Adab Makan Minum Cara Nabi -

Oleh: Raja Nur Fatihah Binti Raja Daud

ABSTRAK
Buku Adab Makan Minum Cara Nabi ini amat sesuai untuk dijadikan rujukan oleh umat Islam agar kita lebih tahu cara makan dan minum yang disyariatkan oleh Islam yang sebenarnya. Dalam buku ini telah menerangkan cara makan seperti cara sebelum makan iaitu dengan membasuh tangan, membaca Basmallah dan juga hikmat berkumpul sewaktu makan. Cara sewaktu makan seperti kita hendaklah makan dengan tangan kanan, mendahulukan makanan yang berhampiran dengan kita, memakan makanan yang terjatuh agar tidak membazir kepada syaitan dan banyak lagi. Selain itu, dalam buku ini juga telah menerangkan cara sesudah makan antaranya seperti Nabi SAW telah menggalakkan umatnya menjilat pinggan dan jari dan juga membasuh kedua tangan. Bahagian kedua dalam buku ini telah menerangkan tentang cara minum. Kita tidak digalakkan minum secara berdiri, bernafas dalam bejana minuman dan juga pengharaman terhadap minum dalam bekas emas atau perak. Semoga dengan adanya buku ini akan dapat dijadikan sebagai rujukan oleh umat Islam agar hidup lebih diberkati olehNya. 

PENDAHULUAN
Tajuk buku yang saya baca ialah Adab Makan Minum Cara Nabi yang telah dikarang oleh Ummu’ Abdillah menerangkan kepada kita semua cara – cara yang betul untuk makan dan minum dalam kehidupan seharian kita. Manusia sebagai makhluk hidup yang tidak dapat dipisahkan dengan makan dan minum dalam waktu hidup seharian mereka, adalah wajar dan sesuai sekali dengan perutusan Nabi Muhammad SAW yang membawa panduan hidup: Al – Quran dan As – Sunnah untuk manusia dimana dengan As – Sunnah Rasulullah SAW mengajarkan bukan sahaja setakat memilih makanan tetapi juga cara dan adab makan minum. Dalam keseluruhan cara makan dan minum akan terlahir dengan erat hubungan seseorang hamba dengan Allah SAW. Ini dapat dibuktikan dimana bacaan – bacaan sebelum makan dan minum telah menunjangkan aqidah tauhid yang bersih lagi unggul iaitu dengan menyebut nama Allah. Manakala sebaik selepas makan umat Islam diajarkan agar bersyukur dengan mengucapkan suatu kata – kata yang amat tinggi nilainya yang beerti “ Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan dan minum; dan Dia menjadikan kami orang – orang Islam. ” Sukatan makan atau minum yang menjadi panduan umat Islam adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Ada kami para Nabi tidaklah hidup kenyang. ” Jadi para nabi SAW makan ialah beliau lebih dahulu berhenti sebelum lagi sampai ke tahap kenyang atau merasakan puas. 

BAHAGIAN PERTAMA – CARA MAKAN
 (1) CARA SEBELUM MAKAN

Membasuh Tangan
Nabi SAW bersabda : “ Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya. ” (HR. Abu Daud dan At- Turmudzi. Abu daud sendiri mengirakan Hadith ini lemah; demikian juga Imaam Ahmad dan Al – ‘Iraaqi. ) 

Hikmat membasuh tangan sebelum makan ialah disebabkan keadaan makan selepas membasuh kedua belah tangan itu menjadikan makanan lebih sedap dan nyaman. Sesungguhnya tangan itu tidak sunyi daripada kecemaran dalam masa bekerja; maka membasuhnya adalah lebih wajar untuk berkeadaan bersih dan suci. 

Hukum membasuh kedua belah tangan sebelum makan, telah pun disebutkan Ibnu Al – Qayyim r. a dalam kitab “ Tahdziib As – Sunnan”. Katanya; dalam masalah ini ada dua pendapat bagi ilmuwan Islam iaitu :
i. Digalakkan (mustahabb) 
ii. Tidak digalakkan

Kedua – dua pendapat ini berdasarkan Madzhab Imaam Ahmad dan lainnya. Ibnu Abbas r. a memberitakan yang bermaksud : “ Bahawa Rasulullah SAW masuk ke tandas kemudian baginda keluar, maka baginda makan dan baginda tidaklah menyentuh air. ” (HR. An – Nasaa’i : Shahiih) 

Akan tetapi bagi orang yang berjunub, hendaklah membasuh tangan apabila dia hendak makan, berdasarkan Hadith sumber Sayyidah Aa’isyah r. a yang bermaksud : “ Rasulullah SAW apabila baginda ingin tidur sedangkan beliau berjunub, maka baginda berwudhu’ (seperti wudhu) untuk solat, dan apabila baginda ingin makan maka baginda akan membasuh kedua tangan baginda (terlebih dahulu). ”

Pendapat yang shahiih ialah membasuh dua tangan itu bukanlah suatu yang sunat (berdasarkan sunnah) secara umum dan bukanlah suatu yang tidak disunatkan secara umum kerana dia bergantung kepada keadaan. 

Membaca Basmallaah
Terdapat sumber daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda kepada seorang kanak – kanak yang makan disamping baginda yang bermaksud : “ Wahai kanak – kanak sebutlah nama Allah…. ” (HR. Al – Bukhari dan Muslim) 

Tetapi jika seseorang terlupa membacanya, maka hendaklah dia membaca ketika dia ingat dengan lafaz yang bermaksud : “ Dengan (menyebut) nama Allah diawalnya dan (sampai) diakhirnya. 

Hukum membacanya adalah digalakkan (mustahaab) dan bukanlah wajib. 

Berkumpul Sewaktu Makan
Hal ini digalakkan dengan menurut syara’; seperti tidak bercampur antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Antara faedahnya ialah untuk memperoleh keberkatan kepadaNya, juga bagi memperoleh tambahan dan kecukupan. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud : “ Makanan untuk dua orang mencukupi tiga orang dan makanan tiga orang mencukupi empat orang makan. ” (HR. Al – Bukhaari) 

 (2) CARA SEWAKTU MAKAN
Makan Dengan Tangan Kanan
Raulullah SAW menyuruh umatnya supaya makan dengan tangan kanan seperti yang disebutkan dalam hadith yang terdahulu yang bermaksud : “ ……Dan makanlah dengan tangan kanan engkau. ”

Ini merupakan suatu suruhan yang wajib dimana baginda bersabda lagi yang bermaksud : “ Apabila salah seorang kamu makan maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya dana apabila dia minum maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya. ” (HR. Muslim) 

Maka tidak halal bagi seseorang makan dengan tangan kiri melainkan bila dia tidak mampu disebabkan uzur, dan bolehlah dia makan mengiri. 

Makan Makanan Yang Mengiringi
Cara ini adalah suruhan Nabi SAW kepada seorang kanak – kanak iaitu berdasarkan berita Umar B. Abu Salamah r. a dimana baginda telah bersabda yang bermaksud : Dan makanlah (dengan memulakan makan) makanan yang mengiringi engkau. ”

Baginda juga telah menyuruh para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud : “ Hendaklah kamu menyebut nama Allah (dikala hendak makan) dan hendaklah setiap orang (mula) makan makanan yang mengiringinya. ”

Maksudnya ialah makanan yang terdekat dengan kita. Kita hendaklah memulakan makan dengan menjamah makanan yang berhampiran dengan kita terlebih dahulu. 

Mula Makan Tepian ; Tidak Di Tengah
Nabi telah bersabda yang bermaksud : “ Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pinggan ; akan tetapi hendaklah dia memakan makanan daripada bahagian di sebelah bawahnya ; kerana sungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (ke bawah). ”

Menurut satu hadis lain yang bermaksud : “ Sungguhnya keberkatan itu turun ke bahagian tengah makanan; maka kamu makanlah daripada bahagian tepinya (yang mendekatimu) dan janganlah kamu makan daripada bahagian tengahnya (puncaknya). ” (Rujuk Kitab Al – At’amah) 

Cara Duduk Secara Makan
Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : “ Sungguhnya saya tidak makan secara bertongkat tangan. ”

Hukum bertongkat tangan :

Para ulama tidak memberi ketetapan bahawa cara ini adalah haram Cuma dikatakan sama ada makruh atau lebih utama meninggalkannya. 

Oleh itu, digalakkan kita makan secara duduk berlutut dan menghulurkan kedua telapak kaki atau mendirikan kaki kanan dan duduk diatas kaki kiri. 

Makan Dengan Tiga Putung Jari
Tidak Mencela atau Mengaibkan Makanan
Makan Suapan Yang Terjatuh
Tidak Bernafas Dalam Bekas Minuman
Tidak Makan Banyak
Larangan Makan Sambil Meniarap
Jangan Memerhatikan Keperihalan Makan
Ucapan Penjamu: “ Makanlah! ”

 (3) CARA SESUDAH MAKAN
Antara tatasusila sesudah makan ialah :

Digalak Menjilat Pinggan dan Jari
Rasulullah SAW telah menyuruh umatnya menjilat jari – jari dan pinggan sebagaimana sabda baginda SAW yanag bermaksud : “ Sungguhnya kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan. ” (HR. Muslim) 

Menyapu dengan sapu tangan dan mengutip sisa – sisa makanan dengan tangan adalah berdasarkan hadis yang bermaksud : “ Perbuatan Nabi SAW di mana baginda menjilat (dan menghisap) sisa – sisa makanan (serta memakannya) daripada tiga putung jari (yang menjemput makanan) sebelum lagi baginda menyapu jari –jari baginda. ” (HR. Muslim) 

Larangan Bangun Meninggalkan Makanan Sehingga Hidangan Diangkatkan
Diriwayatkan yang bermaksud : “ Rasulullah SAW melarang bangun (meninggalkan) makanan sehinggalah makanan (hidangan) itu diangkatkan. ”

Memuji dan Menyanjungi Allah

Doa Untuk Penjamu
Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : “ Sungguhnya seorang lelaki apabila dia masuk ke rumah seseorang maka dia makan makanannya dan minum minumannya maka hendaklah dia berdoa untuknya, maka itu ganjaran baginya. ”

Justeru itu, digalakkan seseorang mendoakan akan saudaranya (seagama) yang menjamunya makanan atau minuman di sisinya dengan beberapa doa, semoga Allah akan menerima dan memperkenankannya. 

Membasuh Kedua Tangan
Hadis sumber Salmaan telah disebutkan yang bermaksud : “ Keberkatan makanan itu ialah membasuh dua tangan sebelum dan sesudah makan. ”

Hikmatnya juga ialah dapat menghilangkan apa - apa sisa makanan yang terlekat pada kedua belah tangan dan juga mulut berupa lemak - lemak. 

BAHAGIAN KEDUA - CARA MINUM
Minum Secara Berdiri
Berdasarkan hadis sumber Muslim adalah Rasulullah pernah melarang seorang lelaki minum sambil berdiri dan baginda menyuruh sesiapa yang terlupa maka dia terminum secara berdiri agar dia memuntahkan minumannya. 

Menurut Al - Qaadhi ‘Iyaadah : Tiadalah perselisihan di antara kalangan ilmuwan Islam mengenai orang yang minum secara terlupa (dengan berdiri) dimana tidaklah perlu dia memuntahkan atau meluahkannya kembali. 

Bernafas Dalam Bejana Minuman
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : “ Apabila salah seorang kamu minum, maka janganlah dia bernafas dalam bejana. ” (Hr. Al - Bukhari) 

Minum Pada Tepi Bejana Sumbing
Larangan Rasulullah yang bermaksud : “ Rasulullah SAW telah melarang minum daripada (tepi) mangkuk yang sumbing (serpih atau retak). ” (HR. Abu Daud) 

Menurut Al - Khataabi : Sungguhnya dilarang minum daripada mangkuk yang sumbing itu kerana takut berkemungkinan air akan tercurah keluar dan mengotorkan pakaian peminum dan sebagainya. 

Hukum Menghirup
Imam Al - Bukhari telah mendedahkan sebuah hadis sumber Jabir B. Abdullah Bahawa nabi SAW telah masuk ke majlis seorang lelaki dalam kalangan Anshaar di mana bersamanya terdapat seorang kawannya, maka nabi SAW pun bersabda kepada kawannya yang bermaksud : “ Jika ada di sisi engkau air yang engkau simpan dalam geriba (saya inginkan) dan jika tiada kami akan menghirup terus air (dengan mulut daripada bejana kecil yang boleh di tuang airnya). ” (HR. Al - Bukhaari) 

Minum dalam Bekas Tuang
Berdasarkan hadis sumber Imam Al - Bukhari terdapat larangan yang bermaksud : “ Rasulullah SAW telah melarang minum (terus) daripada mulut geriba atau bekas tuang. ”

Mendahulukan Orang Sebelah Kanan
Jumhuur Al - Ulamaa’ (keseluruhan Ilmuwan Islam) menggalakkan agar mendahulukan peminum yang berada di sebelah kanan; kemudian orang yang berada di sebelah kanan yang kedua; dan begitulah seterusnya. Dalilnya berdasarkan hadis yang bermaksud : “ Pernah dibawakan susu yang telah di campur dengan air kepada Nabi SAW sedang disebelah kanan beliau ada seorang Arab Desa dan di sebelah kiri beliau terdapat abu Bakar, maka lalu baginda memberikannya kepada orang Arab Desa sambil beliau bersabda : “ Hendaklah (disambung) kepada orang yang disebelah kanan, kemudian orang yang disebelah kiri. ”

Tetapi jika dengan diberi keizinan oleh orang disebelah kanan, kita boleh mendahulukan orang di sebelah kiri. 

Pemberi Minum, Minum Terakhir
Dalam hadis sumber Abu Qataadah yang panjang terdapat keterangan : “ Kemudian Rasulullah SAW menuang minuman. Maka baginda bersabda kepada saya : “ Minumlah!” Maka saya menjawab : “ Saya tidak akan minum sehingga tuan (dahulu) minum, wahai Rasulullah SAW. ” Lalu baginda SAW. bersabda yang bermaksud :

“ Sungguhnya pemberi minum kepada suatu kaum itu, dialah peminum yang terakhir. ” (HR. Muslim) 

Hukum Minum Pada Bekas Emas - Perak
Rasulullah SAW telah melarang unatnya minum dalam bekas emas dan perak dan baginda bersabda yang bermaksud : “ Dia (keduanya) ialah untuk mereka (perhiasan orang - orang kafir) semasa di dunia dan untuk (perhiasan) kamu (orang - orang Islam) semasa di Akhirat. ” (HR. Al - Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah telah memberi larangan yang terang dan jelas dalam sabdanya yang bermaksud : “ Janganlah kamu minum dalam bekas emas dan perak. ” (HR. Al - Bukhari) 

Antara sabda baginda yang menunjukkan perjanjian buruk kepada orang yang minum dalam kedua bekas itu ialah yang bermaksud : - “ Orang yang minum dalam bekas perak, sungguhnya akan mendidih (menggelegak) dalam perutnya (bakaran) api neraka. ” (HR. Al - Bukhari dan Muslim) 

Siapa yang minum dalam bekas daripada emas atau paerak, maka sungguhnya akan menggelegak dalam perutnya (bakaran) api neraka. ” (HR. muslim) 

PENUTUP
Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib tahu akan adab makan dan minum seperti yang disyariatkan oleh agama kita iaitu agama Islam. Dan buku ini amat sesuai untuk kita semua untuk dijadikan sebagai rujukan dan juga panduan dalam kehidupan seharian kita. Sebagai pembawa rahmat (kebaikan) kepada alam jagat ini, Rasulullah SAW banyak sekali mengajarkan kita tentang cara hidup seharian yang bersendikan kepada aqidah dan juga ibadah. Buku ini patut dijadikan panduan hidup umat Islam kerana ia berdasarkan suatu persabdaan junjungan SAW yang bermaksud “ Adalah kami para kami para Nabi, kami tidaklah hidup kenyang. ” Jadi cara nabi makan ialah baginda terlebih dahulu berhenti sebelum lagi sampai ke tahap kenyang atau merasakan puas. Oleh itu, kita patut mengikuti sunnah baginda ini. Semua ini menggambarkan eratnya cinta kita kepada Allah SWT. 

RUJUKAN
Adab Makan Minum Cara Nabi, oleh Ummu ‘Abdillah, Al–Hidayah Publisher. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com