Qur’an Saintifik -

Oleh: Nurul Saffiyyah Binti Baharin

PENGHARGAAN

Segala puji dan pujilah hanya milik Allah, Tuhan Sekalian Alam. Yang telah memberikan rahmat atau nikmat-Nya kepada kita sehingga dengan nikmat dan rahmat itu, kita boleh bebas bergerak di atas bumi ini dengan keriangan dan kegembiraan. 

Selawat dan salam sejahtera ke atas Nabi Muhammad SAW, pembawa obor Islam ke seluruh alam maya ini. Dengan obor itu dunia ini menjadi terang benderang, di penuhi dengan cahaya akhlak dan pekerti yang baik. Dengan obor itu pula manusia dapat melihat tongkat- tongkat agama sehingga mereka dapat memegangnya dengan erat agar mereka tidak terkeluar dari jalan- jalan yang benar. 

Ucapan berbanyak terima kasih di atas kesudian teman saya Nurul Wahieda binti Hassan yang telah sudi meminjamkan saya buku ini sebagai rujukan saya. Terima kasih kepada teman- teman yang sudi membantu dalam menyiapkan kertas kerja ini. Terima kasih juga kepada Ustaz Abdul Aziz yang telah memberikan saya peluang untuk mengkaji buku yang begitu berharga ini. Sesungguhnya ini dapat memberi kesedaran kepada saya betapa berharganya Qur’an dalam kehidupan seharian kita. 


PENDAHULUAN

Sains dan Islam memang tidak dapat dipisahkan. Hal ini disebabkan umat Islam disuruh Allah untuk mengkaji rahsia alam semesta secara sistematik. Dalam surah al - Ghasyiah ayat 17 hingga 20, Allah menyatakan yang bermaksud, “ Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung ganang bagaimana ia ditegakkan. Dam bumi bagaimana ia dihamparkan. ”

Ransangan daripada ayat 190 hingga 191 surah Ali Imran telah berjaya melahirkan ramai saintis daripada kalangan ummat Islam. Malah sains moden tidak akan berkembang tanpa saintis - saintis beragama Islam ini. Pengkajian saintis dalam Islam mempunyai matlamatnya. Matlamat itu adalah mengagungkan Allah serta meningkatkan pengabdian kepadanya. Sains dalam Islam berbeza dengan konsep yang di amalkan di barat. Saintis di barat memisahkan sains daripada Tuhan. Sains tidak boleh digunakan bagi mengubah prinsip - prinsip serta ketepatan - ketepatan agama yang bersumberkan dalil yang disepakati, sebaliknya ia digunakan bagi mengukuhkan agama. 


ABSTRAK

Sains yang sahih, termasuk yang berkaitan dengan pengkajian alam semesta menyedarkan kita mengenai kewujudan yang maha pencipta. Rahsia - rahsia yang tersembunyi di ala mini seolah - olahnya merupakan ‘tanda tangan’ Allah di sebalik penciptaan ini. ‘ Tanda tangan ’ ini menunjukkan alam ini ada pencipta, perancang dan pemiliknya. Apabila manusia terus mengkaji mereka menyedari pencipta, perancang dan pemiliknya adalah Allah terutama selepas mengaitkan penemuan - penemuan itu dengan Qur’an. Alat yang membawa mereka kepada kesedaran itu adalah akal. 

Qur’an bercakap kepada manusia melalui perantaraan akal dan fikiran. Ia merangsang manusia untuk terus berfikir dan mengkaji supaya dengan itu mereka menemui kebenaran. Qur’an tanpa ragu - ragu lagi merupakan pemangkin kepada pencarian ilmu di kalangan uma Islam terutamanya dalam bidang sains alam. 


Bahagian 1 : Cemerlang Menguasai Dua Ayat. 

Umat Islam perlu menguasai dua ayat iaitu pertamanya, ayat -ayat Qur’an dan keduanya, ayat - ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta. Perkataan ‘ayat’ membawa dua maksud di dalam bahasa arab. Pertama bermaksud ayat - ayat Qur’an dan kedua ia bermaksud tanda dan bukti. Dalam bahasa lain, umat Islam perlu menguasai Qur’an dan ilmu - ilmu sains kerana kedua - duanya membantu kita mendekatkan diri kepada Allah.. Penguasaan Qur’an tidak bermaksud kita mengetepikan sunnah kerana kedua - duanya memang tidak dapat dipisahkan. 

Dakwah pada hari ini menuntut kita menguasai kedua - dua ayat ini, apatah lagi sekiranya sasaran kita adalah mereka yang bukan Islam. Apabila pendakwah mampu bercakap menggunakan bahasa kontemporari dan dikaitkan pula dengan al - Qur’an dan sunnah, dakwahnya menjadi lebih mantap lagi menyakinkan. Pengalamn yang dilalui oleh professor Tejatat Tejasen dan Dr. Gary Miller menunjukkan pendekatan sebegini, kadang kala menjadi sebab musabab seseorang mendapat hidayah dan memeluk Islam. 

Penguasaan dua ayat adalah selari dengan kehendak pendidikan pada hari ini. Dalam Konferensi Pendidikan Islam Yang Pertama (First World Conference on Islamic Education) yang diadakan di Mekkah pada tahun 1977, pakar - pakar merumuskan ilmu secara dasarnya dibahagi kepada dua iaitu ilmu naqli dan ilmu aqli. Ilmu naqli berkait rapat dengan Qur’an dan sunnah dan ilmu aqli berkait rapat dengan sains dan ilmu - ilmu semasa. 



Bahagian 2 : Permulaan Alam Semesta adalah Permulaan Segala - galanya. 

Penguasaan ilmu - ilmu mengenai alam dan kosmos menyedarkan kita mengenai keagungan Allah. Bayangkan satu kosmos yang mempunyai 70 sextilion (iaitu 7 diikuti dengan 22 kosong) bintang - bintang. 70 sextilion menyamai 10 kali ganda jumlah pasir yang terdapat di semua pantai dan gurun di dunia ini. Sebahagian daripada bintang - bintang adalah lebih besar daripada matahari. Malah bintang - bintang yang bernama KW Sagitarii, V354 Cephei dan KY Cygni adalah 1500 kali lebih besar daripada matahari seperti yang dinyatakan dalam Universe Today pada tanggal 11 Januari 2005. 

Namun 12 hingga 14 bilion tahun dahulu semasa alam bermula, kosmos berukuran beberapa millimeter sahaja, sebelum ia mengembang ke tahap yang dapat dilihat pada hari ini Cuba bayangkan keadaan pada hari ini, bintang yang terdekat dengan matahari, iaitu Proxima Centauri, berada 25 trilion batu (40 trilion kilometer) daripada matahari. Cahaya yang datang daripada bintang ini mengambil masa 4. 2 tahun cahaya (light years) untuk sampai ke matahari dan satu tahun cahaya menyamai 5. 88 trilion batu atau 9. 46 trilion kilometer. 

Alangkah luasnya kosmos ini. Keluasaannya tidak mampu dijangkau oleh minda. Ia menginsafkan kita mengenai kekerdilan diri kita sebagai insan. Allah telah menjelaskan dalam surah al - Mukmin ayat 57 yang bermaksud, “ Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada penciptaan manusia tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui. ”

Bintang - bintang yang wujud di kosmos pula tidak tidak pegun. Ia bergerak, berputar, berpusing dan di saat kehancurannya ia meletup dengan satu letupan yang dahsyat. Namun alam terus wujud dalam keadaan harmoni, suasana kosmos tetap stabil dan bumi tidak terkesan dengan semua itu. Allah berkata dalam surah al - An’am ayat 12 yang bermaksud, “ Katakanlah, “Kepunyaan siapakah yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah, “Ia kepunyaan Allah. ” Dia menetapkan ke atas dirinya kasih sayang. ”

Memang benar, kosmos dan apa yang terdapat dalamnya mengagumkan kita. Namun apabila fenomena - fenomena yang berlaku ini (yang rata - ratanya hanya baru difahami pada abad ke 20), dinyatakan jelas dalam Qur’an kekaguman kita meningkat. Qur’an menyatakan langit dan bumi pada asalnya bercantum padu sebelum kedua - duanya dipisahkan (al - Anbiya’ ayat 30). Qur’an juga menyatakan langit dan bumi dicipta daripada asap (Fussilat ayat 11). Tambahan daripada itu, daripada Qur’an kita mengetahui kosmos sebenarnya sedang mengembang (az -Zariyat ayat 47) dan begitulah seterusnya. Kekaguman ini akhirnya melahirkan iman dan keyakinan seperti yang berlaku kepada professor Tejatet Tejasen, pakar anatomi daripada Universiti Chiang Mai. 

Justeru benar kata Allah dalam surah Fussilat ayat 53 yang bermaksud, “ Akan kami tunjukkan kepada mereka bukti - bukti kebenara kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka Qur’an itu benar. ”

Sebenarnya, banyak lagi ayat - ayat mengenai alam dan kosmos yang tidak dapat di sentuh dalam bab ini. 

Bahagian 3 : Manusia dan Asal Usulnya. 

Manusia dijadikan Allah dalam rupa bentuk yang terbaik. Hal ini Allah sebut dalam surah at - Tin ayat 4 yang bermaksud, “ Sesungguhnya kami mencipta insane dalam bentuk penciptaan yang terbaik. ”

Hal ini sememangnya tidak pelik, disebabkan manusia dilantik Allah menjadi khalifah di muka bumi. Berhubung dengan pengisytiharan ini Allah menyatakan dalam surah al - Baqarah ayat 30, “ (Dan ingatlah) semasa Tuahanmu berkata kepada para malaikat, “Sesungguhnya aku akan menjadikan di bumi khalifah. ” Dalam kitab al - Asa fi al - Tafsir, Said Hawa berkata, “ (khalifah) adalah Adam dan zuriat - zuriatnya. ”

Sebagai khalifah, manusia dilantik menjadi khalifah tidak mungkin sama dengan makhluk - makhluk lain seperti beruk, monyet, cimpanzi dan yang seumpama dengannya. Proses yang dilaluinya adalah suatu proses yang istimewa sehinggakan tidak ada makhluk lain yang Allah perinci kisah kejadiannya di dalam Qur’an kecuali manusia. Allah menceritakan kejadiannya yang bermula daripada nutfah, bertukar kepada alaqah, berubah kepada mudghah, ditiupkan roh, ditentukan jantinanya, sehingga akhirnya dia dilahirkan. 

Proses - proses kejadian ini, sebagaimana yang disebutkan Qur’an, mengagumkan pakar - pakar dalam bidang anatomi dan embriologi, sebagai contoh professor Keith L. Moore. Beliau yang merupakan seorang professor dalam bidang anatomi dari Universiti Toronto, Kanada begitu kagum dengan embriologi Qur’an sehinggakan di dalam pendahuluan buku beliau bertajuk The Developing Human: Clinically Oriented Embryology edisi ketiga, beliau menyatakan berkenaan betapa saintifiknya ayat - ayat Qur’an sekiranya dikaitkan dengan ilmu embriologi moden. 

Pada 23 September 1985, satu konferensi bertemakan “Konsep Sains Dalam al - Qur’an” diadakan di kota Kaherah. Beberapa orang pakar sains barat membentangkan pandangan mereka berhubung sains di dalam Qur’an antaranya adalah profesor Keith Moore, professor TVN Persaud dan Dr. Marshal Johnson. 

Professor TVN Persaud, seorang pakar dalam bidang Anatomi dan Kesihatan Kanak - Kanak, Universiti Manitoba, Kanada, selepas mengkaji ayat - ayat berhubung kejadian embrio, berkata, “ Muhammad tidak tahu membaca dan menulis dan kita berbicara mengenai (suasana) 1400 tahun dahulu. Tiba - tiba terdapat seseorang (yang seperti itu) membuat kenyataan - kenyataan yang tepat dan saintifik. Saya tidak nampak semua itu berlaku secara kebetulan. Saya tidak ada masalah mengatakan kenyataan - kenyataan ini adalah wahyu Tuhan. ”

Begitu juga dengan Dr. Marshal Johnson Ph. D., Pengarah Daniel Baugh Institute, Philadelphia, USA. Beliau juga kagum dengan kenyataan Qur’an dalam bidang embriologi. Malah beliau mengakui memperkenalkan terma - terma Qur’an kepada pelajar - pelajarnya semasa membicarakan ilmu embriologi. Hal ini dilaporkan oleh M. Tahlawi di www. ucs. edu/dept/MSA/quran (University of Southern California, UCS - MSA Compendium of Muslim Texts, Do You Know This Book?) 

Benarlah Allah yang menjelaskan dalam surah Fussilat ayat 53 yang bermaksud, “ Akan kami tunjukkan kepada mereka bukti - bukti kebenaran kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka Qur’an itu benar. ”

Bahagian 4 : Tujuan dan Matlamat Hidup Manusia. 

Aspek ibadah dalam Islam begitu luas sekali, Islam adalah agama Allah. Justeru itu ibadah - ibadah dalam Islam pastinya hebat bertujuan bagi melahirkan insane hebat zahir dan batinnya. Apatah lagi, dalam surah Ali Imran ayat 110 Allah menyatakan, “Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. ” Adalah tidak logic sama sekali ummat yang terbaik ini dituntut melaksanakan ibadah yang kurang baik. Justeru, ibadah Islam memang baik lagi agung. Sebahagian daripada kebaikan itu dapat kita fahami, namun kebanyakkan rahsia - rahsianya mungkin terlindung daripada kita manusia. 

Seperkara yang perlu diingatkan semula adalah kita melaksanakan ibadah disebabkan ia kewajipan yang Allah fardhukan ke atas kita, berdasarkan dalil daripada Qur’an dan sunnah. Kita tidak melakukannya kerana penemuan dan pandangan sains. Walau bagaimanapun kita menyakini setiap apa yang Allah wajibkan pasti ada kebaikan dan manfaatnya. Justeru penemuan sains yang dipaparkan berhubung dengan sesuatu ibadah hanyalah bertujuan bagi membantu kita memahami sebahagian kecil daripada hikmat yang terkandng di sebalik ibadah - ibadah itu. 

PENUTUP

Sains akan terus berkembang. Dengan itu terhasil penemuan - penemuan baru dan manusia semakin mengenali asal usul alam di samping asal usul mereka sendiri. Penemuan - penemuan ini akhirnya menyedarkan mereka berkenaan keagungan Qur’an kerana sebahagian daripada apa mereka temui itu pun dinyatakan oleh Qur’an. 

Janji Allah dalam surah al - Isra’ ayat 9 yang bermaksud, “ Sesungguhnya Qur’an ini memberi petunjuk kepada jalan yang aqwam dan memberi khabar gembira kepada orang - orang mukminyang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala besar. ” Aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat, seperti yang dinyatakan oleh Qartubi di dalam al - Jamik li Ahkamil Qur’an. Justeru itu dekatilah Qur’an dan kaji maksud - maksudnya. Kemudian hayatilah. 

RUJUKAN
Qur’an Saintifik “Meneroka Kecemerlangan Qur’an daripada Teropong Sains” karya Dr. Danial Zainal Abidin. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com