Undang-Undang Keluarga Islam -

Oleh: Muhammed Azim Bin Karim

Pengenalan. 
Al-Quran Al-Karim telah diturunkan oleh Allah Azza Wajalla dengan membawa syariat untuk dunia dan akhirat. Di dalamnya terkandung peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah yang mengatur hubungan manusia dengan pencipta-Nya dan hubungan manusia antara sesama mereka. Ia memberikan kepada mereka beberapa perundangan yang mengatur urusan kehidupan individu di dalam unit-unit keluarga dan seluruh institusi kemasyarakatan dan politik. Ia juga menjelaskan hak-hak dan kewajipan dalam bentuk yang dapat menjamin keadilan, keamanan dan keharmonian hidup. 

Islam adalah satu agama yang dapat membentuk dan menjamin kerukunan dan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan itu sebenarnya merupakan perkongsian hidup di antara dua jiwa ke arah kepentingan dan kebahagiaan bersama dan ini juga merupakan sebagai ikatan perjanjian yang sangat kuat dan mesra untuk tolong-menolong, kasih saying, bahagia-membahagiakan antara satu sama lain. 


Definisi Nikah. 

Nikah dari sudut bahasa:
Perkataan an-nikah dari segi bahasa Arab boleh diertikan kepada beberapa makna. Antaranya bererti bercantum, bersetubuh dan juga akad. Ash-Sheikh Muhammad Ash-Sarbani Al-Khatib dalma kitabnya menerangkan bahawa lafaz an-nikah dari sudut bahasa membawa erti menghimpun dan mengumpul. 

Nikah dari sudut istilah:
Suatu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan muhrim dan menimbulkan hak serta kewajipan antara kedua-dua mereka. 


Rukun Nikah. 
1) seorang lelaki atau calon suami
2) seorang perempuan atau calon isteri
3) wali
4) dua orang saksi
5) sighah (ijab dan qabul) 

Hikmat Disyariatkan Perkahwinan. 
1) Perkahwinan itu adalah fitrah kemanusiaan. 
-Diantara perkara-perkara yang logik dalam dasar-dasar syariat Islam bahawa ia membanteras Rahbaniyah (kerahiban) kerana perkara itu bertentangan dengan fitrah atau semula jadi tabiat manusia. Kerahiban atau hidup membujang itu berlawanan dengan tabiat manusia, kecenderungan, cita-citanya dan kehendak nafsunya. 

2) Perkahwinan adalah ibadah. 
-Islam memandang setiap amal perbuatan yang dilakukan oleh seseorang demi keredhaan Allah SWT. adalah ibadah dan mendapat pahala. Bahkan setiap suapan nasi yang diberikan suami kepada isterinya dengan rela, ikhlas dan senang hati memperolehi balasan pahala. 

3) Perkahwinan merupakan cara untuk mendapat pengampunan Allah, peningkatan darjat dan kemantapan iman. 
-Di dalam perkahwinan terdapat unsur perjuangan melawan nafsu sebagai latihan jiwa dengan tujuan menjaga, mengasuh, memenuhi kewajipan terhadap keluarga, sabar menghadapi perangai wanita, tabah menghadapi gangguan mereka, berusaha memperbaiki dan menunjukkan mereka ke jalan agama, bekerja keras mencari nafkah yang halal bagi mereka dan terus menerus memberikan pendidikan yang sihat dan baik kepada anak-anak, semuanya itu adalah amal perbuatan yang besar pahalanya. 

4) Perkahwinan merupakan suatu cara untuk memperbaiki akhlak dan budi pekerti. 
-Perkahwinan adalah satu cara yang berguna untuk menjaga kebahagiaan umat dari kerosakan dan kemerosotan akhlak. Selain dari itu perkahwinan berguna untuk menjaga keselamatan individu dari pengauh yang merosakkan masyarakat kerana kecenderungan nafsu kepada sama jenis. Kerana itu Islam memberi perhatian khusus kepada manusia untuk menyelamatkan mereka dari perbuatan liar dan kemerosotan akhlak, kerosakan, penzinaan dan keburukan tingkah laku seperti menyerupai perempuan dan sebagainya. Perkahwinan dapat meredakan hati, membersihkan rohani menyenangkan jiwa dan menjaga diri dari perbuatan zina, di samping itu juga, dapat menjaga keselamatan agama, yakni tidak mudah tergelincir ke dalam perbuatan yang dilarang oleh agama. 

5) Kebahagiaan bagi lelaki dan perempuan. 
-Perkahwinan dapat membahagiakan lelaki dan perempuan, bahkan membahagiakan seluruh keluarga. Perempuan merasa tenteram kerana sudah ada lelaki yang melindunginya dan menyediakan segala keperluan hidupnya. Dengan demikian dia merasa senang mengurus rumah tangga serta anak-anaknya. Lelaki pula akan merasa bahagia apabila ada orang yang menguruskan hidupnya seperti makan dan minum, pakaian dan sebagainya. Jadi dia dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaannya. 

Hukum-Hukum Perkahwinan. 
1) Wajib. 
-seseorang yang berkemampuan untuk membiayai kehidupan berumah tangga, mampu untuk bersikap baik terhadap isteri dan mempunyai nafsu seks yang sangat kuat sehingga ada kebimbangan sendiri terhadap kemungkinan terjatuh ke lembah penzinaan jika tidak berkahwin. 

2) Haram. 
-seseorang yang tidak mampu memberi nafkah zahir dan batin. Jika ia hanya mampu memberikan nafkah batin sahaja maka ia hendaklah berpuasa kerana berpuasa itu akan menjadi perisai yang dapat mengawal dirinya. Sekiranya dia yakin bahawa perkahwinan dapat memudaratkan isterinya, membalas kepada perempuan atau bernikah lebih daripada empat, maka hukumnya haram ia berkahwin. 

3) Sunat. 
-seseorang yang mampu memberi nafkah zahir dan batin, tetapi dia tidak khuatir tentang dirinya dari melakukan zina, dengan erti kata dia masih mampu mengawal dirinya dari melakukan perbuatan keji itu. Begitu juga bagi orang yang ingin mendapatkan zuriat dan suka mendapatkan isteri. 



4) Makruh. 
-seseorang yang tidak mampu memberi nafkah zahir dan batin dan tidak kuat keinginannya untuk kahwin, tetapi keadaannya tidak memberi kesan buruk kepada isterinya seorang yang kaya. Di samping itu ia takut akan mengecewakan isterinya, berpenyakit, sudah tua, mati pucuk dan sebagainya. 

5) Harus. 
-seseorang yang mampu untuk berkahwin dan cukup syarat tetapi tidak ada perkara atau sebab yang mendorongnya untuk berkahwin. Ini adalah hukum asal perkahwinan dan juga harus menghimpun sehingga empat orang isteri dalam satu masa. 


Definisi Peminangan. 

Yang dimaksudkan dengan peminangan ialah pernyataan pihak lelaki tentang keinginannya untuk menjadikan perempuan sebagai isterinya. 

Syarat-Syarat Peminangan. 

1) Bukan isteri orang. 
2) Bukan muhrim bagi lelaki itu sendiri. 
3) BUkan berada dalam masa idah. 
4) Bukan tunang orang. 


Pemilihan Calon Suami Isteri. 

Bakal isteri yang baik. 
Asas pemilihan:
1) kecantikan
2) harta
3) keturunan
4) agama

Faktor Akhlak. 
1) wanita yang mempunyai kesabaran
2) wanita yang cukup dengan seorang suami
3) wanita yang sanggup menerima pimpinan suami
4) wanita yang cergas dan aktif
5) wanita yang halus budi pekertinya
6) wanita yang kuat ibadah

Faktor Sosial. 
1) wanita yang menjaga kehormatan diri
2) wanita yang apabila dilihat menyukakannya
3) wanita yang sekufu

Faktor Lain. 
1) wanita yang mempunyai keturunan yang ramai
2) wanita yang sedikit mas kahwinnya


Bakal suami yang baik. 

Faktor Agama. 
1) beragama Islam
2) lelaki yang jujur dan kuat ibadah

Faktor Sosial. 
1) lelaki yang setaraf
2) lelaki yang boleh dijadikan ganti ayah atau ibunya
3) lelaki yang bukan penzina, pemabuk, pencuri, tidak yang ‘Asi dan perangai tidak menghormati
4) lelaki yang menjaga darjatnya dan dirinya
5) lelaki yang berkebolehan mengendalikan rumah tangga
6) lelaki yang mudah pemaaf
7) lelaki yang penyayang

Faktor Lain. 
1) lelaki yang berkemampuan
2) lelaki yang rajin dan berpengalaman luas

Syarat-Syarat Lelaki atau Calon Suami. 
1) seorang yang beragama Islam
2) tidak dipaksa untuk berkahwin
3) tidak dalam ihram (haji dan umrah) 
4) mukallaf
5) tidak muhrim dengan bakal isterinya
6) tidak beristeri empat
7) nyata benar-benar lelaki (bukan khunsa) 

Syarat-Syarat perempuan atau Calon Isteri. 
1) seorang yang beragama Islam
2) tidak dalam idah dari suami lain
3) bukan isteri orang
4) tidak muhrim dengan bakal suaminya
5) tidak dalam berihram (haji dan umrah) 
6) nyata perempuan (bukan khunsa) 
7) perempuan yang tertentu

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com