Mencari Damai -

Oleh: Nurfahana Ellieyana Binti Kamarulzaman

ABSRAK
Kedukaan, keresahan dan kebimbangan dalam hidup adalah satu perkara yang lumrah dalam hidup. Semua orang sudah tahu betapa peritnya diri yang menanggung. Ada kalanya terasa jiwa sudah tiada lagi kedamaiannya. 

Namun Allah tidak menjadikan kita di dunia ini untuk meratapi kehidupan dengan perasaan sedih, gelisah dan bimbang. Dengan pesanan dan nasihat dari Al-Quran dan hadis, kita boleh mencapai kedamaian jiwa supaya hari-hari yang dilalui lebih ceria, tenang dan penuh harapan

PENDAHULUAN

Sebahagian manusia melalui hari-hari mereka dengan jiwa yang damai dan hati yang tenang sementara sesetengah manusia adalah sebaliknya. Fikiran dan dada mereka lapang walaupun mereka tidak pernah sunyi dari di timpa masalah dan rintangan hidup. Mesti ada hikmah di sebalik perbezaan ini yang patut kita ketahui. 

Setiap dari kita diutus Allah untuk menjalani hidup dengan rasa ceria dan tenang serta penuh harapan. Sinar kedamaian seharusnya bangkit dari dalam jiwa kita supaya dengan itu kita dapat melalui hari-hari kita dengan lebih bermakna dan bahagia. 

Berpandukan himpunan nasihat dan pengajaran dari Al-Quran dan hadis, buku ini akan membantu anda dan saya untuk; mengubati kelukaan di jiwa akibat peristiwa-peristiwa pahit masa silam, melalui hari-hari anda dengan jiwa yang lapang dan ceria, memandang masa depan dengan yakin dan penuh harapan, melihat kebesaran Allah dalam menghidupkan cahaya kedamaian dalam jiwa. 

SEDAR ALLAH LEBIH TAHU BAIK BURUK SESUATU ITU UNTUK DIRI ANDA

“.. dan boleh kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu: dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepada kamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui. ”

Apabila kita tidak mendapat apa yang kita hajati, kita akan merasa sedih. Terutamanya apabila kita di alam belajar setelah berusaha penat lelah tetapi kita masih lagi tidak berjaya dengan cemerlang. Selain itu, disebabkan putus cinta juga kita sudah terasa tidak boleh meneruskan hidup kerana teramat sedih dan kecewa. Beginilah keadaannya di mana jiwa mudah berada dalam kekecewaan, kesedihan dan dukacita apabila sesuatu atau seseorang yang kita inginkan itu tidak berjaya dimiliki. 

Setiap peristiwa dan kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita merupakan ketetapan-ketetapan atau qadak dan qadar Allah untuk hambanya. Setiap ketetapan Allah ke atas kita adalah yang terbaik, walaupun pada kita ia adalah perkara yang tidak dapat diterima oleh kita. Tiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. 

Ringkasnya, Allah tidak akan mengabulkan doa hambanya jika Dia fikir hajat tersebut akan memudaratkan hambanya kelak. Oleh sebab sifat penyayang dan belas kasihan inilah, Allah akan memastikan setiap peristiwa dan kejadian yang dilalui oleh kita akan membawa kebaikan atau rahmat. Allah mempunyai maksud dan perancanganNya sendiri untuk setiap hambanya. 

Allah lebih tahu dan kita tidak tahu apa yang sebenarnya paling sesuai untuk kita dalam menentukan keputusan-keputusan hidup ini. Jadi apabila kita telah sedar akan maksud perancangan dan ketetapan Allah, bermakna itu semua akan berakhir dengan kebaikan. Kita tidak perlu beras seih, kecewa, dukacita dan sedih dalam jiwa kita apabila sesuatu yang baik untuk diri kita itu tidak kesampaian. 

FAHAM AKAN KESUSAHAN HIDUP MENANDAKAN RINDU ALLAH KEPADA KITA

“apabila Allah telah menyintai hambaNya, maka Allah turunkan bala ke atas hambaNya itu dan Allah mengikatkan bala kepada hambaNya. Apabila hamba itu berdoa, maka para malaikat pun berkata: wahai tuhanKu, sampaikan hajat Hamba-Mu itu. Allah menjawab: Usah kau campuri urusan hambaKu itu. Sesungguhnya Aku cinta dan sayang mendengar suaranya bermunajat. Apabila hamba itu berkata: Wahai tuhanku! Maka Allah menjawab: Selamat dan bahagialah wahai hambaKu. Tidak aku seru sesuatu melainkan aku perkenankan buatMu.. ”

Hari-hari kita dipenuhi dengan jadual dan aktiviti untuk mencapai apa yang kita hasratkan. Sehinggakan fikiran kita hanya tertumpu pada hal-hal dunia sahaja sehinggakan masa untuk kita mengabdikan diri kepada Allah telah diabaikan dan dilupakan. Apabila kita lupa kepadaNya, Allah pun menurunkan bala tersebut dan apabila kita kembali mengingatiNya, Allah akan mengangkat atau menukar bala itu suatu rahmat kepada kita. Allah adalah tuhan yang Maha penyayang, maha mengingati dan maha mengasihi kepada semua hambanya. Sepertimana sayang dan kasihnya kita pada seseorang sehingga menimbulkan rasa rindu untuk berhubung dan bermesra dengannya, begitu jugalah halnya dengan Allah. 

Musibah dan masalah dalam kehidupan kita itu sebenarnya merupakan panggilan-panggilan Allah supaya kita berhubung denganNya. Kita sering lupa untuk mengingati Allah tetapi Allah tidak pernah lupa untuk mengingati kita. Hakikat inilah yang cuba disampaikan oleh Rasulullah kepada kita. 

Itulah sebenarnya maksud dan perancangan Allah yang mana pada setiap waktu dan ketika menunggu-nunggu kita meluangkan masa untuk bersamaNya. Setiap kali Allah menyeru dan memanggil kita melalui kesusahan –kesusahan hidup itu, Allah mahu kita menyahut panggilan dan seruanNya itu dengan berusaha merapatiNya melalui solat, doa dan munajat. 

SEDAR AKAN PESAN ALLAH SUPAYA ANDA TIDAK BERPUTUS ASA DARI RAHMATNYA

“.. dan janganlah kamu berputus as dati rahmat Allah. Sesungguhnya tiadalah yang berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. ”

Disebabkan tidak berjaya mencapai hajat dan impian, kita udah membiarkan jiwa kita merasa kecewa dan sedih. Akibat kesusahan dan terpaksa dihadapi dalam usaha memperbaiki hidup, kita lekas hilang semangat dan patah hati untuk terus hidup berikhtiar. Pendek kata, kita mudah berputus asa dari menunggu tibanya kejayaan dan kebahagiaan yang kita cari-cari. 

Kejayaan dan rahmat Allah pasti datang apabila tiba saat dan ketika yang paling sesuai untuk kita menyambutnya. Apabila Allah berpesan supaya kita tidak berputus asa dari rahmat itu pasti akan tiba jua. Cuma ada kalanya impian dan harapan asal kita mungkin digantikan Allah dengan sesuatu yang lebih baik dari itu. 

Apabila kita telah sedar bahawa kejayaan dan nikmat hidup yang kita cari-cari selama itu akan sampai jua bila tiba masa dan ketika yang paling sesuai, maka kita tidak lagi perlu mengeruhkan jiwa kita dengan rasa putus asa, kecewa dan sedih. Jiwa kita akan merasa damai kerana kita yakin dengan pesanan Allah itu. 

SEDAR TIADA YANG BETUL-BETUL SEMPURNA DAN LENGKAP DI DUNIA INI
“dan dia yang telah memberikan sebahagian apa yang kamu pinta, dan jika kamu menghitung nikmat tuhan itu, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya.. ”

Setiap orang mempunyai pelbagai impian, ada di antaranya menginginkan hidup yang bahagia, memiliki kekayaan, mempunyai paras rupa yang menarik, pandai dari semua segi dan sentiasa sihat dalam menjalani kehidupan seharian. 

Namun dalam banyak situasi kita tidak akan dapat memperoleh kesemua impian itu. Kita dapati Allah hanya memperkenankan sebahagian dari impian kita, sebahagian lagi tidak. Ada orang dilebihkan Allah dengan kekayaan tetapi dikurangkan dengan akhlak yang terpuji. Ada orang dikurniakan paras rupa yang cantik tetapi mempunyai taraf pendidikan yang tidak seberapa. 

Kita tidak terkecuali dari dikurniakan dari kelebihan dan kekurangan pada diri kita. Tegasnya tiada yang betul-betul sempurna di dunia ini. Jika demikian keadaannya, kita tidak perlu meletakkan jiwa kita dalam keadaan resah dan dukacita jika tidak menjadi orang yang sempurna dan memperoleh segala-galanya seperti yang kita impikan, sememangnya ada kelebihan-kelebihan yang Allah kurniakan untuk kita kecapi dan bersyukur kepadanya. 

TIDAK SANGSI KEBAIKAN ALLAH DALAM SETIAP YANG BERLAKU KE ATAS DIRI ANDA
“demi zat yang diriku ada di tangannya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hambanya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya... ”

Kita kecewa apabila kita gagal memperoleh keputusan yang cemerlang walaupun telah berusaha dengan sebaik mungkin. Kita dukacita walaupun sudah lama berumah tangga, kita masih tidak memperoleh zuriat. 

Pendek kata kita tidak dapat menerima dengan hati yang terbuka keputusan-keputusan Allah tetapkan pada diri kita. Rasulullah SAW telah berpesan di dalam sabdanya bahawa apa jua keputusan yang Allah tentukan ke atas kita semuanya adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan kita. Disebabkan kita manusia yang lemah kita tidak dapat melihat kebaikan yang telah Allah berikan kepada kita. Yang kita sangka baik tidak semestinya baik dan yang buruk itu tidak semestinya buruk. 

Oleh sebab sifatNya yang maha penyayang, Allah hanya akan menetapkan yang terbaik untuk diri kita mengikut pengetahuannya, walaupun ketetapan itu tidak seiring dengan kehendak dan kemahuan kita. Orang yang tidak sangsi akan kebaikan Allah dalam apa jua peristiwa, keadaan dan kejadian yang menimpa dirinya memiliki jiwa yang sentiasa tenang dan damai. 

TIDAK GOPOH DALAM MENANTI RAHMAT DAN PERTOLONGAN ALLAH
“akan dikabulkan (doa) seseorang kamu selama dia tidak terburu-buru, sehingga dia menyatakan: aku sudah berdoa tapi tidak dikabulkan bagiku”

Jiwa kita tidak akan damai dan tenteram jika kita gopoh atau terburu-buru dalam mahu mencapai apa yang kita impikan atau dalam menyelesaikan apa yang kita buntukan. Penyelesaian dan kesudahan terhadap masalah dan halangan dalam hidup kita juga tidak akan datang sesaat. 

Contohnya, kita mungkin dilambatkan untuk mencapai kejayaan. Kita mungkin juga dilambatkan untuk mendapat jodoh kerana mengikut ilmunya, semua pasangan yang kita pilih sehingga kini tidak sesuai untuk kita. Begitu juga ada waktunya Allah melambatkan turunnya rahmat dan pertolongan kerana mahu menegur dan menginsafkan kita terlebih dahulu akan kederhakaan kita terhadapNya. 

Begitulah rancangan dan maksud Allah yang maha mengatur dalam mengabulkan doa terhadap cita-cita kita dan memberikan penyelesaian terhadap masalah kita. Apabila kita sudah memahami akan maksud dan rancangan Allah ini dan kita tidak akan gopoh dalam apa yang dicita-citakan, kita tidak lagi merasa risau dan gundah dalam jiwa dan sanubari kita. 

MEYAKINI BAHAWA BERSAMA KEDUKAAN ITU SENTIASA AKAN TIMBUL KEBAHAGIAAN
“.. dan ketahuilah bahawa kemenangan itu terhasil sesudah kesabaran, dan kelapangan itu muncul sesudah kesusahan. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan. ”

Semua orang inginkan kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup. Namun langit tidak semestinya sentiasa panas, kadang-kadang banyak onak dan duka perlu kita hadapi. Kita tidak dapat lari dari menanggung kedukaan, kekecewaan dan kebimbangan dalam jiwa akibat pelbagai musibah dan masalah. Ringkasnya, jiwa kita tidak damai akibat berbagai-bagai-bagai masalah yang mencengkam hidup kita. 

Kita dapati orang yang jiwanya sentiasa dalam keadaan aman dan tenteram walaupun menghadapi masalah-masalah yang sama seperti kita. Mereka inilah yang yakin dan percaya akan timbul kebahagiaan di suatu hari kelak. Mereka inilah orang yang yakin dengan pesanan Rasulullah SAW bahawa bersama kesusahan itu akan terbit kesenangan di suatu ketika yang sesuai kelak

Apa yang perlu adalah untuk kita menanam keyakinan yang sungguh-sungguh mengenai pesanan Rasulullah SAW. Jiwa akan damai, fikiran akan tenang dan hati akan bahagia mendengar janji-janji kemenangan, kelapangan dan kesenangan hidup sesudah menempuh kedukaan, kesempitan dan kesusahan hidup. 


DAPAT MERASAI KEHADIRAN ALLAH DALAM DIRI DAN KEHIDUPAN ANDA
“dan dia (tuhan) tetap bersama-sama walau di mana jua kamu berada. ”


Kita merasa diri terpinggir dan terpencil dari dunia di sekeliling kita yang terus bergerak pantas seiring dengan arus perkembangan. Jiwa kita goncang dan kita merasa keadaan hidup kita kucar-kacir seta tidak menentu lagi. Hari-hari yang kita lalui terasa sunyi dan sepi. 

Namun sedang asyik melalui hari-hari kita dengan kesedihan dan kesepian, kita dapat ada orang lain yang senasib dengan kita yang hidupnya masih dalam ketenangan dan penuh harapan. Jiwa mereka masih damai dan fikiran mereka masih lapang walaupun susah dan bermasalah. 

Bagi mereka Allahlah penghibur dan pengubat duka. Allahlah tempat mereka mengadu dan mencurahkan isi hati mereka. Pendek kata, mereka tidak sedikit pun mereka tidak merasa keseorangan dan kesepian. Mereka dapat merasa diri dipelihara, diawasi dan dilindungi Allah walau sesusah mana keadaan hidup mereka. 

Apabila kita telah bersama-sama Allah dan Allah telah bersama kita, maka jiwa pasti akan terasa kedamaian dan ketenangannya. Hidup kita akan lebih optimistik dan yakin seta bersemangat kita gagah. Semuanya kerana kita yakin Allah ada di belakang kita untuk mengiringi kita dalam perjuangan hidup ke arah kebaikan dan kesejahteraan. 


PERCAYA TIADA APA PUN YANG MUSTAHIL DENAGN RESTU DAN BANTUAN ALLAH
“sesungguhnya segala urusannya apabila Allah mengehendaki sesuatu, dia hanya berkata: Jadilah, maka jadilah ia. ”


Dugaan-dugaan hidup yang memedihkan boleh menimpa sesiapa sahaja ayang dikehendaki oleh Allah. Ada orang yang diduga Allah dengan penyakit yang hampir ubat yang boleh mengubati seperti barah, AIDS dan lumpuh. Ada juga orang yang di uji oleh Allah dengan ketidakmampuan untuk memperoleh zuriat. Ada juga yang diuji dengan kesempitan hidup sepanjang hayat. 

Namun tiada yang mustahil jika Allah mengehendaki sesuatu itu berlaku. Tiada siapa sangka seorang penghidap barah boleh sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa. Walaupun kita mengetahui bahawa penghidap AIDS tidak boleh diubati tetapi jika dikehendaki oleh Allah ia tetap dapat di ubati. 

Tiada yang mustahil dengan restu dan bantuan Allah. Dengan sebab itulah kita mesti sentiasa menaruh harapan-harapan yang baik serta bersikap optimistik dalam menjalankan kehidupan kita, sungguhpun di ketika ini kita mungkin di cengkam dengan pelbagai masalah dan musibah. Tambahan pula Allah melarang umatnya berputus asa dari menunggu sampainya rahmat dan bantuan Allah. 


YAKIN ALLAH AKAN MEMBANTU ORANG YANG TEKUN MEMBANTU DIRINYA SENDIRI
“sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.. ”


Usaha tangga kejayaan. Sesiapa yang berusaha pasti akan menerima ganjaran yang setimpal dengan usahanya. Allah akan mengubah keadaan hidup kita apabila kita sendiri memang menyimpan hasrat untuk mengubah keadaan hidup kita. Dengan kata lain, Allah hanya akan menolong jika kita benar-benar ingin menolong diri kita sendiri. 

Sekiranya kita mahu berjaya dan memperoleh keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan, kita hendaklah berusaha dengan gigih di samping itu memperbanyakkan ibadat kita kepada Allah. Dengan itu Allah akan mempermudah segala perjalanan pembelajaran kita walaupun sukar. Asalkan niat kita menuntut ilmu dan ingin berjaya suatu hari nanti adalah untuk ke jalan Allah dan umat Islam. 

Apabila kita telah memulakan langkah untuk mengubah diri kita untuk mengubah keadaan hidup kita, Allah pun akan memulakan langkahNya untuk menolong mengubah diri kita. Pada waktu inilah, jalan-jalan untuk menyelesaikan masalah hidup kita dan peluang-peluang untuk mencapai hajat kita akan ditunjukkan Allah kepada kita. 



MEYAKINI JANJI-JANJI KEBAIKAN ALLAH
“.. demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janjiNya. ”

Kesemua ajaran dan peringatan yang disampai dalam Al-Quran adalah janji-janji Allah. Apabila Allah berjanji, pasti janjinya ditepati. Allah Maha Penyayang dan Maha Pemberi dan Dia tidak akan sekali-kali memungkiri janjinya. 

Contohnya, apabila Allah berjanji dalam Al-Quran bahawa tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (rujuk surah Alam Nasyrah: Ayat 6), ini bermakna Dia akan tetap menurunkan rahmat kesenangan dan kemudahan hidup apabila kita telah melalui kesukaran dan kepayahan hidup yang telah ditetapkanNya ke atas kita dengan tabah dan sabar. 

PENUTUP

Dengan itu, janganlah kita menyalahkan takdir jika kita tidak bernasib baik. Kedukaan, keresahan dan kebimbangan dalam hidup.. Semua orang sudah tahu betapa peritnya diri yang menanggung. Ada kalanya terasa jiwa sudah tiada lagi kedamaiannya. 

Namun, Allah tidak menjadikan kita di dunia ini untuk meratapi kehidupan dengan perasaan sedih, gelisah dan bimbang. Dengan pesanan dan nasihat dari Al-Quran dan hadis, kita boleh mencapai kedamaian jiwa supaya hari-hari yang dilalui lebih ceria, tenang dan penuh harapan. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com