Apa Itu Ekonomi Islam -

Oleh: Syazwani Binti Saleh

PENDAHULUAN
Ekonomi merupakan salah satu aset berharga bagi sesebuah negara. Oleh itu, adalah penting bagi setiap rakyatnya mendalami ilmu tentang ekonomi. Melalui pengetahuan tentang ekonomi Islam ini, kita akan dapat mengetahui jenis-jenis kegiatan ekonomi yang biasa dijalankan dalam Islam. Selain itu, kita juga dapat menyelesaikan masalah ekonomi yang melanda negara sekiranya setiap rakyat ini menyedari tanggungjawab masing-masing

TAKRIFAN
Ekonomi Islam ditakrifkan sebagai al-falah manusia melalui pengurusan sumber bumi berasaskan kerjasama. Selain itu ekonomi Islam diertikan ilmu pengetahuan sumber asli bagi tujuan memenuhi kepuasan manusia dan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah SWT. dan masyarakat keseluruhannya. Ekonomi Islam juga ditakrifkan sains sosial yang mengkaji masalah ekonomi yang berpegang pada nilai Islam. 

Apa yang dapat disimpulkan adalah ekonomi Islam ialah ilmu yang mengkaji kegiatan manusia selaras dengan kehendak syariat, dari segi perolehan, mengguna atau menguruskan sumber asli demi kebaikan diri serta kebaikan bersama secara kebendaan dan kerohanian demi mendapat keredhaan Allah SWT.. 

CIRI-CIRI EKONOMI ISLAM
Ciri-ciri yang terdapat dalam ekonomi Islam adalah ekonomi ini adalah berasaskan al-Quran dan al-hadis. Ekonomi Islam seperti yang diketahui adalah bersifat ketuhanan daripada prinsipnya. Keduanya, bahagian dalam ekonomi Islam adalah daripada keseluruhan sistem kehidupan Islam yang lengkap. Ekonomi Islam yang lengkap dan sempurna mampu menyelesaikan masalah keperluan kehidupan manusia serta seluruh mahkluk di muka bumi ini. Selain itu, kepentingan individu dan masyarakat dalam ekonomi Islam akan sentiasa dalam keadaan yang seimbang. Setiap manusia mempunyai hak sendiri, walaupun tidak secara mutlak. Apabila kepentingan individu dan kepentingan umum tidak dapat disesuaikan maka kepentingan umum akan didahulukan. 

Seterusnya, kegiatan ekonomi bukan hanya bersifat kebendaan tetapi bersifat kerohanian juga. Manusia mempunyai hubungan dengan sesama manusia, tetapi juga mempunyai hubungan dengan penciptanya iaitu, Allah SWT.. Dalam Islam, kegiatan ekonomi tidak akan memisahkan kebendaan daripada aspek kerohanian. Tambahan pula, ekonomi Islam juga sesuai digunakan untuk sepanjang zaman keerana sifatnya yang tetap dan dinamik Ekonomi Islam tetap kerana sifatnya yang teguh tanpa boleh dipersoalkan dan dinamik kerana boleh digunakan dalam keadaan yang berbeza dan sesuai dengan masanya. 

ASAS EKONOMI ISLAM

Setiap perkara mempunyai asasnya, begitu juga dengan ekonomi Islam. Hukum ekonomi Islam adalah berasaskan dua sumber utama iaitu al-Quran dan al-sunnah. Al-Quran adalah sumber rujukan utama dalam Islam. Terdapat banyak ayat-ayat yang berkaitan dengan ekonomi seperti pengharaman riba, proses jual beli, zakat dan lain-lain lagi. Keduanya adalah hadis. Al –hadis bermaksud sesuatu yang baru atau lama kepada qadim. Ia juga bermaksud perkhabaran dan perbicaraan yang bersifat keagamaan ataupun tidak. Menurut syarak, hadis adalah apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. dari perkataan, perbuatan pengakuan atau sifat. 

Seterusnya, ijmak yang ditakrifkan sebagai kesepakatan tentang hukum agama terhadap sesuatu. Ulama tidak semestinya membuat persepakatan secara beramai-ramai tetapi juga boleh terjadi antara dua atau tiga ulama tanpa dirancang. Terakhir adalah, qias iaitu suatu perbandingan antara sesuatu dengan sesuatu dari segi hukum. Tujuan qias ini adalah untuk mendapatkan persetujuan tentang hukum sama ada halal ataupun haram terhadap sesuatu yang belm ditetapkan hukumnya. Ianya juga ditetapkan dengan mengambil kira rujukan dari al-Quran juga. 

ASAS PERNIAGAAN DALAM ISLAM

i) Asas perniagaan dalam Islam

Perniagaan adalah proses pertukaan barang sama ada dalam bentuk wang dengan barang ataupun barang dengan barang. Perniagaan juga melibatkan dua pihak iaitu antara pembeli dan menjual. Ianya juga melibatkan cara bagaimana untuk memperluaskan lagi modal. Dalam urusan jual beli terdapat rukun yang perlu diikuti iaitu penjual, pembeli, harga, barang, lafaz ijab atau serah dan lafaz qabul atau terima. Seperti yang dapat diketahui, hukum jual beli dalam Islam adalah harus dan halal. Allah pernah berfirman menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Antara hikmah proses jual beli adalah ianya dapat memperluaskan lagi perkhidmatan yang manusia perlukan melalui pertukaran barang. Selain itu, sumber rezeki yang halal juga dapat diperbagaikan lagi. Jual beli juga dapat menghindarkan berlakunya kejadian rompakan dan perkara yang tidak diingini terjadi. 

Terdapat syarat dalam proses jual beli iaitu syarat untuk penjual dan pembeli hendaklah baligh, berakal, tiada paksaan untuk berjual beli, muslim jika barabg adalah al- Quran serta tidak sah jual beli kepada kepada orang kafir iaitu alat-alat peperangan yang dugunakan untuk memerangi orang-orang Islam. Manakala syarat untuk ijab dan qabul ialah lafaz menerima dan menyerahkan tidak diselangi dengan perkataan lain, tidak boleh mendiamkan diri dalam tempoh yang lama, ijab dan qabul hendaklah mempunyai persamaan maksudnya. Ianya juga tiada had waktunya serta tidak boleh bertaklik. Syarat bagi barang jual beli adalah suci tiadanya najis, dapat memberi manfaat, dapat diserahkan, barabg tersebut adalah milik sendiri serta barang itu boleh dilikhat atau diketahui. Terakhir adalah syarat bagi harga. Harga barabg hendaklah semasa akad serta harga satu harga sahaja yang boleh disebut. 

ii) Konsep dan aspek-aspek penting perniagaan

Perniagaan adalah ekonomi yang membawa banyak kepentingan dalam kehidupan masyarakat. Perniagaan yang mengikut syarat seperti yang dianjurkan oleh Islam boleh dikatakan sebagai ibadat. Perkembangan perniagaan boleh membawa kepada kemajuan ekonomi masyarakat setempat khususnya. Antara prinsip-prinsip yang ada dalam Islam ialah bebas dan adanya persetujuan bersama, urus niaga yang dijalankan adalah tanpa riba, adil iaitu dalam menunaikan janji, timbang-sukat, benar dan lain-lain lagi. Memberi layanan yang baik, melindungi hak penjual dan pembeli, jujur dan amanah serta rajin dan tekun dalam berniaga. 

Aspek penting yang perlu ada dalam perniagaan ialah mudarabah iaitu pemodal beersetuju memberi modal yang cukup kepada pengusaha untuk diniagakan agar keuntungannya boleh dibahagi mengikut nisbah tertentu. Hukum mudarabah adalah harus dalam perniagaan. Keduanya ialah musyarakah iaitu perkongsian modal bagi sesuatu perniagaan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan. Aspek ini membawa kepada kewujudan syarikat. Antara jenis syarikat yang dipersetujui oleh ulama ialah syarikat milik, syarikat harus dan syarikat perjanjian. Ketiga adalah murabahah yang ditakrifkan sebagai jualan barang dengan harga yang meliputi kos belian yang berkadar keuntungan yang telah kedua-dua pihak setuju. Hukum murabahah adalah harus di sisi Islam. 

Keempatnya ialah bai’bithman iaitu jualan harga tertangguh. Ianya perlulah dijual barang dengan kadar segera kepada pembeli tetapi masa untuk membayarnya ditangguhkan ke masa yang tertentu yang dipersetujui kedua-dua pihak. Tujuannya ialah untuk menyenangkan pembeli yang tidak mampu membayar secara tunai. Kelima adalah bai’salam iaitu perjanjian jual beli diantara pembeli dengan pembeli membayar tunai kepada penjual tetapi penjual akan menyerahkan barang tersebut dalam suatu tempoh masa yang dipersetujui. Keenam pula al-kafalah adalah suatu perjanjian di antara penjamin dan penerima jaminan. Penjamin akan memikul tanggungjawab menjelaskan hutang sekiranya penghutang gagal menjelaskan hutangnya. Hutang yang dijamin hendaklah sah dan wajib dibayar. 

Ketujuh pula adalah al-Wakalah iaitu proses perjanjian orang yang melantik orang lain ataupun wakil. Orang yang melantik itu memberi kuasa kepada wakilnya untuk menjalankan kerja ataupun tugas bagi pihaknya. Syaratnya, kerja atau tugas itu hendaklah dinyatakan dengan jelas, wang atau harta yang diberi untuk keperluan kerja itu hendaklah dianggap sebagai wadiah selagi wang itu ada dengannya. Kelapan ialah al-rahn ataupun gadaian. Perjanjian yang berlaku antara pengadai dengan penerima gadaian di mana pengadai menyerahkan sesuatu barang berharga sebagai cagaran untuk penerima gadaian. Kesepuluh adalah al-hiwalah iaitu proses atau akad menuntut pemindahan hutang atau muhil daripada seseorang yang menyerahkan hutang itu kepada orang lain yang dipanggil sebagai muhaal illaih. Keadaan ini akan berlaku iaitu pemiutang akan menuntut hutangnya daripada penanggung hutang tersebut. Al-sarf pula adalah proses pertukaran mata wang. Qardh ul-hasan pula adalah hutang kebajikan dimana hutang yang diberi tidak akan dikenakan bayaran tambahan kecuali hadiah ataupun saguhati. Tetapi tempoh dan syarat-syarat hutang ditentukan terlebih dahulu. Terakhir adalah al-hijarah atau sewa. Keadaan dimana kebiasaanya usahawan menyewa sesuatu jenis harta daripada pemilik pada tempohh, kadar dan syarat-syarat sewa yang dipersetujui kedua-dua pihak. 

RIBA
Riba bermaksud lebihan atau tambahan yang berlaku daripada pinjaman pokok yang diterima oleh penberi pinjaman. Riba adalah haram di sisi Islam. Kesan riba terhadap ekonomi ialah kemerosotan bidang pelaburan dimana pelabur tidak lagi mahu melabur di dalam negara. Ia juga melemahkan ekonomi, boleh memusnahkan kekayaan negara khususnya. 

INSTITUSI KEWANGAN ISLAM
i) BAITUMAL

Baitumal ataupun lebih dikenali sebagai rumah harta. Ia merupakan salah satu institusi kewangan Islam. Baitumal juga tidak terhad kepada pusat penyimpanan harta yang kerajaan terima sebelum diagihkan kepada pihak yang berhak. Baitulamal juga telah ditubuhkan sejak zaman Rasullulah SAW. dan telah diteruskan oleh pemerintahan khulafa ar-rasyidin sehingga sekarang Antara matlamat baitulmal ialah memberi kemakmuran kepada umat Islam, menghapuskan kemiskinan dan penghambaan serta membangunkan seluruh negara Islam. Fungsi dan peranan baitulmal adalah untuk membentuk dan menggubal polisi kewangan serta pentadbiran awam. Ia juga berfungsi sebagai peminjam terakhir. Selain itu juga peranan baitulmal adalah untuk menyedarkan umat Islam berkenaan masalah ekonomi dan tanggungjawab sosial sesama manusia. Ia juga bertanggungjawab membentuk dasar dan melaksanakan perancangan dan pembangunan masyarakat, mengutip zakat, tempat menyimpan harta negara, menjalankan kerjasama ekonomi di peringkat antarabangsa. 

Antara sumber-sumber baitulmal adalah segala harta yang diterima melalui zakat seperti zakat harta, zakat pertanian, zakat emas dan lain-lain lagi. Selain itu, segala harta milik umat Islam seperti sedekah, wakaf, nazar dan lain-lain juga merupakan sumber baitulmal. Sumber lain baitulmal adalah jizyah, ghanimah, kharaj, fai dan sebagainya. Saham yang dijual kepada umat Islam juga merupakan sumber baitulmal. 

ii) PERBANKAN

Perbankan adalah bertujuan untuk menhubungkan modal atau menyalurkan modal daripada unit yang berlebihan kepada unit yang berkurangan. Antara prinsip perbankan adalah menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan adil, saksama dan halal di sisi agama, mengeluarkan zakat, tidak membenarkan monopoli serta berkerjasama membangunkan ummah. Operasi perbankan juga adalah berdasarkan hukum-hukum yang dah ditetapkan seperti mudarabah-musyarakah, hukum kontrak bai’bithaman ajil, mudarabah dan ijarah, bai salam dan qardul hasan. 

iii) INSTITUSI GADAIAN
Pajak gadai adalah institusi yang memberi pinjaman kepada kepada orang ramai terutama bagi mereka yang ketiadaan wang. Ianya juga merupakan institusi yang tidak mengaut keuntungan. Pelanggan yang ingin mendapatkan pinjaman perlulah mencagarkan sesuatu yang berharga dengan ada tempoh pembayaran balik pinjaman yang diterima. Jika pelanggan gagal memulangkan pinjaman maka cagaran ini akan dijual dan akan dipulangkan kepada pelanggan. Oleh itu, institusi ini bersifat kebajikan. 

Terdapat banyak lagi institusi kewangan Islam seperti koperasi. 

PENILAIAN TERHADAP EKONOMI ISLAM
Di Malaysia berlaku ekonomi campuran dimana kerajaan dan pihak persendirian bersama-sama membuat keputusan dalam permasalahan ekonomi. Masalah ekonomi merosot sememangnya sentiasa melanda dunia hari ini. Masalah yang melanda ini telah menyebabkan beberapa negara terpaksa meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Malaysia melalui saat-saat genting pada sekitar tahun 1990-an. Setelah dikaji, antara permasalah ekonomi di Malaysia ialah amalan membeli atau membekukan barang sehingga permintaan di pasaran meningkat serta pemborongan barabg yang sebanyak mungkin juga membawa kepada masalah ekonomi atau monopoli. Penyelesaian masalah sistem ekonomi Malaysia adalah harga perlulah ditetapkan dengan mengambil kira persetujuan orang ramai, pengawasan harga juga prlulah dilakukan sehingga ke tahap maksimum demi menjaga kepentingan orang ramai serta kerajaan juga hendaklah secara langsung terlibat dalam pengeluaran barabg asasi khususnya untuk menjaga kebajikan masyarakat supaya pihak yang memonopoli dapat dikurangkan. 

KESIMPULAN
Apa yang disimpulkan adalah penting bagi setiap umat Islam mendalami ilmu ekonomi Islam bagi memastikan ekonomi negara sentiasa dalam keadaan yang stabil. Perkara seperti memonopoli juga haruslah dielakkan kerananya ianya merupakan amalan yang membawa penganiaayan terhadap hak orang lain. 


RUJUKAN
Mat Hassan Abu Bakar (2003). Apa itu Ekonomi Islam, Bentong : PTS Publications & Distributor SDN. BHD. 

Afzal-Ur Rahman (1980). Ekonomi Islam, Lahore : doctrines of Islamic Publication Ltd. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com