Monday, April 13, 2009

Pengertian Puasa -

Oleh: Hasnur Husna Bt Hasnan

Dari segi bahasa puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu. Dari segi syarak pula puasa bermaksud menahan diri pada waktu siang daripada melakukan perkara-perkara tertentu dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Puasa juga boleh difahami sebagai mencegah diri daripada memenuhi dan melayan tuntutan syahwat perut seperti memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan pada waktu yang tertentu iaitu dari fajar sehingga terbenam matahari. 

HIKMAH DAN FAEDAH PUASA
Yang pertama ialah melatih diri supaya bersabar keraana sabar itu sebahagian daripada iman dan sifat mulia. Hanya dengan bersabar, maka orang yang berpuasa tidak akan makan atau minum serta melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasanya selagi belum tiba masanya untuk berbuat demikian. 

Yang kedua ialah puasa menjinak hati manusia supaya lekas dan insaf terhadap susah payah keperitan orang-orang miskin dan melarat. Mudah-mudahan orang kaya atau orang yang cukup barang makanan akan mudah mengingati nasib orang miskin akan terpanggil hatinya untuk membantu. Puasa juga adalah salah satu cara yang berkesan untuk kesihatan tubuh badan. 

JENIS-JENIS PUASA
1) PUASA WAJIB
Iaitu puasa Ramadhan, puasa kafarah dan puasa nazar. Puasa Ramadhan diwajibkan kerana ketibaan bulan Ramadhan, puasa kafarah diwajibkan kerana melanggar perkara-perkara tertentu yang dilarang seperti menziharkan isteri dan bersetubuh pada waktu siang pada bulan Ramadhan dan puasa nazar diwajibkan kerana seseorang itu mewajibkannya ke atas dirinya apabila mendapat sesuatu atau terlepas daripada sesuatu perkara. 

2) PUASA HARAM
Iaitu puasa yang tidak mendapat pahala serta berdosa jika dilakukan. Antara puasa-puasa yang diharamkan ialah puasa pada hari syak iaitu hari 30 bulan Syabaan apabila orang ramai ragu-ragu adakah hari itu telah masuk bulan Ramadhan atau belum lagi. Selain itu, puasa pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha dan 3 hari Tasyhrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Puasa perempuan yang sedang haid dan nifas tetapi hendaklah (wajib) diqada sekiranya puasa yang ditinggalkan itu puasa Ramadhan dan puasa orang yang dibimbangi kematian atau menimbulkan mudarat yang besar ke atasnya. 

3) PUASA SUNAT
Puasa sunat ialah puasa yang sangat digalakkan dan mendapat pahala yang banyak jika dilakukannya. Antaranya ialah puasa berselang hari iaitu berpuasa pada hari pertama dan tidak berpuasa pada hari kedua dan berpuasa lagi pada hari ketiga dan tidak berpuasa pada hari keempat dan begitulah seterusnya. Selain itu, puasa 3 hari pada setiap bulan dan terlebih afdal secara berturut-turut pada hari ke 13, 14 dan 15, Puasa hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu, puasa 6 hari pada bulan Syawal, puasa pada hari Arafah iaitu hari kesembilan pada bulan Zulhijjah, puasa Asyura dan Tasu’aa dan puasa pada bulan Syaaban. 

4) PUASA MAKRUH
Puasa-puasa berikut adalah makruh hukumnya dan tidak mendapat pahala. Antaranya ialah puasa pada hari Jumaat sahaja kecuali terlebih dahulu berpuasa pada hari Khamis sebelum berpuasa pada hari Jumaat dan disambung dengan puasa hari Sabtu. Puasa orang sakit, orang musafir, wanita hamil, ibu yang menyusukan anaknya dan orang tua yang terlalu tua sekiranya dengan berpuasa itu menimbulkan kesukaran dan kepayahan kepada mereka. 

PUASA ORANG KAFIR
Orang kafir tidak diwajibkan berpuasa disebabkan kakufurannya yang berlawanan dengan Islam yang menjadi syarat wajib puasa. Sekiranya ia berpuasa maka puasanya tidak sah dan di akhirat nanti ia akan diazab oleh Allah disebabkan keengganannya memeluk Islam untuk membolehkannya berpuasa semasa di dunia. 

PUASA KANAK-KANAK
Kanak-kanak beragama Islam yang masih kecil dan belum baligh tidak diwajibkan berpuasa tetapi sekiranya ia berpuasa maka sah puasanya dan mendapat pahala. 

Puasa orang gila
Orang gila dikecualikan daripada perintah puasa kerana tidak memenuhi syarat wajib puasa. 

Hukum meninggalkan puasa
Jika seseorang meninggalkan puasa dengan sebab uzur maka perbuatannya itu tidak berdosa. Jika ditinggalkan puasa tanpa apa-apa keuzuran maka puasa yang ditinggalkan itu sama ada dengan sebab malas atau dengan sebab menolak hukum wajibnya. Seseorang yang tidak berpuasa kerana malas maka ia adalah seorang mukmin yang ‘asi atau menderhaka dengan sebab ia meninggalkan puasa dan perbuatannya itu adalah berdosa. Jika seseorang itu tidak berpuasa kerana menafikan atau menolak hukum wajibnya maka ia dihukum murtad dan wajib dihukum bunuh dengan sebab murtadnya. 

PERISTIWA PENTING PADA BULAN RAMADHAN
Bulan Ramadhan mencatatkan banyak peristiwa bersejarah semenjak perutusan Rasul SAW sehinggalah kewafatannya dan tidak kurang juga peristiwa-peristiwa yang berlaku setelah kewafatannya. Antara peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada bulan Ramadhan adalah Al-Quran diturunkan, Khadijah memeluk Islam, Khadijah wafat, kematian Abu Talib, peperangan Badar, zakat fitrah diwajibkan, penaklukan Kota Mekah, beberapa orang penetang Islam memeluk Islam, soalat Terawih dilakukan secara berjemaah, peperangan Tabuk, Islam sampai ke Yaman, dan Bani Thaqif memeluk Islam. 

SYARAT WAJIB PUASA
Antara syarat wajib puasa ialah Islam iaitu tidak diwajibkan puasa kepada kafir. Yang kedua ialah baligh. Tidak diwajibkan puasa kepada kanak-kanak tetapi ibu bapa hendaklah menyuruhnya berpuasa ketika berumur 7 tahun dan memukulnya jika enggan berpuasa ketika berumur 10 tahun. Yang ketiga ialah berakal. Tidak wajib puasa kepada orang gila sma ada tunai atau qada. Dan yang keempat pula ialah berkemampuan iaitu berkuasa atau bertenaga untuk berpuasa. 

SYARAT SAH PUASA
Syarat sah puasa ialah Islam ketika berpuasa iaitu tidak sah puasa orang kafir atau murtad. Yang kedua ialah mumayyiz dab berakal sepanjang hari berpuasa iaitu tidak sah puasa orang yang tidak mumayyiz atau tidak sah puasa orang gila. Yang ketiga ialah bebas atau suci daripada haid, nifas dan wiladah (melahirkan anak) sepanjang hari berpuasa sekali pun semasa kelahiran tidak mengeluarkan darah. Sekiranya ketika sedang berpuasa tiba-tiba keluar haid dan nifas atau berlaku kelahiran maka batal puasanya. Yang keempat ialah hendaklah puasa itu waktu yang dibolehkan. Oleh itu tidak sah puasa pada hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) hari-hari Tasyrik, hari Syak dan pada pertengahan kedua bulan Syaaban. 

SUNAT-SUNAT PUASA
Sunat-sunat puasa ialah bersahur, menyegerakan berbuka puasa apabila masuk waktunya (terbenam matahari) dan berbuka dengan buah tamar serta disunatkan memakan sebanyak 3 biji, berdoa sebaik sahaja berbuka puasa, mandi janabah (junub atau angkat hadas besar) sebelum terbit fajar, memlihara lidah dan anggota badan daripada bercakap atau melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, meninggalkan perbuatan-perbuatan yang menyeronokkan, meninggalkan menelan air liur, berbekam, merasai makanan yang tidak melepasi halkum dan mencium isteri yang tidak membawa kepada berahi dan keluar air mani, membanyakkan sedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, habiskan masa dengan banyak membaca al-Quran, seperti bertadarus, berzikir dan berselawat ke atas nabi sama ada waktu malam atau siang. 

Perkara-perkara makruh ketika puasa
Antaranya ialah melewatkan berbuka puasa, menelan air liur, mengunyah makanan tetapi tidak ditelan, berbekam dan mengeluarkan darah, merasai makanan kecuali tukang masak, mencium isteri yang tidak memberahikan, memasuki bilik air tanpa hajat, bersugi atau menggosok gigi selepas tergelincir matahari, berhibur dan berseronok yang melampau melalui pendengaran, penglihatan dan hiburan walaupun halal, berkhayal atau bersetubuh selepas berbuka puasa dengan menggambarkan satu persatu babak atau adegan persetubuhan dan berlebih-lebihan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk. 

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
Dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu yang membatalkan puasa dan wajib diqadakan serta tidak wajib kafarah dan yang membatalkan puasa serta diwajibkan qada dan kafarah. 

1) PERKARA –PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
SERTA DIWAJIBKAN QADA TANPA KAFARAH
Antaranya ialah makan dan minum dengan sengaja maka batal puasa dan haram. Jika tidak sengaja atau kerana dipaksa maka tidak batal puasa. Selain itu, muntah dengan sengaja walaupun sedikit, didatangi haid atau nifas walaupun pada detik-detik terakhir ketika matahari hampir terbenam, mengeluarkan air mani dengan tangan atau keluarnya air mani dengan sebab mencium isteri dan melakukan babak-babak memberahikan dengannya, dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka seperti mulut, hidung dan telinga. 

2) Perkara-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
SERTA WAJIB QADA DAN KAFARAH

Hanya 1 perkara sahaja yang membatalkan puasa yang diwajibkan qada serta kafara iaitu jimak atau bersetubuh pada waktu siang dengan syarat-syarat berikut seperti hendaklah orang yang bersetubuh itu berniat puasa pada sebelah malam. Jika ia tidak berniat puasa pada waktu malam maka tidak sah puasanya tetapi wajib ia imsak. Selain itu hendaklah persetubuhan itu dengan sengaja, secara sukarela, persetubuhan itu berlaku pada puasa Ramadhan pada bulan Ramadhan dan hendaklah dengan persetubuhan itu menyebabkan dosa kerana lelaki yang bersetubuh adalah seorang mukallaf yang berakal dan baligh. 

PERKARA-PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA
Antaranya ialah perkara yang sukar dijaga seperti menelan air liur atau debu dijalanan, berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung sama ada berwuduk atau lainnya, mencium, meraba, menyentuh atau memegang (perempuan) isteri yang tidak mengeluarkan mani, keluar mazi kerana melihat perempuan secara berulang-ulang dan keluar air mani kerana melihat perempuan hanya sekali pandang, masuk sesuatu ke dalam rongga dengan tidak sengaja sama ada terlupa atau dipaksa atau terlena, bercelak dan memakai inai dan keluar air mani dengan sebab bermimpi. 

PENGECUALIAN PUASA
Pengecualian puasa bermaksud perkara-perkara tertentu dan sebab-sebab tertentu yang membolehkan seseorang berbuka puasa atau tidak berpuasa. Perkara-perkara yang membolehkan berbuka puasa atau tidak berpuasa ialah sakit, perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak, musafir, haid dan nifas, bersangatan lapar dan dahaga serta orang tua yang lemah dan uzur. 

Qada puasa
Qada puasa ialah melakukan ibadat puasa diwajibkan seperti puasa Ramadhan, puasa kafarah, dan puasa nazar di luar waktunya yang asal atau bukan pada waktu yang sebenarnya. Qada puasa juga boleh difahami sebagai membayar semula atau menggantikan puasa wajib yang telah dilupus atau ditinggalkan secara sengaja atau tiadak sengaja. Hukum qada puasa bagi kategori yang telah disebutkan adalah wajib. Sesiapa yang berpuasa qada maka haram ia membatalkan puasa tersebut kecuali atas sebab keuzuran seperti sakit atau terlalu lapar dan dahaga. 

HUKUM MELEWATKAN QADA PUASA
Jika disebabkan keuzuran seperti sakit yang berterusan atau masih dalam musafir maka harus bagi seseorang melewatkan qada puasanya selagi mana keuzuran itu berkekalan dan tidak wajib ke atasnya fidyah walaupun keuzuran itu berlanjutan beberapa tahun berikutnya. Sekiranya kelewatan itu tanpa keuzuran tetapi disengajakan kerana malas sehingga kedatangan Ramadhan yang berikutnya maka berdosa. 

KAFARAH
Kafarah ialah satu bentuk hukuman ke atas lelaki yang berjimak atau mensetubuhi isterinya pada siang hari bulan Ramadhan. Diwajibkan ke atasnya kafarah sekiranya membatalkan puasanya dengan persetubuhan atau jimak. Persetubuhan yang mewajibkan kafarah ialah persetubuhan yang disengajakan. Jika terjadi persetubuhan kerana dipaksa atau terlupa maka tidak diwajibkan kafarah. 

BENTUK KAFARAH
Terdapat 3 bentuk atau jenis kafarah kerana melakukan persetubuhan pada siang hari bulan Ramadhan iaitu membebaskan hamba, berpuasa dua bulan berturut-turut dan memberi makan kepada 60 orang miskin. Ketiga-tiga jenis kafarah ini hendaklah dilaksanakan dengan mengikut susunan. Ini bermaksud memerdekakan hamba hendaklah didahulukan daripada 2 jenis yang berikutnya. Jika tidak mampu maka hendaklah berpuasa selama 2 bulan berturut-turut dan jika tidak mampu barulah menyediakan makanan kepada 60 orang miskin. Sekiranya kafarah ditunaikan dengan tidak mengikut susunan maka tidak sah kefarah itu dan pelaku kesalahan kekal dalam dosa sehinggalah melaksanakan kafarah yang diwajibkan mengikut susunan. 

KEPADA SIAPA WAJIBNYA KAFARAH
Kafarah kerana melakukan persetubuhan hanya diwajibkan kepada lelaki dan tidak diwajibkan kepada perempuan yang disetubuhinya. 

FIDYAH
Fidyah ialah pemberian berbentuk makanan mengikut kadar dan sukatan tertentu yang diberikan kepada orang miskin disebabkan kelemahan dan ketidak mampuan berpuasa pada bulan Ramadhan. Hukum membayar fidyah adalah wajib. 

JENIS DAN KADAR FIDYAH
Jenis fidyah yang wajib dibayar ialah makanan asasi yang dimakan oleh penduduk sesebuah tempat atau negeri seperti beras, gandum, jagung dan barli. Kadar yang wajib dibayar ialah secupak beras atau makanan asasi sesebuah tempat. Secupak beras adalah bagi setiap hari yang ditinggalkan puasa dan penerimanya adalah orang miskin. 

PERKARA-PERKARA YANG MEWAJIBKAN FIDYAH
Antaranya ialah diwajibkan fidyah ke atas orang yang sudah tidak mampu lagi berpuasa seperti orang yang terlalu tua dan lemah, permpuan hamil dan perempuan yang menyusu sekiranya bimbang keselamatan anak dan kepada orang yang sengaja menangguhkan qada puasa Ramadhan sehingga datang Ramadhan yang berikutnya. 

GANDAAN FIDYAH KERANA MELEWATKAN QADA
Jika setelah berlalu bulan Ramadhan yang kedua dan masih lagi belum diqadakan puasa yang ditinggalkan pada Ramadhan yang pertama sehingga datang Ramadhan yang ketiga maka puasa yang ditinggalakan pada Ramadhan yang pertama itu wajib diqadakan tetapi fidyah yang wajib dibayar meningkat menjadi dua. Bagi orang mati yang belum sempat mengqadakan puasanya dengan sebab kematiannya maka hendaklah wali atau warisnya mengambil sebahagian daripada harta peninggalannya untuk membayar fidyah bagi pihak si mati dan bilangan fidyah yang wajib dibayar berdasarkan bilangan hari dan tahun si mati meninggalkan puasanya. 

PENERIMA FIDYAH
Walaupun dalam al-Quran menyebut penerima fidyah adalah orang miskin tetapi orang fakir juga boleh menerimanya bahkan lebih layak daripada orang miskin kerana ia lebih memerlukan. Pembayaran fidyah boleh diberi kepada seorang miskin atu lebih. Begitu juga seorang miskin boleh menerima lebih daripada satu fidyah atau keseluruhan fidyah. Walaubagaimanapun adalah lebih baik jika fidyah yang banyak itu diagihkan kepada ramai orang miskin supaya masing-masing mendapat habuan dan dapat menikmati habuan tersebut. 

PENUTUP
Sesungguhnya puasa adalah ibadat yang penuh dengan segala keistimewaan terutamanya puasa Ramadhan. Puasa yang dilakukan dengan sempurna meletakkan orang yang berpuasa mendapat ganjaran yang tidak terhitung banyaknya ibarat lautan tidak bertepi yang disediakan oleh Allah SWT. Selain mendapat pahala kerana berpuasa maka ibadat ini juga menjadi sekolah yang melatih hamba Allah memenuhi diri atau meperlengkapkan diri dengan akhlak mulia seperti sabar, pemurah, rajin, penyanyang dan bertimbang rasa di samping mendidik manusia supaya mengenal diri sebenar bahawa mereka adalah hamba Allah yang serba kekurangan dan sentiasa mengharapkan rahmat daripada Allah SWT. Orang yang berpuasa sebenarnya berperang dengan nafsunya. Sesiapa sahaja yang berjaya menyekat nafsunya daripada menguasai dirinya sepanjang ia berpuasa maka ia telah mencapai kejayaan. Kesimpulannya, melaksanakan puasa Ramadhan adalah wajib hukumnya dan jika tidak dapat dilakukan pada waktunya kerana keuzuran maka wajiblah diqadakan. Namun begitu lebih cantik lagi bagi seseorang muslim yang telah berpuasa Ramadhan supaya berpuasa sunat mengikut pilihan dan kemampuan kerana yang demikian menambahkan lagi pahala dan lebih mendekatkan lagi dirinya dengan Allah SWT. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com

No comments: