Perkembangan Andalusia Ke Benua Eropah -

Oleh: Siti Noorayhan Bt Abu Hassan

ABSTRAK

Perkembangan Andalusia ke Benua Eropah ialah kisah sejarah Andalus, iaitu menceritakan tentang zaman kegemilangan umat islam di Andalusia, kedudukan goegrafinya dan serba sedikit tentang sejarah Andalusia. Terdapat beberapa peranan Andalusia dalam penyebaran tamadun ke benua eropah. Antara peranannya ialah dari segi sikap pemerintah, hubungan diplomatik, aktiviti penterjemahan, peperangan salib yang berlaku dan aktiviti perdagangan yang dijalankan. Selain itu, terdapat peranan Andalus dalam kebangkitan eropah. Diantaranya ialah, dalam bidang pemikiran, bidang matematik, bidang astronomi, dan bidang seni bina. Terdapat juga tentang ilmu serta tokohnya dan sumbangan dalam membangunkan Andalusia sebagai zaman kegemilangan islam. Diantara displin ilmu yang ada di Andalus ialah ilmu falsafah dimana tokohnya ialah Imam Al- Ghazali, Ibn Khaldum, Al- Farabi, dan Al- khindi. Dalam bidang ilmu sains dan perubatan pula ialah Ibn Sina, Al- Razi, dan Abu QassimKhalat Ibn Abbas Al- Zahrami. Bidang ilmu astronomi pula ialah Al-
Biruni, Al-Bitruji manakala dalam ilmu matematik ialah Al-Khawarizmi dan Al-Idrisi bagi ilmu geografi. Kesimpulannya, Andalusia ialah zaman kegemilangan dan keunggulan pada umat islam suatu masa dahulu. 

PENDAHULUAN

SEJARAH RINGKAS ANDALUS (SEPANYOL) 

Andalusia atau Andalus bermaksud “kehijauan di penghujung musim panas” merupakan sebuah kerajaan Islam (711M-1492M) yang terkenal dan merupakan suatu daerah yang terlalu asing di mana tidak terfikir pada mata kasar manusia pada awal abad pertumbuhan Islam di Timur Tengah. Andalus juga kini adalah sebahagian daripada negara maju iaitu Sepanyol/Sicily dan juga Portugal. 

Islam telah melahirkan Mujahid Muslim seperti Musa bin Nusair, Tarif dan Tariq bin Ziyad yang menjadi tokoh-tokoh terunggul dan pemerintahan Bani Umayyah di Andalus dan beberapa kerajaan kecil selepasnya telah berjaya menghasilkan suatu ketamadunan yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa sebelum ataupun sezaman dengannya. tetapi akhirnya runtuh yang berpunca daripada kelemahan dan perpecahan di kalangan umat Islam sendiri. 

Andalusia telah diduduki oleh bangsa Phoenician yang menemui wilayah Cadiz, pada abad ke 9SM. Kemudian, Greek menakluki Andalusia pada abad ke 3SM. Di bawah pemerintahan Rumawi antara 210 hingga 206 SM, Andalusia telah menjadi tempat kelahiran kerajaan Trajan dan Theodosius I. Kemudian, pada abad ke 5M, Andalus jatuh ke tangan bangsa Yahudi dan Vandal dan diikuti oleh pemerintahan kerajaan Visigoth pada tahun 530M. 

Pada tahun 711M, kerajaan Islam iaitu, kerajaan Bani Umayyah berjaya menakluki Andalusia daripada cengkaman pemerintahan Visigoth yang bersifat kuku besi. Kemudian, kerajaan-kerajaan kecil menguasai Andalusia selepas kejatuhan kerajaan Bani Umayyah bermula dari tahun 1031M. Antara kerajaan-kerajaan kecil tersebut ialah; kerajaan Muluk al-Tawaif, Hammudiyah, Bani Hud, Abbadiyah, Ziriyah, Muratibun, Muwahhidun, dan Bani Ahmar (Nasriyah). Walaubagaimanapun, pada abad ke 15M, kerajaan-kerajaan kecil di Andalusia telah jatuh ke dalam kekuasaan kerajaan Kristian Castile. 

Secara geografinya, Andalusia terletak di benua Eropah dan mempunyai keluasannya kira-kira 504, 750 km persegi. Kawasan jajahan Andalusia termasuklah Portugal, selatan Perancis hingga Pulau Belearic dan terkecuali daripada bahagian utara yang di bawah taklukan Kristian Leon. Andalusia meliputi sebahagian besar Semenanjung Iberia yang terletak di bahagian selatan. Terdapat 15 wilayah yang bernaung di bawah Andalusia seperti Almeria, Malaga, Cadiz, Huelva, Cordova, Jaen dan Granada termasuk dua buah pulau, iaitu Pulau Belearic dan Pulau Canary. 

KAWASAN JAJAHAN ANDALUS

PERANAN ANDALUS DALAM PENYEBARAN TAMADUN KE BENUA EROPAH

1. SIKAP PEMERINTAH

Amir-amir menjalankan pemerintahan dengan tegas dan mengambil tindakan segera. Contohnya Abdul Rahman I, telah mengambil pelbagai langkah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku seperti mengukuhkan pentadbiran dan benteng negara dengan menubuhkan division tentera yang diketuai oleh hamba-hamba dari utara Pyrenees dan juga berhati-hati memilih pemimpin selepasnya kelak. 

Selain itu, Abdul Rahman II (822-852M) banyak mendirikan institusi keilmuan di setiap kota Andalus dan juga menggalakkan saujana-saujana dari luar Andalus datang mengajar di institusi tersebut untuk masyarakat umum. 

Hisyam I terkenal kerana berjasa dalam menegakkan hukum Islam, dan Hakam I dikenali sebagai pembaharuan dalam bidang ketenteraan. Sedangkan Abdul Rahman II dikenali sebagai pentadbir yang cintakan Ilmu. 

2. HUBUNGAN DIPLOMATIK

Perkembangan intelektual yang pesat di Andalus telah menarik perhatian raja-raja di Eropah seperti pemerintah Jerman, Perancis, Britain dan Itali. 

Contohnya Raja Philips telah menghantar dutanya menemui Khalifah Hisham I, semata-mata untuk membuat penyelidikan terhadap undang-undang yang diamalkan di Andalus. Begitu juga dengan Raja Jerman yang menghantar satu misi akademik yang diketuai oleh Weelmin. Raja George II dari England pula telah menghantar anak saudaranya Putera Dubani mengetuai 8 rombongan yang terdiri daripada 8 orang ke Andalus pada awal abad ke 15H dengan tujuan untuk menimba ilmu pengetahuan di Andalus. 

3. AKTIVITI PENTERJEMAHAN

Pusat penterjemahan yang terpenting di Andalus ialah di Toledo. Pelbagai karya Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. 

Antara penterjemah yang terbaik ialah Bathras Al-Funsi dan Hanna Al-Eshbily. Pusat-pusat pendidikan Arab-Latin banyak disediakan di Toledo dan Seville. Golongan Yahudi juga banyak memainkan peranan menterjemahkan karya Arab ke bahasa Latin. Antaranya ialah Solomon ben Gabirol dan Moses ben Maimoon yang merupakan sarjana dan ahli falsafah terkenal. Ilmu-ilmu yang diterjemahkan adalah meliputi bidang kejuruteraan, astronomi, kimia, perubatan, falsafah dan sebagainya. 

Ringkasnya, aktiviti penterjemahan ini telah mencipta sejarah untuk masyarakat Eropah yang pada ketika itu berada dalam zaman kegelapannya pada abad pertengahan telah beransur-ansur menuju ke zaman Renaissance (14 hingga 16M). Tetapi malangnya, perkembangan ilmu sains dan teknologi di Barat tidak seperti perkembangan ilmu dalam tamadun Islam kerana ilmuan mereka memisahkan ilmu dari agama yang menafikan Tuhan sehingga melahirkan fahaman ateis dan materialisme. Oleh sebab itu, Barat Moden muncul dengan sikap permusuhannya terhadap agama. 

4. PEPERANGAN SALIB

Peperangan yang berlaku antara Islam dan Kristian telah mendatangkan keuntungan yang besar kepada golongan Kristian disebabkan dasar sentiment keagamaan. Golongan Krstian telah membawa pulang pelbagai sumber intelektual ke Eropah. 

5. AKTIVITI PERDAGANGAN

Pedagang-pedagang dari negara-negara Islam telah mempunyai hubungan yang rapat dengan para pedagang Islam dari Andalus Pelbagai sistem nilai dan keilmuan Islam berjaya dikuasai oleh masyarakat Kristian melalui para perdagang ini. 

PERANAN ANDALUS KEPADA KEBANGKITAN EROPAH

1. BIDANG PEMIKIRAN

Ahli falsafah Islam Ibnu Tufyal dengan karyanya “Hay Ibn Yaqzan” yang mengungkapkan bahawa manusia mengetahui Allah tanpa wahyu dan guru telah mempengaruhi pemikiran orang Barat. 

Karya ini telah diterjemahkan dalam bahasa Latin oleh Roger Bacon. Begitu juga Ibn Rusyd, telah mempengaruhi ahli falsafah Eropah sejak abad ke 12 lagi. Pada abad ke 16 Masihi, falsafah Ibn Rusyd telah diamalkan secara rasmi oleh golongan terpelajar di Itali. 

2. BIDANG MATEMATIK

Ramai penuntut Eropah yang datang mengajar di Andalus. Penuntut-penuntut ini telah muncul sebagai pakar dalam bidang tersebut termasuklah Adalard dan Morley dari Britain. Adalard telah menterjemah karya Al-Khawarizmi yang menulis tentang teori geometri dalam matematik dan saintifik. Beliau telah menggunakan nombor-nombor Arab dalam terjemahannya. 

Seterusnya Gelbert of Aurillac juga salah seorang pakar yang mempelajari Ilmu matematik dan astronomi yang pada ketika itu masih dilarang di Eropah. Beliaulah yang memperkenalkan bentuk angka Arab Andalus yang dikenali dengan Huruf Al-Ghubbar ke Eropah. 

3. BIDANG ASTRONOMI

Terdapat beberapa karya karangan Abi ma’syar dan juga Khawarizmi telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Adalard of Bath dan John of Seville. Ini telah dibuktikan dengan beberapa istilah yang dipinjam daripada bahasa Arab untuk kajian mereka. 

Istilahnya ialah perkataan “Al-Sumut”, Alderan, Alidade, Almanac, Altair, Azimuth, Betelgeuse, Deneb, Nadir, Zenith dan “Nadil”

4. BIDANG SENI BINA

Seni bina Islam turut mempengaruhi ciri-ciri seni bina Eropah. Antara binaan menara dan kubah terkemuka di San Miguel de Escolada turut merupakan Kubah yang terpengaruh. 

Keadaan yang sama berlaku dalam binaan kubah-kubah di Perancis iaitu di akhir kurun 11M seperti di hospital, Sarini-Balaise dan Kubah gereja Saint-Croux de Oloron yang terdapat persamaan dengan kubah masjid Al-Bab Al-Mardum di Tulaytulah (Toledo). 

Hiasan-hiasan berbentuk tumbuhan dan geometri yang mepunyai kehalusan kesenian Arab sangat berkesan dala kesenian Eropah dan turut dikenali dengan nama (ara bisque), ditambah juga dengan Khat Al-Kufi iaitu kesenian yang berbentuk lukisan yang cantik dan halus dan berkembang di Eropah dengan pesatnya. 

DISIPLIN ILMU, TOKOH DAN SUMBANGANNYA

ILMU FALSAFAH

1. IMAM AL-GHAZALI (450-505H/1058-1111M) 

Beliau dilahirkan di Thos pada tahun 450H, berketurunan Parsi dan hidup di sekitar berlakunya Perang Salib. Beliau sangat terkenal dalam falsafah akhlak. Pengertian akhlak bagi Al-Ghazali bertepatan dengan syariat Islam. Di samping itu, dasar budi pekerti manusia dibahagikan kepada tiga sebab asas iaitu akal, hawa nafsu dan marah. Dalam bidang pendidikan pula, beliau telah memberikan peringatan bahawa hendaklah membentuk kanak-kanak ke arah satu matlamat, bukan membiarkan kanak-kanak memilih sendiri bidang yang disukainya. Al-Ghazali juga turut menyumbangkan beberapa hasil karya seperti Al-Munqizh min Al-Dholalah yang membincangkan berkenaan penyelamat daripada kesesatan, Tahafut Al-Falasifat berkenaan dengan penghancur falsafah, Mizan Al-Amal yang membincangkan timbangan amal kebaikan manusia dan kitabnya yang terkenal iaitu Ihya”ulum Al-Din. 

2. IBN KHALDUM (732-808H/1331-1400M) 

Nama lenkap beliau ialah Abdurrahman Abu Zaid WaliUddin bin Khaldun. Dilahirkan di Tunis Hadramaut dan kmudian berpindah ke Sepanyol. Beliau menuntut ilmu-imu agama dalam bidang fikah, tafsih, hadis dan ilmu aqli. Contoh karya ialah Kitab Muqadimah yang turut diperakui oleh Sarjana Barat. 

3. AL-FARABI (257-339H/870-950M) 

Nama asal ialah Abu Nasr Muhammad bin Muhammad Tarkhan Al-Uzdag dan dilahirkan di wilayah Transosiana, Tukestan. Beliau dikenali dengan ilmu falsafah mantiknya dan mendefinisikan ilmu yang menyelidiki hakikat sebenar di dunia ini. Beliau juga cenderung kepada falsafah sufinisme, logik dan metafizik. 

4. AL-KHINDI (801-873) 

Beliau lebih dikenali sebagai Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishq Al-Khindi, berketurunan suku kaum Kinda dan berpindah dari Yemen. Beliau seorang pakar yang mempunyai pemikiran yang cukup berbeza dalam muzik, falsafah, astonomi, perubatan, geografi dan matematik. Menghasilkan hampir 250 buah buku dan dianggap ahli Muslim terbesar. 

ILMU SAINS DAN PERUBATAN

1. IBN SINA

Dikalangan masyarakat Barat lebih dikenali sebagai Avicenna yang merupakan ahli falsafah dan perubatan paling berperangaruh dalam kebudayaan Eropah. Beliau dilahirkan di Bukarah (Uzbekistan) dan nama asalnya ialah Abu Ali Hussain Ibni Abdllah Ibni Sina. Himpunan ilmu perubatan hasil karya beliau mengandungi 14 jilid iaitu Kitab Al-Kanun fi al-Tibb yang digunakan sehingga abad ke 18 dan beliau dikenali sebagai Father of Doctors. 

2. AL-RAZI

Karyanya melebihi 200 jilid dalam bidang kimia dan perubatan di mana beliau telah menjadi pensyarah perubatan di Universiti Bahgdad. Beliau dikenali sebagai tokoh fizik terbesar dan menguasai ilmu perubatan Islam, Parsi, India dan Yunani. Hasil karangannya yang terkenal ialah Al-hawi yang mencatatkan setiap penyakit dan cara perubatan berdasarkan ujian klinikal yang terdapat lebih 100 jilid di muzium Eropah. Sumbanganya yang terkenal ialah melalui penyakit cacar dan campak. 

3. ABU QASSIM KHALAF IBNU ABBAS AL-ZAHRAWI

Dilahirkan di Al-Zahrah, Cordova. Dikenali sebagai Abul Casis di kalangan masyarakat Barat Eropah. Kerjayanya ialah sebagai pengamal perubatan, pakar bedah (memperkenalkan 150 alat pembedahan termasuk alat obtetik dan pergigian) serta ahli farmasi. Sumbangannya juga ketara dalam bidang farmasi. 

ILMU ASTRONOMI

1. AL-BIRUNI (362-440H / 973-1048M) 

Nama penuh beliau ialah Abu Rayhan Muhammad b. Ahmad Al-Biruni daripada keluarga Taji. Beliau dilahirkan pada 3 Zulhijjah 326H di negeri Parsi. Beliau mampu menguasai bahasa Parsi, Arab, Sanskrit, Ibrani, Syria dan Turki. Al-Biruni merupakan sarjana agung pada akhir kurun ke-4H dan merupakan pakar dalam bidang astronomi, sejarah dan bahasa serta hidup sezaman dengan sarjana Islam, Ibn Sina. Antara karya teragung beliau ialah Rasa’il al-Biruni (ensiklopedia astronomi dan matematik) dan Al-Qanun al-Mas’udi fi al-Hai’ah wa al-Nujum. Beliau juga banyak menulis dalam bidang geomatik, arithmatik dan asterologi. Karyanya juga banyak membincangkan tentang pusingan bumi pada paksinya dan Berjaya membuat hitungan yang tepat mengenai garis bujur (latitud) dan garis lintang (longitud) bumi. 

2. AL-BITRUJI

Beliau dikenali sebagai Alpetragius di kalangan masyarakat Eropah. Beliau adalah seorang ahli astronomi mutakhir Andalusia yang ulung dan merupakan anak murid Ibn Tufail, iaitu seorang ahli falsafah. Beliau telah menghasilkan kitab Al-Hai’ah yang menandakan kemuncak pergerkan anti-Ptolemy di kalangan ahli-ahli astronomi Andalusia. 

ILMU MATEMATIK

AL-KHAWARIZMI (780-850M) 

Mohammad b. Musa Al-Khawarizmi dikenali juga dengan panggilan Abu Abdullah, seorang ahli matematik, astronomi dan sejarah. Beliau dilahirkan pada 780M di daerah Hawarizmi yang sekarang dikenali dengan nama Khiwa (satu daerah di selatan Laut Arab). Beliau pernah dilantik oleh Khalifah Al-Ma’mun sebagai penasihat astronomi dan pengawas Khalifah di Baghdad. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan sistem angka sekarang ini kepada kebudayaan Eropah. Namanya terkenal dalam bidang matematik menerusi ciptaannya iaitu “algebra”, “daftar logarisma” dan orang barat menyebut angka Arab sebagai “algorismus”. Beliau juga merupakan orang pertama menghitung jadual astronomi dan sifar trigonometri yang kemudiannya diterjemahkan kepada bahasa Inggeris oleh Adelard. 

ILMU GEOGRAFI

AL-IDRISI

Nama sebenar beliau ialah Abu Abdullah Muhammad b. Muhammad b. Abdullah b. Idrisi al-Sharif. Beliau dilahirkan di Cueta dan mendapat pendidikan di Cordova. Beliau telah mengembara ke seluruh dunia Islam dan Eropah serta telah menghasilkan peta glob berkenaan dengan kawasan-kawasan dunia yang diketahui manusia. Glob yang berbentuk bulat tersebut telah menjadikan beliau terkenal di kalangan ahli-ahli geografi Islam. 

PENUTUP

Kesimpulannya, sumbangan yang diberikan orang Islam kepada orang Eropah adalah sangat berharga. Kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Eropah pada hari ini adalah sumbangan daripada orang Islam. Orang Eropah banyak berhutang budi kepada orang Islam. Tetapi akibat perpecahan umat lslam dan masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan lslam, tamadun ini tidak dapat dikekalkan malah digantikan dengan kebangkitan Eropah ataupun dikenali sebagai Zaman Renaissance. Zaman kegemilangan dan keunggulan umat lslam hanya ada di Andalus suatu masa dahulu. 

Umat lslam di era globalisasi ini pula amat sukar untuk berdiri megah seperti tamadun lslam di Andalus. Namun sumbangan tamadun lslam di Andalus dapat menarik minat orang Barat untuk mengubah hidup mereka yang berada di zaman kegelapan pada masa itu terutamanya dalam bidang ilmu pengetahuan. Oleh itu, kita sebagai umat Islam mesti bersatu-padu dalam mempertahankan Islam dari ancaman musuh sama ada melalui fizikal atau mentaliti. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com