Monday, April 13, 2009

Bagaimana Menjadi Muslim Bertaqwa -

Oleh: Syazwani Binti Saleh

PENDAHULUAN
Taqwa merupakan agenda yang penting didalam kehidupan muslim yang beriman kepada Allah SWT.. Melalui ketaqwaan ini akan dapat memantapkan lagi jati diri sebagai seorang muslim yang sejati. Terdapat banyak faktor yang akan menjawab persoalan kenapa pentingnya taqwa dalam kehidupan manusia khususnya muslim. Keberkatan hidup dunia akan lebih direhdai seandainya umat Islam mengamalkan kehidupan sebagai muslim secara menyeluruh. Ketaqwaan boleh memberi banyak kebaikan kepada muslim kerana dapat menyumbang kepada ketenangan jiwa manusia. Ia juga dapat menghindari dan mengawal perbuatan manusia daripada melakukan perkara yang sia-sia. 

Oleh hal yang sedemikian, kita amatlah memerlukan panduan hidup dalam memperlengkapkan lagi keperibadian kita sebagai muslim yang sejati. Sesungguhnya kita perlulah berusaha untuk meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah SWT.. Dalam firman-Nya yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. ” (Al-Hujurat:13) 

TAKRIFAN
Taqwa secara umumnya ditakrifkan tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Takrifan dari segi syarak pula bermaksud menjaga dan memelihara diri dari segala seksa dan murka Allah dengan menlaksanakan perintah kepada-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta menjauhi maksiat. Jika dilihat melalui kaca mata Al-Quran mempunyai beberapa takrifan antaranya taqwa beerti takut kepada Allah. Selain itu taqwa juga bermakna ketaatan dan ibadah. Serta beerti bersih hati dari dosa. Selain itu, para ahli tasawuf menafsirkan taqwa sebagai membentangi diri dari segala perkara yang boleh menjuruskan diri ke dalam lembah dosa. Manakala Imam Al- Ghazali pula menerangkan taqwa berasal dari perkataan wiqayah yang membawa erti pelindung atau pemelihara, iaitu tepelihara dari kejahatan disebabkan adanya keinginan kuat untuk meninggalkan perkara yang jahat. 

Terdapat banyak lagi pendapat tentang pengertian taqwa ini. Tapi dapatlah disimpulkan disini iaitu ciri-ciri yang menunjukan orang bertaqwa ialah meninggalkan perkara yang dilarang-Nya, hindari diri dari perkara yang boleh menjauhkan diri daripada Allah, tinggalkan segala kata jiwa dan tentang hawa nafsu, memelihara dan melaksanakan tatacara hidup mengikut syariah Islam serta mengikuti tuntutan Rasullulah SAW. 

SEBAB MANUSIA PERLU BERTAQWA
Junjungan kita Rasullulah SAW serta para nabi dan rasul adalah merupakan contoh terdekat yang mengamalkan ketaqwaan kepada Allah SWT secara berterusan. Terdapat banyak alasan kenapa Allah begitu menekankan soal ketaqwaan kepada setiap muslim. Antaranya kerana taqwa adalah penting dalam usaha merealisasikan konsep kehambaan terhadap Allah SWT.. Kepatutahan kita kepada Tuhan yang menguasai segalanya adalah penting, oleh itu kita diwajibkan patuh kepada-Nya. Selain itu, ia adalah penting untuk meneguhkan pegangan manusia dengan mentauhidkan Allah. Pegangan kita dalam usaha mentauhidkan Allah adalah agama Islam, jadi kita perlulah mengamalkan secara menyeluruh apa yang telah diperintahkan kepada kita. 

Mengingatkan manusia agar menjauhi larangan Allah. Taqwa penting bagi mengelakkan kita dari terjebak dalam perkara yang berkaitan kejahatan dan maksiat. Sebab lain pula adalah untuk menyedarkan manusia supaya tidak menyalahgunakan nikmat Allah. Nikamt yang telah dikurniakan perlulah digunakan ke jalan kebaikan bukannya ke jalan kejahatan. Oleh itu, taqwa penting dalam mendidik diri kita supaya sentiasa mensyukuri segala nikmat yang telah dibagi oleh-Nya. Tambahan pula, manusia perlu bertaqwa bagi membolehkan manusia membuktikan keimanannya kepada Allah SWT. Ketaqwaan akan membawa terus kepada tahap keimanan yang menjadi asas sebagai muslim bertaqwa. Sebagai makhluk ciptaan Allah, kita perlulah sentiasa berusaha meningkatkan keimanan kepada-Nya. Selain itu, dengan adanya sifat taqwa dalam diri kita akan membolehkan manusia mudah untuk mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Sifat taqwa mengajar kita supaya sabar berusaha dalam mendapatkan kehidupan yang lebih baik lagi. 

Ketaqwaan juga dapat mengajar manusia membezakan antara perkara yang baik dengan perkara buruk. Adanya taqwa dapat mendidik hati kita untuk menentukan sesuatu perkara dengan betul dan terbaik. Kita perlulah menggunakan akal dengan sebaiknya demi kebaikan diri sendiri. Taqwa juga mengajar manusia agar sentiasa bercakap benar. Percakapan yang benar dapat membentuk jati diri yang mulia. Berbicara benar akan disukai oleh Allah dan masyarakat sekeliling. Terdapat lagi sebab-sebab lain iaitu, supaya manusia terselamat dari tergolong orang fasik, supaya manusia makan dari hasil yang halal, dapat mewujudkan perasaan takut manusia terhadap hari kiamat, supaya manusia tidak mengikuti jejak orang kafir, selain itu supaya manusia menjaga maruah sesama muslim, mewujudkan nilai perpaduan dalam masyarakat dan supaya manusia tidak mendahului Allah dan Rasul dalam menetapkan sesuatu hukum. 

JALAN HIDUP UNTUK MENCAPAI TAQWA
Dalam mempertingkatkan usaha bagi memperolehi taqwa, beberapa langkah-langkah penting yang disarankan kepada setiap muslim adalah antaranya:

i) Mengingati Allah (zikirullah) 
Mengingati Allah dengan berzikir dapat menberi ketenangan jiwa dan hati yang tenteram dengan mengingatinya. Hati yang tenteram adalah merupakan salah satu kesihatan rohaniah yang penting dalam memupuk sifat taqwa dalam diri setiap muslim. Dengan berzikir juga dapat mengubati penyakit hati. Zikir yang membawa pengertian iaitu menyebut nama-nama Allah dengan memuji dan mensucikan Allah dengan segala sifat kebesaran dan kesempurnaan-Nya. Ini sekaligus akan menimbulkan rasa kecintaan kepada Allah SWT.. 

ii) Mengerjakan solat sunat
Aspek rohani adalah penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, bagi mencapai kekuatan rohani, adalah penting bagi setiap muslim mengerjakan solat wajib iaitu solat lima waktu. Solat merupakan ibadah paling utama dari amalan-amalan yang lain. Disebabkan itu, muslim disarankan mengerjakan solat sunat seperti solat sunat tahajjud, tasbih, taubat dan sebagainya bagi memperkukuhkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.. Terdapat banyak kebaikan yang dapat kita perolehi dari ibadah solat ini seperti mendidik diri berdisiplin, menanam sifat sabar dalam menunaikan ibadah, mudahkan untuk masuk syurga, memancarkan sinar cahaya di kiamat kelak dan menjadikan seseorang itu sentiasa mengingati Allah SWT.. 

iii) Taubat
Taubat beerti menghentikan segala perbuatan dosanya dan menyesali serta bernekad tidak akan mengulangi perbuatan dosanya itu. Taubat juga merupakan salah satu sifat yang ada pada orang-orang yang bertaqwa dan beramal salih. Taubat amat penting kerana ia dapat mendekatkan diri, menyucikan diri serta demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Allah SWT. sentiasa membuka pintu taubat seluas-luasnya kepada hamba-Nya. Terdapat 3 kategori taubat iaitu taubat orang awam, taubat khusus dan taubat lebih khusus. Banyak faedah yang kita perolehi jika kita sentiasa bertaubat, antaranya, dapat membersihkan diri dari dosa, mendapat ketenangan jiwa serta kemenangan, akan tergolong dalam orang yang tidak berdosa dan taubatnya akan diterima oleh Allah SWT.. 

iv) Takut kepada Allah (khauf) 
Perasaan takut juga merupakan salah satu cara untuk mencapai taqwa kepada-Nya. Sifat takut ini dapat mendorong seseorang mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang terlarang dan dosa. Takut akan perbuatannya akan disaksikan oleh Allah SWT akan menyebabkan seseorang akan sentiasa menjaga kelakuannya. Menurut Ibnu Al-Muqadasi: takut kepada Allah itu akan mendorong seseorang untuk mengamalkan ilmunya dan akan mendorong untuk lebih banyak beramal bakti kerana ilmu dan amal dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.. Selain itu, sifat takut ini akan menimbulkan sifat-sifat lain seperti zuhud, warak, muraqabah, muhasabah dan sebagainya. Antara prinsip-prinsip yang perlu difahami apabila menyentuh soal takut ini ialah perasaan takut akan ancaman-Nya. Takut jika melanggar perintah Allah, nescaya akan ditimpa ancaman dalam pelbagai bentuk contohnya kejadian tsunami yang telah menimpa kita beberapa tahun yang lalu. Perkara ini adalah terang lagi bersuluh. Takut akan ditolak segala amal kebajikannya juga adalah salah satu prinsip. Ini kerana segala kebajikan yang kita lakukan adalah disaksikan oleh Allah SWT.. Selain itu, takut tidak akan mendapat sebarang petunjuk dan rahmat-Nya juga prinsip takut. Per buatan yang mengingkari Allah juga akan menyebabkan Allah SWT. tidak akan menberi hidayah kepada mereka. Namun, sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah SWT. adalah para nabi dan Rasul serta para salihin dan ulama. 

Antara ciri-ciri orang yang mempunyai sifat takut kepada-Nya ialah akan gementar hatinya dan makin kuat imannya apabila dibacakan ayat-ayat Allah, sentiasa mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan membelanjakan sebahagian rezekinya pada jalan Allah, menjaga diri dan keluarga dari segala larangan Allah, sentiasa taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan bertaubat serta memohon ampun kepada Allah SWT.. Kelebihan orang yang takut kepada Allah adalah mereka akan memperolehi kebahagian hodup di dunia dan di akhirat, akan selamat dari neraka, akan memperolehi balasan syurga dan lain-lain lagi. 

v) Mujahadah
Mujahadah adalah penyerahan bersungguh-sungguh demi menyingkirkan nafsu dan syahwat. Mujahadah dalam memerangi nafsu adalah penting kerana ianya adalah merupakan jihad yang paling besar dan paling dituntut dalam agama. Nafsu juga adalah merupakan musuh manusia. Allah telah menerangkan 3 jenis nafsu manusia iaitu nafsu ammarah, nafsu lawwamah dan nafsu mutmainnah. Nafsu ammarah merupakan musuh manusia dan orang yang beriman kerana ia sentiasa menghasut supaya meninggalkan kebaikan dan ibadah. Menurut Prof. Dr Hamka terdapat 3 aspek ciri-ciri perjuangan melawan nafsu iaitu:Tewas terhadap nafsu iaitu menjadikan nafsu sebagai tuhan yakni mengutamakan nafsu lebih dari segalanya. Jika seseorang itu menang dalam melawan nafsu dipanggil mujahid kerana jika maut ketika melawan nafsu akan dikira syahid. Ini menunjukkan betapa besarnya jihad terhadap hawa nafsu. Orang yang dapat mengalahkan hawa nafsu serta mengusirnya dalam kehidupan akan selamat dari dipermainkan oleh hawa nafsu. Kesimpulannya, mujahadah adalah penting dalam setiap diri muslim dalam memperkukuhkan lagi ketaqwaan kita terhadap Allah SWT.. 

vi) Muhasabah
Muhasabah adalah perbuatan yang melihat dan merenung diri sendiri untuk mempersoalkan tentang tindakan kita demi menghindari kemurkaan-Nya. Kita sepatutnya sentiasa bermuhasabah diri setiap hari walaupun sekejap. Sifat ini juga patut disusuli dengan sifat membersihkan diri. Konsep muhasabah mengikut Imam Al-Ghazali ialah keperluan kita menjaga tujuh anggota penting iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan serta kaki. Mata merupakan anggota yang paling penting kerana dengan matalah kita mampu melihat kebesaran-Nya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga mata daripada melihat perkara-perkara maksiat dan sebagainya yang membawa keburukan kepada diri sendiri. Telinga pula hendaklah dipelihara dari mendengar fitnah caci-maki dan sebagainya. Telinga dikurniakan kepada kita kerana kepentingannya dalam komunikasi serta dapat mendengar ayat-ayat suci Allah SWT.. Selain itu, lidah juga perlulah dijaga dari mengeluarkan kata-kata fitnah, mengumpat dan sebagainya. Kita perlulah menggunakan sebaiknya lidah dengan berzikir, membaca kitab suci Al-Quran dan sebagainya. Bagi hal perut pula, kita juga perlu memelihara perut dengan cara memakan makanan yang sihat dan paling penting adalah halal seperti yang disarankan oleh Islam. 

Manalaka kemaluan pula adalah nikmat yang paling wajib dijaga kerana jika tidak dijaga dengan sebaiknya, nescaya akan mendatangkan kemudaratan kepada diri. Anggota ini perlu dijaga dari terjebak dengan zina, liwat serta hubungan sonsang. Tangan dan kaki juga hendaklah dijaga dengan sebaiknya kerana anggota-anggota ini adalah penting melakukan pergerakan untuk melakukan ibadah serta aktiviti-aktiviti harian kita. Kita perlulah menjaga anggota dengan tidak mengunjungi tempat-tempat maksiat dan melakukan maksiat. 
Dapatlah disimpulkan di sini, kesemua anggota demi melakukan ibadat sekaligus dapat meningkatkan taqwa dalam diri masinh-masing. 

vii) Muraqabah (mawas diri) 
Muraqabah menurut Imam AL-Qusyairi ialah sentiasa menyakini Allah melihat dan mengawasi dirinya yakni diri kita. Kita sebagai muslim sejati seharusnya mengamalkan muraqah kerana kita akan sentiasa membataskan diri sendiri dalam setiap pergerakan seharian kita agar tidak terjebak dengan mana-mana perkara yang tidak berfaedah. Setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang, seharus dilakukan atas dasar kerehdaan Allah SWT.. Ini adalah kerana, amalan manusia berdasarkan kepada tiga keadaan iaitu amalan berbentuk ketaatan kepada Allah SWT., amalan berbentuk yang dibolehkan dan amalan yang berbentuk maksiat. Amalan ketaatan hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana-Nya. Manakala, amalan yang dibolehkan harus dipenuhi dan dilaksanakan dengan syarat tidak lupa untuk bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar apabila mendapat musibah. 
Amalan maksiat perlulah dijauhi sejauhnya dengan segera dan bertaubat kepada Allah SWT.. Oleh itu, sifat ini adalah penting untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.. 

viii) Sabar
Sabar membawa erti bertahan terhadap sesuatu dugaan atau kejadian dengan tabah serta bersifat redha dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya mempunyai sifat sabar dalam kehidupan seharian. Hal ini adalah kerana akan melatih diri tabah menangani cabaran dan dugaan hidup. Menurut ahli filsafat Islam, sabar boleh dikategorikan kepada beberapa aspek. Pertamanya, sabar menjalankan ibadah, iaitu sentiasa tekun menjalankan perintah Allah dangan seikhlasnya. Ketika melakukan ibadah perlulah menanamkan niat ikhlas kerana Allah. Kita juga hendaklah khusyuk dalam ibadah terutamanya dalam solat serta setelah selesai sesuatu ibadah, hendaklah menyerahkannya kepada Allah. Keduanya, kita perlulah sabar terhadap dugaan seperti bala dan bencana. Sebenarnya, jika difikirkan setiap dugaan dan bencana yang Allah timpakan ke atas kita ada hikmah dan pengajarannya. Oleh itu, kita hendaklah sabar terhadap dugaan dunia ini. 

Seterusnya, sabar terhadap maksiat. Maksudnya, berusaha menahan diri daripada melakukan maksiat serta perbuatan jahat. Manusia sentiasa digoda syaitan. Oleh itu, kita perlulah sabar serta menahan diri agar tidak terjebak dengan godaan syaitan yang sentiasa mahu melihat manusia mengingkari perintah Allah. Kita perlulah berdoa setiap hari agar ditetapkan iman dalam dada. Kita juga perlulah sabar dalam perjuangan menempuh hidup dan sabar terhadap pengaruh kehidupan duniawi yang kadang-kadang melalaikan kita tanggungjawab sebagai muslim sejati. Terdapat banyak kelebihan orang yang mempunyai sifat sabar ini. Antaranya ialah akan mendapat pahala yang besar, mendapat keampunan dosa daripada Allah, akan mudahnya mendapat pertolongan daripada Allah SWT., menperolehi kedudukan yang tinggi dan lain-lain lagi. 

ix) Qana’ah
Qana’ah bermaksud menerima dengan rela yang telah ada atau sentiasa merasa cukup dengan apa yang telah dikurniakan. Sifat ini merupakan salah satu sifat yang terpuji dan sepatutnya setiap muslim patut mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Menurut Abu Zakaria Ansari, qana’ah ialah merasa cukup dengan apa yang dimilikinya seperti keperluannya dalam bentuk makanan, pakaian, atau apa sahaja yang dimilikinya. Manakala konsep qana’ah dalam Islam adalah mencakupi segala aspek permilikan dan apa-apa yang ditempuhi dalam kehidupan seharian. Jika mengambil pandangan Prof Dr. Hamka, qana’ah menggariskan lima ciri penting dalam diri setiap muslim iaitu redha dengan apa yang ada, memohon kepada Allah disertai dengan usaha dan ikhtiar, bertawakal kepada-Nya, menerima ketentuan Allah dengan sabar serta tidak tertarik oleh tipu daya duniawi yang bersifat hanya sementara ini. 
Segala pekerjaan yang dilakukan oleh setiap orang haruslah disusuli dengan perasaan sabar serta bersyukur setelah mendapat ganjaran setimpal yang telah diusahakan. Antara kelebihan-kelebihan orang yang mengamalkan sifat qana’ah ialah kita akan tergolong dalam golongan yang berjaya dan sentiasa merasa cukup dengan rezekinya yang diperolehi daripada-Nya. Selain itu, kita perlulah sentiasa tekun mencari rezeki yanh halal tanpa sebarang keraguan yang menghalang. Ia juga dapat mendidik diri untuk bersyukur kepada nikmat Allah. Tambahan pula, sifat ini juga dapat menghindari rasa tamak dan haloba dalam mencari rezekidan harta kurniaan Allah SWT.. Oleh itu, kita perlulah mengamalkan kesederhanaan dalam hidup kita. Ketahuilah segala yang kita perolehi adalah dengan bantuan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 

x) Warak
Warak juga merupakan salah satu cara dalam menuju ketaqwaan kepada Allah SWT.. Warak adalah menyingkirkan syubhat dan dari halal yang yidak akan membawa kebaikan ke dalam kehidupan terutamanya agama. Menurut Ibrahim Ibnu Adham pula warak bermaksud meninggalkan segala syubhat dan yang tidak mempunyai kepentingan iaitu meninggalkan kemewahan yang berlebihan. manakala menurut Imam Nawawi pula mengklasifikasikan warak menjaga segala halal dan haramnya termasuk makanan, pakaian tempat tinggal dan yang berkaitan dengannya. Warak hendaklah ditanamkan dalam setiap diri muslim kerana ianya dapat menghindari sifat takbur dan lupa diri kepada Allah SWT.. Terdapat sepuluh cara dalam usaha mencapai warak iaitu memelihara lidah dari mengumpat. Sesungguhnya mengumpat amatlah dimurkai oleh-Nya kerana ia tentunya akan menjatuhkan maruah orang diumpat itu. Mengumpat juga adalah satu dosa besar yang akan dilaknat oleh Allah SWT di akhirat kelak. Kita juga perlulah menghindarkan diri dari buruk sangka. Kita janganlah berburuk sangka terhadap sesama muslim kerana buruk sangka juga adalah satu dosa. Selain itu, kita janganlah menghina dan merendahkan-rendahkan orang lain. Perkara ini perlulah dielak sama sekali kerana kita tidak mengetahui jika kaum yang yang dihina itu adalah lebih baik daripada yang menghina. Tambahan pula, paling penting untuk mencapai warak adalah memelihara pandangan dari perkara yang haram. Maksudnya, kita hendaklah menjaga mata dengan cara tidak melihat perkara-perkara maksiat. Seterusnya membelanjakan harta ke jalan Allah, sentiasa mengingati nikmat yang dikurniakan-Nya serta memanfaatkanya, jujur, berlaku benar dan adil, sentiasa memelihara solat, istiqamah mengikut Rasullulah serta jamaah Islam dan jangan terlalu mementingkan kedudukan serta janganlah sombong sesama manusia. Menurut Hasan Al-Basri pernah berkata, kebaikan agama adalah warak manakala kerosakan kepada agama ialah tamak. Antara kelebihan orang yang warak adalah tergolong dalam golongan yang banyak ibadahnya, menyenangkan perjalanan memasuki syurga tanpa hisab, diberkati dan sentiasa diberi petunjuk oleh-Nya. 

xi) Zuhud
Kehidupan dunia sememangnya ada yang membawa kepada kelalaian. Oleh itu, sifat zuhud adalah sifat yang mulia dan sekaligus boleh menuju kepada taqwa. Terdapat beberapa pendapat yenyang pengertian zuhud antaranya oleh Imam Al-Ghazali. Menurutnya, zuhud adalah sifat mengurangkan keinginan kepada duniawi dan menjauhkan dengan adanya kesedaran. Sebahagian ulama pula mengatakan zuhud ialah meninggalkan kesenangan duniawi demi akhirat kelak. Seperti yang diketahui, menurut Syeikh Ahmad Ibnu As-Sukandari, terdapat tiga ciri-ciri orang yang mempunyai sifat zuhud. Ciri-ciri tersebut adalah orang itu hanya sukakan dunia sedikit sahaja, sederhana dalam pelbagai hal, menerima seadanya dan tidak risau akan sesuatu yang telah tiada. Selain itu, orang zuhud juga menyamakan celaan dan pujian adalah sama sahaja serta sentiasa mendahulukan keredhaan Allah SWT. dari keredhaan manusia. Antara aspek penting yang ditekankan adalah sentiasa menghindari diri dari penipuan dan habuan dunia, kita hendaklah menganggap dunia hanya dugaan, mencari tuntutan dunia untuk kepentingan akhirat, kita juga hendaklah mencari kemewahan dunia yang tidak akan melalaikan kewajipan sebagai muslim serta hendaklah berjaga agar tidak terpedaya dengan kemewahan dunia yang hanya bersifat sementara. Oleh itu, kita perlulah mengamalkan sifat zuhud bagi menyeimbangi dunia dan akhirat. 

xii) Tawaduk dan istiqamah
Tawaduk bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.. Tawaduk juga boleh terjadi kepada sesama muslim iaitu sentiasa merendah diri sesama muslim. Janganlah kita mempunyai sifat takabur. Kita perlulah menghormati manusia sejagat tanpa mengira keturunan, agama, bangsa serta warna kulit. Mengamalkan sifat tawaduk juga penting bagi menyemai akhlak mulia. Ia adalah salah astu cara untuk menjadi seorang muslim yang bertaqwa. Manakala istiqamah pula beerti tegak, tetap dan lurus. Dari segi syarak pula beerti, sentiasa teguh di jalan yang benar, lurus, berpegang pada aqidah Islam dan mengamalkan syariat dengan tekun. Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa istiqamah dalam menjalankan ibadah dan segala yang boleh membawa kebaikan di dunia dan di akhirat. Istiqamah terbahagi kepada tiga, istiqamah dengan hati iaitu tetapkan iman dalam hati. Kedua adalah istiqamah denganfizikal iaitu tekun melakukan ibadah dan kerja demi keredhaan-Nya. Ketiganya adalah istiqamah dengan lisan iaitu menjaga lidah dalam berkata-kata. Banyak kelebihan jika kita sentiasa istiqamah dalam hidup. Antaranya ialah, kita akan memperolehi balasan yang besar daripada Allah, iaitu syurga. Selain itu, ia dapat membantu mabusia mencapai kesempurnaan hidup, dapat melindungi akal serta hati dan juga akan tergolong dalam golongan orang yang taat kepada Allah SWT.. Dapatlah disimpulkan disini, istiqamah penting dalam memperkukuhkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.. 

xiii) Tawakal kepada Allah SWT.. 
Seperti yang diketahui tawakal adalah merupakan aspek yang paling penting
dalam aqidah setiap muslim. Tawakal juga merupakan kunci untuk mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat. Ia juga boleh mengukur tahap keimanan seseorang ketika menghadapi rencah kehidupan didunia. Tawakal juga menjadi asas untuk berjaya melalui usaha dan ikhtiar serta bersabar menghadapi taqdir-Nya. Dalam Al-Quran juga telah dijelaskan kelebihan orang yang bertawakal iaitu balasan syurga untuknya, mendapat hikmah yang besar, mendapat keperluan yang diinginkan, mencapai kebahagian dunia dan akhirat dan dikasihi oleh Allah SWT.. 

JANJI ALLAH KEPADA ORANG BERTAQWA
Antara janji-janji Allah terhadap orang yang bertaqwa ialah akan mendapat pengampunan dosa dari Allah. Sesungguhnya Allah telah berfirman akan mengampunkan segala dosa seandainya kita bertaqwa kepada-Nya. Selain dihapuskan dosa, orang yang bertaqwa akan mendapat balasan pahala. Pahala akan diberikan sekiranya kita sentiasa bertaqwa kepada-Nya. Rahmat juga akan dikurniakan kepada mereka yang bertaqwa. Tambahan pula, orang yang bertaqwa juga akan memperolehi kesenangan hidup di dunia dan di akhirat. Jika mendapat kejayaan didunia, kejayaan di akhirat juga akan terjamin dengan syarat sentiasa menjalankan tanggungjawab kita sebagai mulim sejati. Selain itu juga, orang yang bertaqwa juga akan diselamatkan oleh Allah dari azab api neraka dan diberi balasan syurga. 

KESIMPULAN
Apa yang dapat kita simpulkan adalah penting bagi setiap umat Islam berusaha untuk mencapai ketaqwaan kepada Allah SWT.. Sifat-sifat seperti tawaduk, tawakal, kauf, munasabah dan lain-lain seperti yang telah diketahui sebelum ini hendaklah diamalkan selalu bagi memperolehi taqwa demi kebaikan muslim itu sendiri. Sifat ini perlulah sentiasa disemai dalam diri kita dan perlulah sentiasa berusaha kearah itu, kearah kebaikan. Taqwa perlu diamalkan selalu dalam menghadapi cabaran kehidupan dunia yang sementara ini. 

RUJUKAN
Drs. Hanafi Mohamed. (1996). Bagaimana Menjadi Muslim Bertaqwa. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publishers. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com

No comments: