa. Mereka juga diseksa dengan berbagai bentuk seksaan yang sungguh menggerikan. Balasan yang paling menghinakan bagi seorang hamba Allah pada hari akhirat ialah dimasukkan ke dalam neraka. Disanalah mereka menerima seksaan yang amat buruk sekali. Ini kerana sikap tersebut menyebabkan seseorang itu tidak layak untuk menghidu bau syurga. 

Selain daripada itu, Allah SWT amat murka ke atas seorang yang melakukan penderhakaan terhadap kedua ibu bapanya dan mereka akan disegerakan pembalasan seksaan mereka sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Demikianlah beberapa ancaman yang sangat menggerunkan hati dan perasaan manusia. Dengan itu diharap semoga ia dapat memberi kiinsafan yang mendalam kepada setiap muslim supaya kembali berbuat baik kepada kedua ibu bapa. 

ANCAMAN KEPADA SUAMI ISTERI YANG MENYELEWENG

Di dalam kehidupan berkeluarga hubungan baik antara suami isteri merupakan jalan yang paling penting untuk membentuk suasana kebahagiaan yang diidamkan. Suami adalah pemimpin yang harus menunjukkan sifat-sifat yang mulia terhadap isterinya dengan memberikan tunjuk ajar secara baik dan bermesra secara lemah lembut. Demikian pula, seorang isteri haruslah memberikan layanan yang baik terhadap suaminya. Rumahtangga yang hancur adalah disebabkan oleh hubungan suami isteri yang tidak baik. Untuk mengelakkan kehancuran di dalam kekeluargaan, suami isteri tidak seharusnya melakukan keburukan dan penyelewengan seperti berlaku curang, buruk sangka, menipu, melakukan penganiayaan dan melarikan diri daripada tanggungjawab berkeluarga. 

Sebagai seorang suami haruslah menanggung berbagai-bagai kewajipan yang mesti disempurnakan. Mereka yang tidak menyempurnakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, akan menerima ancaman yang berat daripada Allah SWT. Di akhirat mereka akan ditanya tentang kepimpinannya. Di antara pertanyaan yang akan diajukan kepada setiap lelaki yang menjadi pemimpin sebuah rumah tangga ialah tentang nafkah terhadap ahli keluarganya. Ia hendaklah menyempurnakan segala kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya seperti makan minum, memberi pakaian, menyediakan tempat tinggal yang selamat dan sebagainya. Sangat berdosa orang yang mengabaikan tanggungjawab ke atas ahli keluarganya dan akan mendapat hukuman yang berat di hari akhirat nanti. 

Menurut pendapat Imam Ghazali :

“ Lima bentuk kezaliman yang dibenci dan dimurkai Allah. Yang melakukannya itu bukan sahaja akan mendapat seksaan di akhirat bahkan selagi dia hidup di dunia ini, Tuhan akan menimpakan bala bencana kepada yang melakukannya, jika Tuhan menghendakinya. Salah satu dari lima bentuk kezaliman itu ialah lelaki yang kejam terhadap isterinya dan tidak memberi nafkah yang patut. ”

Islam membenarkan seorang lelaki berkahwin lebih daripada satu iaitu yang digelar sebagai poligami. Suami yang tidak adil terhadap para isterinya akan kembali pada hari kiamat di dalam keadaan sebahagian daripada tubuh badannya berguguran. 

Bagi seorang isteri hendaklah berusaha melahirkan sifat-sifat yang dapat menyenangkan hati suaminya. Ia tidak boleh menentang kehendak suaminya walaupun ia merasakan dirinya benar. Perlulah ingat bahawa kesalahan seorang isteri terhadap suaminya akan mengakibatkan kehancuran rumahtangga dan berakhir dengan Allah murka terhadapnya. Termasuklah Allah melaknat seorang isteri yang tidak mahu menunaikan hajat suaminya. Apa saja kehendak suami perlu ditunaikan melainkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam. 

Hendaklah diingat bahawa kemarahan suami terhadapnya merupakan kemarahan Allah. Dan keredhaan suami juga merupakan keredhaan Allah. Ada kalanya kemarahan suami boleh menyebabkan amal bakti seorang isteri tidak diterima oleh Allah SWT.. Bagi isteri yang suka keluar rumah dengan cara yang dilarang oleh Islam adalah di antara mereka yang mendapat kecelakaan. Sesungguhnya hidup berkeluarga ini bertujuan untuk mendapatkan ketenteraman jiwa dan fikiran. Jika seseorang isteri ingin memutuskan ikatan perkahwinan dengan penceraian, maka ia merupakan keburukan yang besar baginya. Lebih-lebih lagi ia meminta cerai tanpa sebarang sebab yang jelas dan suaminya tidak melakukan kesalahan terhadapnya, maka tidak dapat mencium kewangian syurga. 

ANCAMAN TERHADAP MEREKA YANG BERZINA
Zina ialah melakukan hubungan seksual antara lelaki dan perempuan di luar aqad nikah. Penzinaan merupakan dosa besar sesudah kufur dan pembunuhan. Zina juga merupakan noda hitam yang apabila menimpa suatu kaum, akan menghapuskan lembaran kebaikannya. Islam telah mengajarkan kepada manusia dengan beberapa tatacara kehidupan yang mulia supaya sentiasa berada dalam kesejahteraan dan kebahagiaan. Manusia dilarang melakukan perbuatan yang boleh merosakkan martabat diri dan meruntuhkan agama dengan perzinaan. Allah SWT telah mengingatkan para hambaNya supaya menjauhi perbuatan zina. Sebagaimana digambarkan di dalam al-Quran :
“ Janganlah kamu mendekai perzinaan, sesungguhnya zina itu merupakan suatu perbuatan yang keji dan sejahat-jahat jalan. ”
al-Isra’ : 34

Dimaksudkan mendekati perzinaan itu ialah melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada perbuatan zina. Misalnya, bergaul antara lelaki dan perempuan, berdua-duaan antara lelaki dan perempuan di luar aqad nikah, menonton video lucah, pergi ke pusat-pusat pelacuran dan sebagainya. Oleh sebab itu setiap muslim hendaklah berhati-hati dan berwaspada di dalam menghadapi liku-liku kehidupan di dunia. Di dalam sebuah hadith ada menerangkan bahawa orang yang berzina itu ditanggalkan imannya. Ini adalah kerana pada waktu ia berzina, hilang perasaan malunya dan tidak menyedari apa yang dilakukannya itu adalah satu pelanggaran yang dilarang oleh Allah. 

Terdapat banyak kesan-kesan negatif akibat dari perbuatan zina. Di antara kesan-kesannya ialah menyebabkan kemiskinan dan kesulitan di dalam hidup seseorang. Oleh sebab itu Rasulullah SAW menggalakkkan umatnya segera mendirikan rumahtangga dengan beraqad nikah jika berkemampuan. Hanya dengan dengan perkahwinan seseorang mislim itu boleh mencari kekayaan kerana ia berusaha mencari nafkah untuk anak dan isteri. Dan hanya dengan perkahwinan sahaja seseorang itu dapat mencegah dari perbuatan zina. Kebanyakan orang yang mengamalkan zina dalam kehidupannya sering gagal dalam mencapai ketenangan. 

Tambahan pula, pada zaman kini, kebanyakan perzinaan berleluasa dengan menggunakan wang ringgit. Akhirnya mereka berada di dalam kemiskinan. Wang mereka habis dan hati mereka tidak tenteram. Ada sebilangan besar daripada mereka menghidapi penyakit Aids yang sangat berbahaya. Pada hari akhirat kelak, orang yang berzina tidak akan mendapat pandangan rahmat daripada Allah SWT. sedangkan pada hari tersebut semua manusia berada di dalam huru hara dan memerlukan pertolongan. Mereka yang berzina, pada waktu itu meminta belas kasihan tetapi Allah tidak menegurnya disebabkan kejahatan yang dilakukannya itu. 

Termasuk juga orang yang tidak dipandang oleh Allah SWT. pada hari kiamat ialah lelaki yang melakuan zina dengan isteri jirannya sendiri. Banyak hadith-hadith yang menerangkan bahawa seksa terhadap orang berzina itu amat berat sekali. Di dunia lagi mereka sudah menerima penyeksaan yang berbentuk kesulitan, apatah lagi di akhirat kelak. Hukuman di dunia ialah jika orang berzina itu bujang, dikenakan hukuma sebat manakala orang yang sudah berkahwin akan ditanam separuh badannya ke dalam tanah kemudian akan direjam sehingga mati. Selain itu, orang yang melarikan diri hukuman zina sudah tentunya tidak akan merasa tenteram kehidupannya. Ia akan dipandang buruk jika masyarakat sekeliling mengetahuinya. Di samping itu juga, tidak kurangnya orang yang menghidap penyakit kelamin disebabkan selalu minum arak dan melakukan zina. 

Di dalam hadith juga menerangkan tentang betapa azabnya seksaan bagi seorang penzina. Mereka dibakar di dalam api neraka termasuklah wajah-wajah mereka yang dipenuhi dengan api. Kemudian dikhabarkan bahawa di dalam neraka itu, kemaluan mereka menjadi besar dan bernanah. Ia berbau sangat busuk sehingga menyakiti orang-orang yang berada di dalam neraka. 

KESIMPULAN

Manusia dicipta oleh Allah SWT dan dilengkapi dengan segala macam keperluan adalah dengan tujuan untuk beribadah kepadaNya. Dengan erti kata lain ialah menumpukan segala kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah SWT.. Melaksanakan apa jua perkara yang diperintah dan meninggalkan apa jua larangan-Nya. Adalah satu perkara yang tidak wajar bagi manusia apabila mereka bertindak mengikut kemahuan hawa nafsu, mereka akan melupakan ancaman-ancaman Allah SWT terhadap orang yang melakukan kederhakaan terhadapNya. Oleh itu Allah SWT akan membalas segala perbuatan mereka dengan hukuman yang setimpal sama ada di dunia dan di akhirat. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com