Sejarah Hidup Imam Ali Bin Abi Talib A.S -

Oleh: Jam Mashanis Binti Jamiran

PENDAHULUAN / MUKADIMAH

Puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Illahi yang telah mengutus Rasul-Nya membawa agama yang benar untuk menjadi pelita hati kaum mukminin. Salawat dan salam sejahtera disampaikan kepada junjungan besar kita, Nabi Pilihan Allah, Manusia Utama dan Pemimpin umat, Muhammad SAW. Semoga Allah melimpahkan salawat sebesar-besarnya kepada beliau, kepada segenap keluarga beliau serta para sahabat beliau dan yang bertauladan kepada beliau. 

Seterusnya, dengan mengetengahkan keutamaan-keutamaan Imam Ali a. s, tidak bererti menutupi keutamaan atau fadha’il sahabat-sahabat Nabi SAW lainnya yang juga besar dan terkemuka. Mereka juga telah memperoleh pujian dan penghormatan dari Allah SWT, sesuai dengan tingkat keutamaan dan martabatnya massing-masing. 

Kehidupan Imam Ali a. s bukanlah satu kehidupan yang biasa. Kehidupan beliau yang penuh disaluti dengan ujian, kekecewaan dan kengerian. Ditambah pula dengan adanya pihak-pihak yang menilai beliau secara berlebih-lebihan baik dalam memujinya mahupun dalam mencacinya. Dari sini pulalah Imam Ali a. s menegaskan: “Ada segolongan orang demi cintanya kepadaku mereka bersedia masuk neraka. Tetapi ada segolongan lain yang demi kebenciannya kepadaku sampai-sampai mereka itu bersedia masuk neraka. ”

Tempoh kehidupan Imam Ali a. s ditandai dengan tentangan-tentangan yang dihadapi oleh umat Islam, terutama setelah wafatnya Rasul Allah SAW. Sesiapa saja yang mempelajari sejarah Imam Ali a. s dengan jujur, pasti akan menemukan pada dirinya salah satu segi yang khas ada pada kehidupan tokoh lagendaris itu. Kini semua yang akan dipaparkan di bawah tajuk ini menjadi kenangan yang bisa menyentuh jiwa setiap pembaca yang ingin mencari kebenaran hakiki. Tidak kurang juga yang akan pilu terguris perasaan setelah menyedari betapa besar dan beratnya beban yang dipikul manusia mulia ini. Di sinilah segala kebenaran tercungkil. Semoga Allah SWT merahmati roh insan semulia beliau. 

MASA ASUHAN IMAM

Melalui pembacaan buku-buku riwayat atau sejarah, kita akan mengenal orang-orang yang sentiasa memusuhi kebenaran dan keadilan, yang lebih mementingkan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum dan hanya memikirkan keuntungan sahaja tanpa mempedulikan halal atau haramnya sesuatu. Hal ini juga berlaku kepada Imam Ali bin Abi Talib a. s. 

Secara ringkasnya Imam Ali a. s dilahirkan di dalam Kaabah pada tanggal 13 Rejab bersamaan hari Jumaat. Pelbagai peristiwa serta detik mencemaskan yang berlaku menjelangnya hari kelahiran beliau. Gelaran ‘Ali’ diberikan ayahanda beliau saat mengadakan walimah aqiqah. Sedang ibunya pernah memberi nama ‘Haidarah’ kepadanya. Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah menggelarnya dengan gelaran ‘Abu Turab’. 

Semasa usianya menginjak 6 tahun Imam Ali a. s diambil oleh Rasulullah SAW untuk dipelihara bagi meringankan beban putera pamannya, Abu Talib, memandangkan berlakunya paceklik (kegawatan ekonomi) di Mekah pada era itu. Sejak itu Imam Ali a. s diasuh oleh Nabi Muhammad SAW dan isteri beliau, Siti Khadijah binti Khuwailid a. s. 

Sungguh merupakan saat yang sangat menguntungkan bagi pertumbuhan jiwa Imam Ali a. s ketika berada di dalam keluarga termulia itu. Beliau mendapat kesempatan yang paling baik, yang tidak pernah dialami oleh sesiapa pun juga, ketika Nabi Muhammad SAW sedang dipersiapkan Allah SWT untuk mendapat tugas sejarah yang penting itu. Beliau sendiri menyaksikan Rasulullah SAW melaksanakan ibadah kepada Allah serta mengikuti perkembangan jiwa manusia terbesar itu. 

Imam Ali a. s merupakan orang pertama yang memeluk Islam selepas isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah, iaitu pada umurnya 13 tahun. Masa remaja beliau banyak dihabiskan dengan membantu Rasulullah SAW menyampaikan dakwah sama ada pada keluarga terdekat mahupun kaumnya. Beliau seorang remaja yang berani menyatakan dukungannya kepada Rasulullah SAW dalam keadaan apa sekali pun tanpa mengenal erti takut kepada ancaman musuh. 

LINGKUNGAN KELUARGA

Imam Ali a. s berasal dari keluarga termulia Mekah. Datuknya, Abdul Mutthalib, merupakan pemimpin tertinggi qabilah Qureiys di Mekah. Namun setelah meninggal, Abu Talib menggantikan kedudukan ayahnya itu sebagai pemimpin kota tersebut. 

Ibundanya pula bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qushaiy bin Kilab. Beliau sangat sayang dan menghormati ibunya itu, bahkan memanggilnya dengan sebutan bunda. 

Ayahanda Imam Ali a. s, Abu Talib adalah seorang pemimpin Qureiys yang sangat dihormati dan disegani. Kemantapan dan kegigihan Abu Talib dapat disaksikan dari penampilannya menghadapi orang-orang kafir Qureiys. Dengan kekuatan sendiri beliau memikul beban membela Rasulullah SAW dari tentangan-tentangan dan perlawanan pihak musuh. Satu beban yang tidak pernah dipikul oleh paman-paman serta keluarga Nabi SAW yang lain. Penilaian seperti ini diterima bulat oleh para sejarawan dari segala mazhab. 

RUMAH TANGGA SERASI

Lahirnya Hazrat Fatimah Az-Zahra a. s merupakan rahmat yang dilimpahkan Illahi kepada Rasul-Nya. Ia laksana benih yang akan menumbuhkan pohon besar pelanjut keturunan Nabi SAW. Fatimah a. s dilahirkan di Mekah pada hari Jumaat, 20 Jamadil Akhir. Beliau merupakan puteri yang paling disayangi Rasulullah SAW kerana Nabi SAW merasa tidak ada seorang pun di dunia ini yang paling berkenan dan paling dekat di sisinya melainkan puteri bongsunya itu. Demikian besarnya rasa cinta Rasul Allah SAW kepada puterinya. Hal ini dibuktikan menurut hadits sohih yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang mana Rasulullah bersabda kepada Imam Ali: “Wahai Ali! Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Dia adalah cahaya mataku dan buah hatiku. Barang siapa yang menyusahkan dia, ia menyusahkan menyusahkan aku dan siapa yang menyenangkan dia, maka menyenangkan aku…” Itu juga merupakan penegasan buat umatnya agar mencintai puterinya itu sebagaimana layaknya. 

Imam Ali a. s diperkenankan Rasulullah SAW untuk memperisterikan Fatimah Az-Zahra a. s dengan mas kahwin sekadar nilai sebuah baju perang besi. Hal ini kerana Imam Ali a. s bukanlah seorang yang taksub kepada harta duniawi. Semua hartanya yang ada disedekahkan kepada sesiapa saja yang memerlukan. Pakaiannya adalah dari kain yang kasar, rumahnya sangat sederhana. Beliau hanya mempunyai sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta. Begitu sekali rendah dirinya peribadi pemimpin mulia ini. Seusai menjadi sepasang suami isteri, Fatimah a. s merasa sangat bahagia bersama suaminya. Mereka tidak pernah bersitegang malah saling memahami dan membantu. Suami isteri ini dikurniakan empat orang cahaya mata mulia iaitu Al Hassan, Al Hussayn, Zainab dan Ummu Kalsum. Setiap mereka ada ceritanya masing-masing yang harus diketahui seluruh umat Islam hari ini terutama kisah yang paling menyayat hati yang terjadi kepada kepada cucu kesayangan Rasulullah SAW, Imam Hussayn a. s iaitu Tragedi Karbala. 

Sepeninggalnya Fatimah a. s pada usianya lebih kurang 28 tahun, lama selepas itu Imam Ali a. s menikah sebanyak 9 kali dan mempunyai anak lebih kurang seramai 31 orang semuanya. 

PERANAN KEPAHLAWANAN

Di samping perjuangannya di bidang akidah, ilmu dan pemikiran, Imam Ali a. s juga terkenal sebagai seorang pemuda yang memiliki kesanggupan berkorban yang luar biasa besarnya. Ia mempunyai susunan jasmani yang sempurna dan tenaga yang sangat kuat. Sudah tentu itu saja belum menjadi jaminan bagi seseorang untuk mempertaruhkan nyawanya bagi membela kebenaran Allah dan Rasul-Nya. 

Imannya yang teguh laksana gunung raksasa dan kesetiaannya yang penuh kepada Allah dan Rasul-Nya itulah yang menjadi pendorong utama. Bahkan beliau tidak pernah menghitung-hitung perjuangan suci dalam menegakkan Islam. Beliau meraih kepercayaan dan penghormatan yang tinggi dari Rasulullah SAW untuk menjadi pemegang panji Islam yang pertama dalam banyak peperangan seperti Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandaq. 

PERISTIWA WAFATNYA RASULULLAH SAW

Pada hari-hari terakhir wafatnya Rasulullah SAW, Imam Ali a. s telah sampai pada puncak kematangannya, baik secara fizikal mahupun mental. Ilmu-ilmu Illahiyah yang diterimanya langsung dari Nabi Muhammad SAW telah cukup untuk menghadapi dan menanggung pelbagai masalah yang bakal muncul di kalangan umat Islam. Tentang hal itu, Nabi SAW sendiri telah menegaskan: “Aku ini adalah kotanya ilmu, sedang Ali adalah pintunya. ”
Penegasan Rasulullah SAW tentang kecerdasan dan kematangan Imam Ali a. s kiranya menjadi ukuran sejauh mana ilmu-ilmu pengetahuan yang telah dituangkan beliau kepada sepupunya itu. Rasulullah SAW telah melihat akan terjadinya hal-hal yang tidak menggembirakan sepeninggal beliau di masa mendatang. Beliau menegaskan barangsiapa yang berbuat derhaka nescaya akan tergelincir ke jalan yang tidak diredhai Allah SWT. 

Dalam keadaan menderita sakit yang amat sangat, Rasulullah SAW menyampaikan pesan kepada para sahabatnya, kaum Muhajjirin agar memelihara hubungan dengan kaum Anshar. Nabi SAW meninggalkan beberapa wasiat terakhir buat umatnya iaitu supaya berpegang kepada kitab Al-Quran dan As-Sunahnya. Pertikaian terjadi semasa wasiat hendak ditulis oleh beliau. 

Semasa umat sedang sibuk melakukan persiapan untuk memakamkan jenazah manusia termulia itu, ada segolongan kaum Anshar mengadakan perjumpaan di Saqifah guna untuk membincangkan masalah penerus kepimpinan Rasulullah SAW. Betapa sudah mulai hilangnya penghormatan sebilangan umat pada waktu itu terhadap arwah Nabi SAW yang sedang dipersiapkan untuk disemadikan di sisi Allah Azzawajalla. Ramai dari sahabat beliau yang terlibat dalam perjumpaan itu seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab, namun Imam Ali a. s dengan penuh hormatnya kepada Nabi masih setia melaksanakan tugas pemakamam saat status kekhalifahannya sebagai pengganti Nabi SAW sudah dirampas oleh pihak lain. Imam Ali a. s bukanlah seorang yang hauskan kekuasaan di dunia semata-mata walaupun beliau tahu bahawa Nabi SAW telah mewasiatkan kekhalifahan kepadanya setelah beliau wafat. Beliau reda dan tetap bersabar dengan sesuatu yang terjadi. 



PERLANTIKAN 4 ORANG KHULAFA AR-RASYIDDIN

Khalifah yang pertama dalam senarai ialah Abu Bakar Ash Shiddiq. Beliau dilantik dan mula dibai’at oleh segolongan kaum Anshar dan kaum Muhajjirin yang berkumpul di Saqifah di saat seluruh umat sedang bersedih dengan berita baru tentang pemergian junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Dalam memperoleh bai’at dari seluruh umat termasuk ahli keluarga Nabi SAW, beliau mendapat banyak sokongan dan tidak kurang juga bangkangan terutama dari Hazrat Fatimah Az-Zahra a. s. Hal ini diceritakan selepas terjadinya kesulitan mengenai pembai’atan itu, hubungan Fatimah a. s dengan Sayidina Abu Bakar sudah menjadi renggang sama sekali sehingga puteri Nabi SAW itu menemui ajalnya selang lebih kurang hanya 6 bulan selepas kewafatan ayahandanya dalam keadaan murka terhadap khalifah yang pertama itu. 

Khalifah kedua pula adalah Umar Ibnul Khattab. Beliau menerima pelantikan sebagai khalifah secara langsung melalui wasiat yang disampaikan oleh Sayidina Abu Bakar sendiri. Perlantikan tersebut bukanlah sejenis pemilihan khalifah yang berpandukan ijma’ mayoritas umat Islam pada masa itu, hal ini banyak menimbulkan sikap ketidakpuashatian sebahagian umat yang berpegang kepada keadilan yang pernah dilaksanakan oleh Rasululla SAW. Namun, beliau mencapai tahap kejayaan yang boleh dibanggakan ketika memerintah yang masih menjadi buah mulut umat sehingga kini terutama dari pengikut Ahlul Sunah Waljamaah. 

Seperti yang kita tahu, Uthman bin Affan adalah khalifah kita yang ketiga. Ketika Sayidina Umar hampir menemui ajalnya, dicadangi beliau agar mengumpulkan 6 orang Ahli Syuro yang dipilihnya sendiri. Seterusnya mereka yang 6 itu semua berdiskusi panjang berkenaan dengan pemilihan tersebut di dalam sebuah rumah. Menanggapi jawapan tuntas dari Imam Ali yang mengatakan ‘tidak’ apabila diajukan soalan berkenaan kesanggupannya menerima kekhalifahan untuk memimpin berdasarkan Kitab Allah, Sunah Rasulullah SAW dan mengikuti jejak dua khalifah sebelumnya, beliau dianggap telah menolak pencalonan sebagai khalifah dengan sengaja. Baginya, jawatan kekhalifahan itu akan diterimanya sekiranya beliau memimpin berdasarkan Kitab Allah, Sunah Rasul-Nya dan ijtihadnya sendiri, bukan dengan mengikuti cara yang pernah dilakukan dua khalifah sebelumnya. Tentang permasalahan ini, beliau mengatakan ‘tidak’ itu tertuju kepada sikap khalifah pertama yang mengambil keputusan sendiri tentang tanah Fadak yang telah dihadiahkan Rasulullah SAW kepada puterinya Fatimah a. s. Tanah itu dirampas secara tidak saksama dan tiada persetujuan Fatimah a. s, kemudian terus dijadikan hak milik kaum Muslimin (Baitul Mal). Demikian juga protesnya terhadap khalifah Umar yang mengadakan penggolongan-penggolongan dalam membahagikan kekayaan Baitul Mal kepada kaum Muslimin. Walau bagaimanapun, beliau tetap turut membai’at Khalifah Uthman yang mengatakan ‘ya’ terhadap usul yang disoal kepadanya mengenai cara pimpinan. Khalifah Uthman gugur di tangan pemberontak yang menentang keras cara pemerintahannya yang dianggap lebih mengutamakan saudara mara sendiri. Dengan terjadinya pembunuhan terhadap khalifah yang ketiga ini, maka pastinya akan menyusul masalah yang lebih besar yang bakal diterima oleh umat Islam seterusnya. 


DELAPAN HARI TANPA KHALIFAH DAN IMAM ALI A. S DIBAI’AT

Dengan terbunuhnya Khalifah Uthman bin Affan, tidaklah bermakna persoalan-persoalan gawat yang dihadapi oleh kaum Muslimin telah selesai. Malahan muncul krisis politik yang sifatnya lebih gawat, yang menuntut jalan penyelesaian secara tepat dan bijaksana. Beberapa waktunya kaum Muslimin tanpa pimpinan tertinggi dan situasi pemerintahan menjadi kosong. 

Dalam situasi yang tidak menentu bagi mencari calon pengganti Uthman, kaum pemberontak dan penduduk Madinah berpendapat bahawa hanya salah seorang yang layak dari kalangan sahabat terdekat Rasulullah SAW yang patut di bai’at sebagai khalifah seterusnya iaiti Imam Ali a. s, jadi, mereka perlu bekerjasama bagi memperoleh hasil itu secepat mungkin kerana seluruh Muslimin sudah kegersangan tanpa seorang pemimpin selama 8 hari. 

Salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang begitu gigih berjuang untuk pembai’atan Imam Ali a. s ialah Ammar bin Yasir dan usahanya itu disokong kebanyakan hadirin yang hadir semasa cadangannya itu diusulkan di masjid Rasulullah SAW. Secara beramai-ramai mereka pergi ke rumah calon khalifah itu lalu mendesak beliau untuk keluar supaya menerima bai’at dari mereka. Pada awalnya Imam Ali a. s menolak dibai’at sebagai khalifah kerana sudah terlihat olehnya sesuatu hal yang akan menggoncangkan hati dan fikiran semua semasa pemerintahannya. Namun, alasan itu sama sekali diprotes oleh sekalian penduduk yang hadir di situ. 

Setelah beberapa lama terjadinya saling tolak dan saling tukar pendapat antara Imam Ali a. s dan sahabat-sahabat, akhirnya beliau menyedari betapa kaum Muslimin sangat menginginkan pimpinannya dan dengan perasaan berat beliau menerima pembai’atan setelah terdorong oleh kata hatinya iaitu demi kejayaan Islam dan kepentingan kaum Muslimin. 

MENERIMA PELBAGAI TENTANGAN

Ada di kalangan penduduk yang merasakan tidak puas hati dengan cara pembahagian harta ghanimah yang diagihkan Imam ali a. s di kalangan mereka. Lalu mereka tanpa segan silu menyatakan ketidakpuashatian mereka secara langsung kepada khalifah keempat itu. Sikap mereka ini membuatkan Imam Ali a. s merasa sedikit kecewa. Beliau tidak mahu melebih-lebihkan kepada status orang tertentu untuk membahagi-bahagikan harta Allah itu seperti yang diminta oleh mereka kerana semua itu bukanlah hukum yang ada dalam Al-Quran. Sedang Nabi SAW sendiri telah menegaskan yang semua manusia adalah setaraf bagi Allah SWT dengan menganjurkan cara pembahagian seperti itu semasa hidupnya. 

Selain itu banyak pertikaian yang berlaku di antara beliau dengan Muawiyah bin Abu Sufyan. Hal ini berpunca dari pemecatan yang dikenakan kepada Muawiyah oleh Imam Ali a. s sesuai dengan masalah yang dibawanya semasa pemerintahan Sayidina Uthman lagi. Ekoran itu, terjadilah perasaan dendam yang sudah kian lama bersarang di hatinya kepada khalifah. 

Peristiwa lain yang menjadi bukti adanya pelbagai penentangan semasa pimpinan Imam Ali adalah di mana isteri Nabi SAW sendiri, Siti Aisyah turut mengepalai sebuah perang yang diberi nama Perang Jamal (unta). Akibat hasutan pihak yang tidak menyenangi kekuasaan yang dipegang oleh Imam, akhirnya Siti Aisyah terlupa akan wasiat Rasulullah SAW kepadanya setelah ia wafat agar tinggal diam sahaja di dalam rumah walau apa pun yang berlaku. Namun dengan sedikit dendam dan kedegilan yang tertanam di lubuk hati isteri Nabi SAW ini, beliau akhirnya mengambil keputusan drastik untuk memerangi Imam Ali a. s atas dasar menuntut bela pembunuhan yang berlaku terhadap Sayidina Uthman bin Affan. Setelah dinasihati berulang kali tentang keterlanjurannya oleh Imam Ali a. s, beliau akhirnya sedar dan diperintah segolongan orang perempuan yang menyamar sebagai lelaki untuk menghantar Ummul Mukminin itu pulang dengan selamat. 

GERAKAN GOLONGAN KHAWARIJ DAN WAFATNYA IMAM ALI A. S

Setelah terjadinya peristiwa di mana Imam Ali a. s menetapkan tahkim apabila ia didesak oleh pengikutnya untuk berbaik dengan Muawiyah, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya iaitu pengikutnya ini menikam beliau dari belakang malah mengatakan yang beliau telah sesat kerana sudah melanggar hukum-hukum Allah SWT dengan masih mengikat perjanjian dengan pihak lawan meski musuh sudah mungkir akan janji yang mereka sepakati. Kaum khawarij ini lupa yang merekalah yang pernah mengugut Imam jika Imam Ali a. s tidak menerima perjanjian tersebut. Tetapi setelah Muawiyah memungkiri janji yang telah termeterai, darah mereka mula mendidih dan pula mula memaksa Imam supaya membatalkan janji. Imam tidak menyetujui usulan mereka itu kerana dengan adanya ayat dalam Kitab Suci Allah SWT yang mana tidak boleh memungkiri janji yang telah disepakati dengan nama Allah SWT. 

Kaum penentang ini akhirnya mengambil jalan sendiri dengan memerangi Imam Ali a. s dan menghalalkan darah sesiapa sahaja yang sependapat dengan mereka. Kekuatan Imam kian berkurang dengan susutnya pengikut beliau yang telah hilang keteguhan imannya dan kepercayaan kepada beliau telah meninggalkan beliau. Namun masih tersisa golongan yang menjadi pengikut setia beliau. 

Allah SWT rupanya telah mentakdirkan bahawa Imam Ali a. s harus meninggal kerana pembunuhan pada waktu Subuh tanggal 17 Ramadhan, tahun 10 Hijriyah. Ketika Imam sedang menuju ke masjid pada suatu pagi, seusai mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Subuh, tiba-tiba muncul Abdurrahman bin Muljam dengan pedang terhunus. Imam Ali a. s yang terkenal ulung itu tidak sempat lagi mengelak. Sepantas kilat pedang di tangan Abdurrahman bin Muljam menebas tepat mengenai kepalanya. Luka berat merobohkannya ke tanah kemudian Imam segera diusung ke rumahnya. Sebelum menyambut kedatangan ajalnya, beliau sempat berpesan kepada dua orang puteranya yakni Al hasan dan Al Hussayn sebagai pengganti kekhalifahan selepasnya agar mereka berpegang teguh kepada empat perkara sepeninggal beliau iaitu sesungguhnya kekayaan yang paling tinggi nilainya ialah akal fikiran, kemelaratan yang paling berat ialah kebodohan, kesepian yang paling menakutkan ialah bangga pada diri sendiri, dan keturunan yang paling mulia ialah budi pekerti luhur. Tidak ketinggalan juga wasiatnya kepada kaum Muslimin. Sebahagian antaranya adalah agar kaum Muslimin menjaga menjaga hubungan sesama Muslim kerana pertengkaran itu merosak agama dan supaya menjaga solat kerana solat itu merupakan perbuatan paling mulia bahkan tiang kepada agama. Akhirnya tibalah saat di mana ajal seorang manusia mulia sudah datang menjemputnya ke sisi Illahi SWT. 


KEUTAMAAN IMAM ALI A. S

Banyak sekali hal-hal yang memberikan keistimewaan kepada beliau. Antara lain adalah terdapat sebahagian umat di dunia sampai sekarang ini mengidentifikasikan diri sebagai pengikut Imam Ali bin Abi Thalib a. s iaitu yang terkenal dengan sebutan Syi’ah. 

Dari segi gelarannya sebagai ‘Imam” sudah menunjukkan tahap keistimewaan yang melatar belakangi beliau berbanding dengan tiga khalifah sebelumnya di samping gelaran Amirul Mukminin. ‘Imam’ membawa maksud seorang pemimpin atau seorang ketua yang ditaati dan memiliki kekuasaan yang menyeluruh atas semua orang Muslimin dalam segala urusan mereka baik di bidang keagamaan mahupun keduniaan. Dalam satu hadis, Rasulullah SAWAW berkata kepada Amirul Mu'minin Ali a. s: "A'immah selepasku dua belas orang, yang awal ialah anda wahai Ali, dan yang akhir dari kalangan mereka ialah al-Qa'im yang akan mencapai kejayaan melalui tangannya dengan kehendak Allah SWT di sebelah barat dan timur. ”

Beliau juga merupakan seorang Zahid yang berpegang teguh pada perintah Allah SWT serta segala ajaran Rasul-Nya. Berkali-kali ia ditinggalkan oleh para pendukung dan para pengikutnya, akan tetapi beliau tidak pernah patah hati. Imam Ali a. s tidak pernah memberikan perlakuan istimewa kepada seseorang kerana keturunan, kedudukan atau kekayaannya. Perlakuannya adalah sama kepada sekalian umat, baik kaya atau miskin. Beliau sangat melarang para pengikutnya dari mengeluarkan kata-kata keji serta mencaci maki meski musuh sekali pun. Walau pun beliau tahu yang cacian terhadapnya daripada pihak musuh sangatlah banyak. 

Sikap hidup Imam dan cara hidupnya benar-benar telah menunggal dengan kezuhudan dan ketinggian tingkat taqwanya kepada Allah SWT. pernah terjadi di mana seorang sahabatnya pernah menemuinya terbaring di semak-semak hutan. Sahabat itu mendekati beliau seraya cuba mengejutkan beliau namun tiada tindak balas diberikan Imam. Terus bersarang di fikiran sahabatnya itu yang beliau sudah pun meninggal dunia. Tetapi setelah dirujuk kepada Hazrat Fatimah Az-Zahra a. s mengenai kejadian itu, Fatimah a. s menerangkan yang Imam tidaklah meninggal seperti yang difikirkan, tetapi beliau sedang pengsan kerana terlalu takut kepada Allah SWT ketika beribadah di malam hari. Malah sudah menjadi kebiasaan beliau dalam keadaan begitu setiap kali menunaikan solat di tempat yang sunyi di malam hari. Perkara ini melambangkan betapa Imam seorang yang zuhud dalam mengerjakan ibadah kepada Yang Maha Esa. 

Kesederhanaan beliau tercermin lagi jika dilihat dari segi cara pemakaiannya serta pemakanannya. Kain bajunya diperbuat daripada kain kasar bahkan ada sesetengahnya yang ditampal bagi menutupi lubang-lubang yang terbuka. Beliau pernah dilihat sahabat sedang menikmati susu yang sudah basi dan makan roti yang kering dan sudah hancur. Apabila makan bersama orang lain pula, ia tetap menahan tangan sehingga daging di hadapannya habis di makan orang. Ia tidak makan daging kecuali sedikit sahaja. Kepada sahabatnya beliau berpesan, “Jangan perut kalian dijadikan kuburan haiwan. ”

Ibadahnya Imam Ali a. s sangatlah luar biasa. Beliau seorang yang tekun dan banyak beribadah. Beliau juga sering berpuasa. Begitu banyak sekali beliau menyembah Allah SWT sehinggakan semasa dalam peperangan pun beliau tidak hiraukan betapa banyaknya anak panah lawan yang bersimpang siur di sekelilingnya namun tetap juga beliau berdiri dan duduk mengerjakan solat. Banyak lagi bukti yang dapat menghuraikan sedikit sebanyak tentang peribadi Imam Ali a. s yang satu ini. 

Kejujuran dan keadilan yang beliau tunjukkan bukanlah hanya kepada sahabat dan keluarganya, malah kepada pihak musuh sekali pun ia tetap menunjukkan sikap keluarbiasaannya ini yang menjadikan sangat dihormati dan bahkan dipercayai pihak musuhnya. 

Keksatriaan dan keperwiraan beliau pula bukanlah sesuatu yang dibuat-buat melainkan sudah menjadi sifat dan tabiatnya sendiri. Beliau bukanlah seorang pendendam yang hanya mengharapkan kemenangan dari pihak lawan semata-mata. Beliau sentiasa berusaha dalam keadaan apa sekali pun agar pertumpahan darah dapat dihindarkan. 

Begitu banyak peribadi mulia yang ada pada diri Imam Ali a. s. yang tidak semestinya akan terhurai melalui risalah-risalah ringkas ini. Antaranya adalah beliau seorang yang rendah hati, seorang dermawan yang sering memberi pertolongan kepada kaum fakir miskin dan juga seorang pemimpin yang berkaliber dan bijaksana. 

PINTU ILMU

Dalam riwayat yang ditulisnya, Ibnu Abbas mengatakan: “Demi Allah, Rasul telah menurunkan 9/10 dari semua ilmu yang ada kepada Imam Ali a. s, dan demi Allah, Imam Ali a. s masih juga mengetahui sebahagian dari sepersepuluh ilmu sisanya yang ada pada kalian atau pada mereka. ”

Mengenai hal itu cukuplah dikemukakan saja ucapan Rasulullah SAW yang menegaskan, “Aku ini adalah kotanya ilmu, sedang Ali adalah pintunya ilmu, barang siapa yang ingin memperoleh ilmu, hendaklah mengambil lewat pintunya. ”

Beliau menjadi orang yang paling banyak mengetahui dan menguasai isi Al-Quran serta ajaran-ajaran Rasulullah SAW sehingga beliau dengan sendiri pun menjadi orang yang paling mampu menetapkan fatwa hukum Islam selepas Nabi SAW. 

Beliau menguasai pelbagai ilmu dengan jayanya antaranya adalah fashahah dan balaghah, ilmu nahwu, kebijaksanaan berhujah ketika berkhutbah, ilmu tauhid, ilmu fiqh, ilmu tafsir, tilawatil Al-Quran, ilmu tariqat, ilmu kahfi, dan merupakan seorang yang memberikan sumbangan dalam penetapan tarikh penanggalan Hijrah. Kebijaksanaan beliau terbukti ketika beliau membantu Sayidina Umar menyelesaikan pelbagai persoalan yang diajukan oleh pihak Yahudi. Disebabkan kagumnya beberapa orang kaum Yahudi yang hadir terhadap jawapan yang sempurna yang berjaya dijawab Imam Ali a. s, mereka dengan keterbukaan hati dan penuh keyakinan pun mengisytiharkan diri masing-masing sebagai saudara baru agama anutan Imam Ali. 

Demikian serba sedikit mengenai Imam Ali a. s yang dikatakan sebagai pintu ilmu oleh Nabi SAW. 



KESIMPULAN / PENUTUP

Imam Ali bin Abi Talib a. s telah meninggal dunia. Di masa hidupnya, ia menempati kedudukan tinggi dan terhormat dalam kehidupan umat manusia. Pada dirinya terhimpun nilai-nilai kebenaran, keadilan, keimanan, kepahlawanan, kebajikan dan kemuliaan. 

Baik di masa kanak-kanak, di masa muda, mahu pun di masa tua beliau senantiasa tetap setia kepada kebenaran. Kesetiaannya adalah kesetiaan ahli ibadah, seorang perajurit, seorang patriot dan seorang penguasa. Ia menjauhkan diri dari mahligai kekayaan. Ia lebih suka tinggal gubuk terbuat dari tanah liat. Mengapa? Kerana kesetiaannya kepada kebenaran tidak bisa disatukan dengan kemewahan duniawi!

Sungguhpun Imam Ali SAW sudah meninggal dunia, namun ia sentiasa hidup dalam semua nilai-nilai kebenaran yang diperjuangkannya sepanjang umur… ia tetap akan tetap hidup sebagai teladan hidup umat sekarang. Berteladan kepada keutamaan Imam Ali a. s bererti berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan, serta melawan kebatilan dan kezaliman, dengan kata lain beramar makruf nahi mungkar. Menyerukan orang supaya berbuat benar dan adil sudah merupakan satu perjuangan. Perjuangan mencegah kemungkaran, nahi mungkar, adalah lebih berat dari menyerukan orang berbuat benar dan adil. Sebab tentangan akan muncul dari pihak yang hendak dicegah. 

Akhir sekali saya tutup tatapan ini dengan kesedaran, segala yang buruk datang dari saya sendiri, sedangkan kebenaran hanya datang dari Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni dosa-dosa para hamba-Nya yang bertaubat dan mencari jalan kebenaran serta diberi petunjuk-Nya. Amin Ya Robbal’alamin.. Tidak lupa terima kasih kepada Ustaz Abdul Aziz yang banyak membantu menyumbangkan serba sedikit ilmu berkenaan akidah. Assalamu’alaikum warahmatullahi Ta’ala wabarakatuh.. 

RUJUKAN

Buku ‘Sejarah Hidup Imam Ali bin Abi Thalib a. s’ yang ditulis oleh H. M. H. Al Hamid Al Husaini yang diterbitkan oleh VICTORIE AGENCIE, Kuala Lumpur. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com